Bab 20

38.3K 1.9K 246
                                    

🌹

SEJENAK, tubuh yang kaku itu direnung. Bersama hati yang gusar. Di tempat itu, sudah lebih tiga jam lamanya. Dia menunggu wanita itu untuk mencelikkan matanya. Tetapi Humaira masih belum bangun. Masih hanyut dalam lena panjangnya.

Sudah lelah Tok Wan dan Sarah memujuknya untuk pulang sebentar. Sementara menunggu keadaan Humaira kembali membaik. Ajakan mereka dia tolak sekerasnya. Sungguh rasa bersalahnya semakin menggunung tatkala melihat bagaimana lemahnya jasad Humaira saat itu.

Karl Azriel melepaskan keluhan panjangnya. Wajahnya diraup berkali-kali. Berusaha dikikis resah yang bertandang. Tapi, semuanya mustahil. Humaira hampir kehilangan sesuatu yang berharga. Begitu juga dirinya.

Sehingga seluruh pelosok hatinya dijamah dengan rasa yang merayu-rayu akan sebuah kata maaf. Rasa berdosa. Cukup tahu bahawa kesengsaraan yang Humaira rasa berpunca daripada dirinya.

Sejurus selepas itu, Azriel terus mengangkat wajah. Pandangannya terus terpaku pada susuk yang terbaring lesu itu. Tatkala mendengar suara Humaira bergema, hatinya menjerit lega.

"Maira dekat mana ni?" Berkerut wajah pucat Humaira. Pandangannya menerawang mengamati suasana di sekelilingnya. Seperti sedang berada di dalam bilik rawatan.

"Hospital. Tadi bila Sarah minta aku kejutkan kau, kau tak bangun. Sarah bagitahu aku yang kau nosebleed." Ada kelembutan dalam nada Azriel ketika itu. Bersyukur. Humaira masih bangun. Masih ada sinaran dalam tunak mata cantik itu.

Humaira hanya terdiam. Matanya dipejam rapat. Menenangkan fikirannya yang selama ini dilanda sakit teruk. Badai melampar di mana-mana. Memainkan mindanya di setiap pagi, sehinggalah bulan datang mengambang.

Lelah. Bahkan tangisannya sudah tidak lagi bermakna untuk maya. Bahkan tiada lagi yang boleh dia ratapkan di dalam doa selain kumalnya hati itu.

Perasaan menyerah seakan-akan menggamitnya ketika itu. Suara hati dan fikiran akhirnya bersatu. Gelodak hatinya membawa gemersik rasa sedar dalam atma. Jangan mahu dikedepankan rasa cinta sehingga diri merana.

"Doktor kata, kau terlalu banyak tekanan. Dan tekanan tu boleh merisikokan diri dan kandungan kau," Azriel kembali mengayun kata. Redup pandangannya ketika itu.

"Kau tertekan sebab aku?" Soalan itu yang membuat mata Humaira kembali tercelik. Terus wanita itu membalas tatapannya.

"Saya cuma perlukan rehat." Hanya itu yang dia balas. Sebelum membuang pandang ke arah lain. Tekanan? Stres? Bukankah dia sudah terbiasa dengan semua itu?

"Kenapa abang tak balik? Maafkan Maira sebab dah susahkan abang," sambungnya. Langsung tidak menoleh memandang suaminya lagi. Dia takut. Takut jika air matanya kembali tumpah.

Bodoh. Begitulah amarahnya terhadap diri sendiri. Terlalu lemah. Terlalu mudah mengalirkan air mata. Cukup-cukuplah dia berdamai dengan kekecewaan. Sampai bila-bila rasanya akan tetap pahit untuk ditelan.

"Tadi Tok Wan dengan Sarah dah ajak aku pulang. Tapi aku nak tunggu kau bangun." Azriel masih mengamati wajah bening Humaira. Terlalu banyak duka pada air muka Humaira. Terlalu berat lara yang dipikul oleh wanita itu.

Keseorangan. Tiada peneman. Mungkin, hanya Humaira dan Tuhan yang selalu berbicara melalui sujud wanita itu.

"Maira dah bangun. Abang pergilah balik. Maira tak nak susahkan abang lagi. Abang pun perlukan rehat," balas Humaira. Merenung kosong tingkap yang berada di hadapan katilnya.

"Siapa nak rawat kau dekat sini kalau aku balik?" suara itu umpama menyanggah.

"Aku boleh jaga kau, Maira. Aku ada dekat sini," sambungnya. Terdengar lembut lantunan suara Azriel di kala itu. Seolah-olah sebuah pujukan. Menyedari bahawa kini nada suara Humaira tidak selembut dulu.

𝐌𝐚𝐰𝐚𝐫 𝐔𝐧𝐭𝐮𝐤 𝐇𝐮𝐦𝐚𝐢𝐫𝐚Kde žijí příběhy. Začni objevovat