Bab 30

33.7K 1.3K 307
                                    

🌹

"PESAKIT dah sedarkan diri!" Laungan kuat itu menyentakkan Azriel daripada lamunan. Dia melihat keadaan yang sepertinya kacau-bilau.

Azriel terdiam. Sekadar memerhati daripada kejauhan. Ketika dia melihat beberapa jururawat yang terpusu-pusu memasuki ruangan bilik rawatan isterinya, barulah dia tersedar. Lantas dia bingkas dengan gesit.

"Apa yang jadi?" Azriel bertanya. Berpaling sekilas memandang wajah Arzhel yang turut terhempas dengan tanda tanya.

Tidak menunggu lama, Azriel mengorak langkah mendekati seorang doktor lelaki yang baru sahaja keluar. Seolah-olah memahami apa yang akan dia usulkan, doktor itu terlebih dahulu berhujah.

"Puan Humaira dah sedarkan diri. Tapi, keadaan dia lemah sangat. Mungkin perlukan rehat yang lebih. Dia cari encik. Silakan encik jumpa isteri encik." Doktor lelaki itu tersenyum.

Sesiapa sahaja yang berada di tempatnya ketika itu, pasti akan mengutarakan rasa syukur. Inilah detik yang dia nanti-nantikan.

Penantian yang bermakna. Setiap doa yang dia lafazkan di atas sejadah, akhirnya termakbul.

Azriel gesit menerpa ke arah isterinya. Tatkala pintu bilik dibuka, pandangannya serta-merta bersabung dengan pandangan kuyu seorang Laura Humaira. Menggigil tangannya ketika itu.

"Sayang." Azriel masih terkaku.

"Ab... Abang," Humaira menyahut. Namun suaranya langsung tidak dapat Azriel dengar. Tenggelam dalam sakitnya.

"Hey..." Laju Azriel merapati tubuh Humaira.

Tubuh itu kelihatan semakin kurus. Pipi Humaira semakin cekung. Tiada lagi sinar pada mata cantik Humaira. Senyumannya... dia tercari-cari. Di mana senyuman mekar Humaira?

Merenung itu, Azriel dibedal sayu. Sungguh dia rindu akan suara yang merdu itu. Dia rindu semua tentang Humairanya. Hanya saja, rindunya seakan-akan belum terubat.

Melihat Humaira akhirnya mencelikkan mata seperti menambahkan gusar pada hatinya. Dia tidak sanggup mendengar rintihan gadis itu.

Begitu lelahnya jiwa isterinya itu.

"Aba... Abang... Kesayangan Hum... Humai..." Humaira membuka mulut. Berusaha menukilkan kata yang terbata-bata. Hanya sekelumit, Azriel dapat mendengarinya.

Telinganya cuba dihampiri pada mulut mungil Humaira. Berusaha sebaik mungkin untuk mendengarkan kata-kata itu.

"Bisik perlahan, sayang. Abang tak dapat dengar." Lembut suaranya. Mengusap perlahan ubun-ubun Humaira.

Jemari Humaira naik menyentuh pipi suaminya. Lelaki yang dia impikan selama hidupnya. Sudah terlalu lama wajah itu tidak dia tatap. Sudah berjam-jam, atau mungkin berhari-hari, atau berminggu-minggu?

Rindu. Kemas bertaut rasa hati itu ingin memeluk tubuh tegap Azriel. Sama seperti hari-hari sebelumnya. Hari-hari di mana mereka masih seperti dulu. Namun keadaannya ketika itu menghalang segalanya.

Azriel memejamkan kedua-dua kelopak mata. Merasakan hangatnya sentuhan wanita itu. Puluhan hari berlalu, barulah dia rasakan kembali usapan syahdu Humaira.

Meskipun pada ketika itu, jemari Humaira sejuk membeku. Menggeletar hebat. Semuanya tenggelam di dalam pintalan kasih Humaira.

"Wallahi, sayang. Abang rindu." Sebak menggunung ketika mata cantik Humaira menjamah ruang pandangnya lagi.

"Humaira rindu sangat dekat abang." Humaira separuh berbisik.

Azriel luluh.

Dia tidak pernah merasai sakitnya tertusuk dengan seribu busur panah. Namun ketika ayat Humaira itu meniti pada telinganya, dia remuk. Itulah bait yang berjaya menghempaskan dirinya sehingga hancur dan lebur.

𝐌𝐚𝐰𝐚𝐫 𝐔𝐧𝐭𝐮𝐤 𝐇𝐮𝐦𝐚𝐢𝐫𝐚Where stories live. Discover now