Bab 33

967 55 10
                                    

Qairul mengerling ke arah Hayfa yang menyepi sejak tadi. Dia boleh katakan, Hayfa hampir tidak menjamah makanan yang terhidang di hadapannya. Mungkinkah Hayfa masih marah. Qairul mula menegakkan tubuhnya. Dadanya sudah berdetak laju. Gelisah untuk membuka pekung di dada. Cincin dijari manis dia tenung lama, cuba untuk mencari kekuatan untuk memulakan perbualan.

"Tak sedap?" Soalnya perlahan. Apabila Hayfa menggeleng, dia mula kematian kata. Dia mula menunduk memandang pinggan sendiri. Nasi dia pun tak luak. Mereka berdua hanya makan dalam sepi.

Sebaik sahaja pinggan Qairul kosong, dia terus bangkit bersama pinggan Hayfa yang kosong itu lalu ke dapur. Pinggan dicuci dalam diam. Otaknya pula sudah mula merangka ayat untuk mengajak Hayfa berbincang.

Tubuh Qairul mula mengeras apabila merasakan ada tangan yang memeluknya daripada belakang. Qairul mula menunduk untuk memandang pinggangnya dipeluk daripada belakang sebelum mengintai ke belakang melalui bahunya. Hayfa peluk dia? Adakah Hayfa juga fikirkan perkara yang sama dengannya? Adakah Hayfa juga berfikir yang mereka berdua perlu berbincang?

Paip air terus ditutup lalu dia berpaling untuk memandang Hayfa. Senyuman lebar dia ukir. Namun, belum sempat dia membuka mulutnya, Hayfa terlebih dahulu merangkul lehernya, membuatkan dia membongkok. Bibir Hayfa mula menyentuh bibirnya lama. Kening Qairul mula bertaut.

Bahu Hayfa terus ditolak sedikit kasar. Matanya terus menikam mata Hayfa dengan tajam.

"Kau gila?" soalnya sambil mengesat bibirnya dengan belakang tangannya. Kenapa Hayfa bertindak gila untuk menciumnya pula?

"Kenapa? Tak suka? Ke memang abang tak pernah ada niat nak cium Ayfa? Atau mungkin tak pernah terlintas dalam otak abang pun untuk 'bersama' Ayfa? Kita ni apa? Roommate ke? Kawan? Abang tak pernah nampak Ayfa ni sebagai isteri ke?" Soal Hayfa dengan wajah yang berkernyit.

"Apa yang kau merepek ni?" Bidas Qairul pula. "Timing kau nak cium aku tu tak kena! Kau ingat, dengan kita bermasam muka macam ini, aku ada rasa nak cium kau ke? Kalau ya pun nak sangat cium aku, biarlah kita selesai berbincang dulu!"

Hayfa terus tergelak sinis.

"Oh, berbincang? Okey, jom bincang! Siapa Lyd? Siapa mak cik yang tampar Ayfa tu? Kenapa dia cakap abang rosakkan hidup anak dia? Anak dia tu, Lyd kan? Apa hubungan abang dengan Lyd?" Soal Hayfa dengan kasar. Qairul mula menghembus nafas kasar sebelum mencekak pinggangnya.

"Aku tak suka nada kau, Hayfa Natasha." Tegurnya dengan keras. Hayfa hanya mampu memeluk tubuh.

"Oh, tak suka? Habis, abang ingat Ayfa suka sangat nada abang? Abang ingat Ayfa suka sangatlah kalau abang berkasar dengan Ayfa? Bila Ayfa berkasar, abang tak suka?"

"Ini bukan berbincang, ini kau ajak gaduh!" Tempelak Qairul dengan geram.

"Dengan Lyd tu mesti abang tak pernah kasar-kasar kan? Mesti abang tak guna 'kau-aku' kan? Abang panggil dia apa? Sayang? Baby? Abang guna I-you? Jadi, bagi tahulah siapa dia? Kekasih abang? Abang masih berhubungan dengan dia belakang Ayfa?" Soal Hayfa bertalu-talu.

"Kau nak cakap aku curang ke, Hayfa?"

"Habis tu?" suara Hayfa naik satu lagi oktaf. Matanya juga sudah mula panas. "Ayfa ni, macam duduk dalam tempat gelap tahu tak? Ayfa tak tahu apa-apa fasal abang. Tentang abang! Ayfa rasa, abang tak pernah buka hati abang untuk Ayfa! Ayfa rasa, abang macam orang asing!"

Matanya terus mencerlung tajam ke arah Qairul.

"Abang masih cintakan dia, kan? Betul tak?" Tekan Hayfa lagi. Qairul mula menarik nafasnya dalam.

"Kalaupun aku cintakan dia, apa kau nak buat?"

Telinga Hayfa mula berdesing. Matanya yang tadinya panas mula terasa kabur. Sakitnya hati dia, ya Allah. Wajah Qairul yang kelihatan dingin ini direnung lama.

Cara Untuk Jatuh Cinta (COMPLETED)Where stories live. Discover now