Bab 32

949 54 0
                                    

Tepat jam 7 petang, Qairul sudah terpacak di hadapan pagar. Dia sengaja menunggu Hayfa di luar kereta bersama sejambak bunga Baby Breath berwarna biru muda. Dalam hati, dia bersyukur yang perjalanan pulang ke Pagoh dipermudah. Tiada masalah lalu lintas. Qairul mula menarik nafasnya dalam. Kata-kata Puan Diana dia fikirkan sepanjang perjalanannya. Mungkin dia perlu cuba untuk menjelaskan apa yang terjadi dan siapa Lydia kepada Hayfa.

Dia tak mahu bermasam muka, dan dia tak sanggup untuk terus berada di dalam kedinginan Hayfa. Semoga lidahnya lancar bertutur malam ini.

Polis bantuan yang sedang bertugas mula datang menghampirinya.

"Tunggu siapa, bang?" Soal polis bantuan yang bernama Din. Dia mengukir senyum.

"Tunggu wife. Balik pukul 7. By the way, memang tak dibenarkan masuk ke? Bukan apa, kesian dia berjalan jauh sangat." Balas Qairul pula. Sempat dia berjabat tangan dengan Din. Mana tahu, dia diberikan kelonggaran untuk jemput Hayfa di dalam. Tak adalah Hayfa terpaksa berjalan jauh. Tengok jarak bangunan kuliah dengan pagar pun dah buat dia rasa penat. Inikan pula isterinya yang kekurangan stamina itu.

"Oh, boleh je, bang." Balas Din dengan ramah. "Dah lama ke abang kahwin?"

"Eh, baru lagi." Jawab Qairul sambil membetulkan kaca mata hitamnya. Dia nampak Din mengerling ke arah bunga di tangan.

"Untung isteri dapat bunga." Komen Din sambil tersengih lebar Qairul turut tersengih. Malu juga apabila ditegur begitu. Dah macam mamat romeo pula tapi dia masih dalam fasa untuk belajar bercinta. Dan dia rasa seronok bercinta dengan isteri sendiri. Dia rasa gembira apabila Hayfa tersenyum lebar setiap kali menerima bunga daripadanya. Dia harap, bunga ini boleh ceriakan hati Hayfa.

Dia juga sudah sediakan makan malam untuk Hayfa sebentar tadi. Sekejap lagi, dia akan panaskan sementara Hayfa mandi. Risau pula apabila Hayfa tidak menelefonnya walaupun sudah dipesan berkali-kali. Dia risau, Hayfa sedih.

"Payahkan kahwin dengan student. Jadual padat sampai pukul 7 baru habis kelas." Sambung polis bantuan itu.

"Biasalah. Student, kan?"

Din terus merenung wajah Qairul dengan lama. Kemudian, dia mengusap dagu sendiri.

"Saya rasa macam pernah nampak abang sebelum ni," getusnya perlahan. Qairul tersenyum nipis. Dia sudah nampak kelibat Hayfa yang berjalan mendekatinya.

Tubuhnya ditegakkan. Bahu Din ditepuk perlahan.

"Orang rumah dah sampai. Jumpa lain kali, Din." Katanya sambil berjabat tangan dengan polis bantuan itu. Hayfa sempat mengukir senyum sopan pada polis bantuan itu. Qairul mula membuka pintu kereta buat isterinya. Bunga di tangan juga dia berikan pada Hayfa.

Hayfa tidak terus menerima. Dia hanya memandang huluran itu buat seketika sebelum teragak-agak untuk menerima bunga itu.

"Thank you." Ucap gadis itu dengan senyuman yang kelihatan tawar. Kening Qairul bertaut sendiri. Ini bukan reaksi yang biasa dia lihat. Tanpa membalas renungannya, Hayfa terus masuk ke dalam perut kereta. Pintu kereta juga ditarik sendiri oleh isterinya itu. Hayfa masih marahkan dia.

Qairul mula menjujut nafasnya dalam. Itulah, siapa suruh tak jujur dengan Hayfa lagi. Bila Hayfa bersikap dingin, barulah tahu nak gelabah? Tak apa... malam ini dia akan menjelaskan segalanya.


Hayfa merenung susuk tubuhnya melalui pantulan cermin. Rambut yang basah itu dia keringkan dengan tuala kecil. Kata-kata Fina masih terngiang-ngiang di kotak mindanya. Entah dia perlu hadam atau tidak kata-kata itu. Semuanya terasa sukar untuk difahami. Otaknya bagai menolak kenyataan yang dikeluarkan oleh Fina.

Cara Untuk Jatuh Cinta (COMPLETED)Where stories live. Discover now