Bab 31

21.1K 1.1K 265
                                    

🌹

DIA mencelikkan matanya di saat dia melihat ada cahaya cerlang yang menjamah penglihatannya. Saat pandangannya diedarkan di sekeliling ruangan, dia termenung dalam keadaan terpinga-pinga. Dia berada di dalam bilik tidurnya. Bilik yang sebelum ini dihuni olehnya dan arwah Humaira. Tiada apa-apa yang berlaku kepadanya.

Cukup lama dia berdiam. Dibiarkan keringat dingin merembes pada dahi. Seraya mengamati segala mimpi yang menggamitnya. Terlepas satu keluhan panjang pada bibirnya ketika itu. Dia sedang tidak berada di hospital. Tidak juga bersama Arzhel Qadr. Dan sama sekali tidak mengingati apa-apa.

Mimpi itu— kenapa tidak dibiarkan menjadi kenyataan?

"Azriel, dah bangun?" Puan Mariam menerpa ke arahnya. Ada kerisauan beralun-alun dalam cebisan nada itu. Buatkan dia bertambah bingung.

"Azriel pengsan dekat kuburan tadi. Nasib baik ada orang tengok," jelas ibunya. Bersama wajah yang mengutarakan rasa bimbang.

Entah siapa yang membawanya pulang ke rumah itu. Rumah yang sudah tidak patut lagi dia gelar tempat untuk dia pulang. Semuanya sudah tidak sama. Tiada lagi bayang-bayang Humaira. Tiada suara Humaira. Semuanya sudah usai. Dalam keadaan yang pada hakikatnya tidak dapat dia terima. Jiwanya menolak keras kenyataan itu.

Ketika itu, ada sesuatu yang mengasak mindanya. Mimpi yang sepertinya nyata itu seperti menjawab semua persoalan yang ada. Adakah dia benar-benar seorang lelaki yang dayus? Kejamkah perlakuannya terhadap Humaira? Semuanya masih samar. Masih menjadi tanda tanya pada dirinya.

"Ibu, Azriel... Azriel pernah pukul Maira sebelum ni?" soalnya tanpa berfikir panjang.

"Hei, apa cakap macam tu? Humaira selalu cerita kebaikan Azriel pada ibu. Sedikit pun tak pernah burukkan Azriel," bidas Puan Mariam.

"Abah mana? Ibu ada berjumpa dengan dia?" ajunya lagi.

Sebelum ini, dia selalu menyedari layanan Encik Yazid kepadanya. Seolah-olah memendam akan sesuatu di dalam hatinya. Entah itu kerana sikapnya yang dianggap buruk, atau mungkin Encik Yazid menganggap bahawa kematian Humaira adalah kerana dia. Suara Encik Yazid selalu terdengar dingin di telinganya.

"Abah Humaira dah balik rumah dia yang dekat kampung. Dia kata rumah dia tak boleh kosong. Dia berat hati nak tinggalkan rumah," terang Puan Mariam.

"Azriel... Azriel okey? Makanlah dulu. Ibu dah masak,"

Azriel tersenyum hambar. Di hadapan semua orang, ketika dia berdiri di depan jasad Humaira, dia kelihatan tegar. Memimpin solat jenazah isterinya seperti hatinya ikhlas merelakan. Kehilangan, siapa yang semudah itu menerima? Bahkan keterpaksaan sedaya upaya dicari untuk dipahat dalam raga.

"Azriel tak rasa lapar. Ibu makanlah dulu. Azriel nak rehat sekejap."

Sejurus selepas itu, kelibat Puan Mariam sirna dari pandangannya. Fikirannya yang kusut kembali menerpa. Kembali mengalir dalam jiwa. Masih ada sesuatu yang seolah-olah belum dia tebus. Kesilapannya kepada Humaira. Ya, kesilapannya.

Azriel melihat kembali suasana bilik yang hening itu. Satu per satu diperhatikan. Pandanglah apa sekalipun, bayang-bayang yang sama terbias. Dahan hatinya semakin memberat. Semakin sendu dan sepi.

Tunak matanya kembali merah. Masih segar di ingatan suara serak Humaira yang mendayu-dayu memujuknya. Baru beberapa jam selepas kepergian Humaira, dia semakin terhimpit. Humairanya sudah tiada. Adakah dunia sedang bermain dengan jenakanya?

Penantiannya, hanya untuk menghantar Humaira pergi selamanya. Bukan lagi dia peneman Humaira saat itu. Tetapi amal kebaikan wanita itu sendiri. Pengorbanan Humaira, dia belum sempat membalasnya.

𝐌𝐚𝐰𝐚𝐫 𝐔𝐧𝐭𝐮𝐤 𝐇𝐮𝐦𝐚𝐢𝐫𝐚Where stories live. Discover now