PROLOG

2.5K 44 1
                                    

SUASANA di Dewan Datin Halimah semakin dipenuhi dengan suara riuh-rendah murid-murid darjah satu sehinggalah ke darjah enam. Badanku sudah menggigil hebat tatkala melihat mata-mata mereka yang tidak habis-habis merenung ke arahku.

Aku tahu, aku sudah buat kesilapan besar. Aku menuliskan sepucuk surat untuk Zafriel Ikhwan, lelaki yang aku suka sejak awal tahun aku menjadi seorang murid darjah tiga. Fikirku, Zafriel yang akan membaca surat luahan hatiku itu, rupa-rupanya kawan-kawannya yang baca terlebih dahulu.

Aku tidak tahu macam mana Haizam dan Akmal dapat surat itu sedangkan aku letak rapi-rapi bawah mejanya.

Takkanlah Zafriel sendiri yang bagi surat itu kepada rakan- rakannya? Nafasku hela perlahan.

"Aisy Aqasha binti Jamal!"

Bam!

Bagaikan ada batu besar menghempap kepala aku. Akhirnya, suara lunak milik Cikgu Nazifah, selaku guru disiplin di sekolahku melaungkan nama penuh aku. Siap berbinti lagi. Bibir aku kebam. Matilah aku!

"Aisy, cikgu sebut nama kau tu." Beritahu Ayana dengan kerutan di dahinya.

Aku melepaskan keluhan berat. Aku tahu, Ayana tahu apa yang bakal berlaku sekejap lagi. Sejak aku darjah satu sampailah aku darjah tiga, Ayanalah kawan aku. Kami tidak adalah rapat mana tapi, aku selalulah dengan dia.

"Aku takut," aduku.

"Masa kau buat hal, kau tak takut pulak? Aku dah cakap, kan jangan tulis-tulis surat dekat Zafriel. Kau suka dia diam- diam sudahlah. Tengoklah sekarang jadi apa. Entah-entah, Zafriel sendiri yang bagi surat tu dekat member dia," bebel Ayana dengan ekspresi muka seakan-akan sedang menahan geram.

Hesy! Takkanlah...

"Kenapa dia nak bagi surat tu dekat member dia? Dia kan baik. Takkanlah dia nak malukan aku, kut?" Terangkat sebelah kening aku memandang Ayana.

Ayana mencerlung memandang aku. Dia terus merapatkan jarak kedudukannya dengan aku lalu bahu aku ditepuk perlahan.

"Masalahnya dia tak sukakan kau, Aisy. Mestilah dia akan bagi surat tu dekat kawan-kawan dia. Kau pun satu. Lain kali jangan tulis nama. Tengoklah apa jadi sekarang ni," katanya.

Aku tertunduk malu. Aku tahu, aku silap sebab gatal tangan sangat tulis surat meluahkan perasaan aku kepada Zafriel walhal aku tahu dia cuma anggap aku sebagai seorang kawan.

Di sekolah agama, Zafriel selalu kacau aku. Dia baling pemadam pada aku bila aku tidur waktu subjek bahasa Arab. Sebab itulah aku jatuh suka dekat dia. Dia yang mulakan dulu. Salah akukah kalau aku sukakan dia?

"Lagi-lagi Si Zafriel tu pengawas. Mungkin dia tak nak cikgu tuduh dia bukan-bukan. Sebab itulah dia bagi surat tu dekat kawan-kawan dia. Suruh kawan-kawan dia baca." Ayana bersuara lagi.

Aku memandangnya bersama mata kuyu. Bibir bawah aku gigit sedikit. Sekali lagi, salah akukah kerana sukakan dia? Perasaan ini hadir dengan tiba-tiba. Bukannya aku yang minta.

"Aisy Aqasha binti Jamal!"

Tersentak terus aku bila suara Cikgu Nazifah meninggi memanggil nama penuhku. Cepat-cepat aku berdiri dari duduk dan mara ke hadapan. Berat betul kaki aku nak melangkah naik ke atas pentas.

"Awak tahu apa kesalahan awak, kan? Cikgu bukan nak malukan awak tapi, ini sebagai denda untuk awak supaya awak tak ulangi kesilapan awak lagi. Aisy, awak baru sembilan tahun. Perjalanan hidup awak masih jauh. Cikgu tak sangka di usia sekecil ini awak dah pandai menulis surat cinta. Awak tak malukah?" Bebel Cikgu Nazifah sambil merenung ke dalam mata aku.

Tubir mata aku bergenang. Huluran Cikgu Nafizah lambat-lambat aku sambut. Surat cinta yang sudah renyuk kertasnya aku buka perlahan-lahan.

"Cikgu nak awak baca apa yang awak tulis ni di hadapan pelajar-pelajar lain. Awak tak malu tulis benda tak berfaedah macam ni jadi, awak pun tak malu untuk membacanya." Sinis Cikgu Nazifah berkata.

Mikrofon diberikan kepada aku.
Mulut aku bagaikan terkunci. Mataku melilau memandang murid-murid yang sedang duduk di bawah. Sekilas pandangan mata aku bertembung dengan pandangan mata Zafriel yang sedang berdiri di antara barisan murid-murid darjah satu dan murid-murid darjah dua.

"Kehadapan Zafriel Ikhwan yang saya cintai..."

Booo!

Semakin lebat air mata aku mengalir. Suara ejekan murid-murid lain buatkan semangat aku merundum habis tapi aku terpaksa sambung bacaanku bila Cikgu Nazifah dah besarkan mata dia.

"Saya nak beritahu yang saya sukakan awak. Saya tak nak pendam perasaan ini lama-lama. Saya betul-betul sukakan awak sejak dari sekolah agama lagi. Saya harap awak balas surat saya ini. Sekian, Aisy Aqasha."

Aku mengangkat pandangan mata aku, jasad Zafriel sudah tidak kelihatan. Aku tidak sedar bila dia beredar. Ke manakah dia?

"Ini amaran pertama, Aisy. Ini denda untuk awak. Lain kali, kalau awak ulang lagi kesilapan yang sama, cikgu terus panggil mak cik awak datang ke sekolah. Faham?!" Cikgu Nafizah terus merampas surat itu dari tangan aku. Lambat- lambat aku menganggukkan kepala.

"Dah, turun!"

Air mata aku seka pantas. Sebaik sahaja aku turun, aku tidak terus duduk di barisan sebaliknya aku berlari ke tandas. Aku lepaskan tangisan aku di dalam tandas. Setelah hati aku rasa reda barulah aku keluar semula. Terkejut aku tengok jasad

Zafriel yang lengkap berompi merah berdiri di hadapan aku. Mungkin dia baru keluar dari tandas agaknya.

"Puas hati kau dapat malukan aku?" soalnya sambil menentang tajam ke dalam mata aku.

"Zafriel, aku..."

"Dahlah, Aisy. Kau jangan nak perasan boleh tak? Aku tak pernah sukakan kau. Sikit pun tidaklah! Aku kacau-kacau kau di sekolah agama tu sebab aku nak berkawan dengan kau bukannya aku sukakan kau. Cerminlah diri kau tu sikit!" jerkahnya.

Hancur hati aku bila Zafriel cakap begitu. Aku cuba menghalang laluannya tapi, dia tolak aku sehingga badan aku terdorong ke belakang.

"Kau dengar sini, Aisy. Aku takkan pernah lupa dengan apa yang jadi di perhimpunan tadi. Kau malukan aku. Sampai mati aku bencikan kau!"
Usai cakap begitu, Zafriel terus melangkah pergi meninggalkan aku seorang diri di hadapan tandas. Sekali lagi air mata aku mengalir membasahi pipi.

Selepas kejadian itu, seminggu aku tidak datang ke sekolah sebab nak tutup malu. Aku bohong dengan mak cik aku. Aku cakap aku demam sedangkan aku sihat walafiat.

Sekembalinya aku ke sekolah, aku dikejutkan dengan kehadiran murid baharu, iaitu Tengku Widya. Dia dari Kuala Lumpur.

Walau bagaimanapun, aku rapat dengan dia. Kami berkawan sampailah Widya cakap dia sukakan Zafriel Ikhwan. Duniaku hancur.

LELAKI TERAGUNG [18+]Where stories live. Discover now