Bab 18

1.6K 156 1
                                    

Matanya dibuka luas. Perih apabila cahaya matahari terus menembusi anak matanya. Dipejamkan sebentar. Tangannya diangkat untuk menutup sinaran yang terang itu dari matanya. Namun, tangannya tersekat. Kiri dan kanan, kedua-duanya tak mampu diangkat. Terasa pedih di pergelangan tangan.

Dia memandang tangannya di sisi kiri. Terikat dengan rantai besi yang amat kejap. Tiada ruang udara yang dapat menembusi rantai besi itu. Dipandang ke sisi kanan. Hal yang sama berlaku. Kenapa aku diikat sebegini?

Dalam keadaan terbaring, dia cuba bangun. Tapi, gagal. Digerak-gerakkan kakinya untuk membantu tubuhnya bangkit pergi dari situ. Namun, tak terdaya tatkala kaki-kakinya turut dikunci.

Pandangan dilemparkan pada sekeliling tempat itu. Dari tempat pembaringannya, dia dapat melihat yang tempat itu kosong dan lapang. Dipenuhi pasir di sekitarnya. Padang pasir yang amat sunyi.

Allahuakbar! Aku kat mana ni?

Najihah menjerit meminta tolong. Semakin lama semakin kuat gelombang suara yang terhasil. Air matanya mula merembes keluar. Tolong! Sesiapa, tolong aku!

Pergelangan tangannya semakin dicengkam kuat. Cecair merah semakin menunjukkan diri. Ya Allah, sakitnya!

"Arrrggghhhh!" Sekuatnya dia menjerit.

"Jeritlah kau sepuas yang kau mahu. Aku tak akan halang. Cuma satu aku nak bagitahu, semakin kau menjerit, semakin ketat cengkaman rantai besi itu pada tangan kau." Satu suara yang tiba-tiba datang berhujah panjang.

Najihah terhenti meronta. Dari jauh, kelihatan satu susuk tubuh yang berbaju hoddie hitam dan memakai topeng muka berjalan menuju ke arahnya. Najihah gelabah. Dia baru sedar yang dia tidak memakai tudung. Macam mana dia nak tutup kepalanya kalau tangan dan kaki dikunci rapat?

Ya Rabb, maafkan aku kerana auratku tidak ku tutup dengan sempurna.

"Apa kau cari? Tudung?" Sinis bunyinya. Seakan dibaca firasat Najihah saat ini. Najihah terkejut. Adakah dia mampu membaca kata hatiku?

"Kau siapa?!" Najihah melontarkan suaranya dengan keras. Kesakitan di bahagian pergelangan tangan cuba ditahan.

Lelaki misteri itu makin hampir dengan tempat pembaringan Najihah. Dibuka topeng mukanya dan hoddie itu dijatuhkan ke belakang.

"Muaz?"

"Kau masih ingat aku? Masih lagi ingat manusia yang kononnya dikatakan memberi fake hope kepada kau?" Lelaki digelar Muaz tersengih sinis. Matanya tajam menikam mata Najihah.

"Kenapa kau ikat aku macam ni?" Bukan jawapan yang diberi malah soalan yang ditanya.

Muaz berjalan mengelilingi Najihah dengan angkuh.

"Pembetulan. Bukan aku yang ikat kau. Tapi, kau sendiri yang mengikatnya."

"Tipu! Mana mungkin aku boleh ikat sendiri dan tak mungkin aku nak cederakan diri aku sendiri!" Najihah mula berang apabila dirinya dituduh begitu.

"Aku tak tipu. Kau sendiri yang tak sedar. Dasar hipokrit! Mungkir janji! Munafik!" Tengking Muaz sambil menolak kepala Najihah dengan kuat.

"Apa salah aku?" Suaranya semakin mendatar. Tenaga untuk bersuara tinggi sudah tiada.

"Apa salah kau? Sepatutnya kau tanya diri kau sendiri. Dulu aku memang suka mainkan perempuan dan tak sangka kau ambil benda itu serius bila aku selalu rapat dengan kau. Hati kau berbunga masa tu. Aku memang jahil tapi sejahil aku, aku bukan spesis mungkir janji. Lepas aku tinggalkan kau, kau dengan hati kecewa menangis pada Allah sambil mengatakan hati kau terluka. Tiap hari kau macam hilang arah. Kau makin berubah bila sedar yang Allah kecewakan hati kau kerana Dia cemburu melihat kau cinta makhlukNya melebihi segalanya. Saat itu, kau mula bertudung labuh, berstokin, berhandsock dan sentiasa ingatkan diri untuk tidak mempercayai lelaki. Kau pernah berjanji yang kau takkan biarkan hati kau kotor lagi dengan cinta ajnabi. Kau akan jaga ikhtilat kau. Kau akan terus-menerus menundukkan pandangan kau. Tapi, kau tipu. Bilamana hati kau terusik sedikit dengan kata-kata lelaki itu, kau terus lupa janji kau. Kau biarkan hati kau kotor kembali."

"Aku dah tundukkan pandangan aku. Tapi, perasaan itu tetap ada."

"Tipu!" Kedengaran pula suara perempuan dari arah selatan. Yana yang berbaju jubah hitam mendekatinya.

"Yana! Tolong aku. Tolong lepaskan aku," pinta Najihah. Dia amat berharap yang sahabat baiknya itu membebaskan dia dari tempat itu.

"Tak nak! Dasar penipu!" Yana menolak keras pertolongannya. Najihah semakin keliru. Apa yang dah berlaku sebenarnya ni? Kenapa Yana bersikap begini?

"Kenapa kau cakap aku macam tu?"

"Sebab kau memang penipu. Bukan ke kau pernah pesan pada aku? Kalau perasaan suka itu dibiarkan pergi, lama-lama ianya akan hilang sendiri. Kenapa? Sebab rasa itu sememangnya desakan syaitan yang menghasut anak cucu Nabi Adam untuk melakukan maksiat. Tapi, kau? Kononnya dah tundukkan pandangan. Padahal dalam hati kau, bersorak riang bila dia datang dekat dengan kau. Kau biarkan hati kau melayan perasaan suka itu. Kau biarkan syaitan terus menghasut kau. Kau suka bilamana dia, ajnabi mengusik kau. Dalam menghadap Allah pun, kau masih memikirkan dia. Kau lupa janji kau! Kau khianati diri sendiri! Dasar munafik!"

Air mata tak mampu ditahan lagi. Makin deras ianya mengalir. Mengenangkan dosa yang dia sendiri cipta. Ya Allah, aku lupa janji aku. Janji untuk tidak mengotori hati dengan cinta palsu sang ajnabi. Aku kalah lagi. Kalah memperjuangkan visi aku sendiri.

Yana dan Muaz semakin hilang dari pandangannya. Najihah terus menjerit.

"Jangan tinggalkan aku! Tolong jangan tinggalkan aku! Ya Allah, aku bertaubat. Aku benar-benar menyesal kerana mencintai ajnabi melebihiMu. Ampunkan aku kerana semakin jauh dariMu."

Cengkaman di tangan semakin pedih. Darah mengalir laju dari celahan antara rantai besi dan pergelangan tangannya. Kesakitan pada ikatan di pergelangan kaki turut dirasa. Peritnya bagai dicakar dengan ribuan haiwan buas. Ya Allah, sakitnya. Sakit yang amat sangat!

Entah bagaimana, tiba-tiba dadanya terasa sesak untuk bernafas. Bagai disiat-siat jantungnya. Ditusuk ratusan pedang yang amat tajam. Argghhh!!

Najihah membuka mata dalam keadaan mengejut. Keadaan sekeliling diamati. Gelap.

Aku berada di mana ni?

Tangan kanan cuba diangkat. Diteliti pergelangan tangannya. Tiada luka mahupun rasa sakit tadi. Begitu juga tangan kiri. Masih elok tanpa sebarang calar. Dipegang dadanya, tiada pedih yang dirasa.

Ini bermakna dia cuma bermimpi! Mimpi yang amat ngeri baginya. Tiba-tiba air mata kembali merembes. Ya Rahman, petanda apakah ini? Inikah teguran kasih sayangMu pada hambaMu yang lemah ini?

Najihah bangkit dari pembaringannya sambil menuju ke bilik air untuk mengambil wuduk. Dikala pukul 3 pagi ini, dia mahu bersama penciptanya. Dia mahu luahkan segalanya. Sekarang baru dia sedar mengapa sejak kebelakangan ini, dirinya cukup malas untuk beribadat. Rupanya semua ini atas kesalahan dirinya sendiri. Tangisannya mula kuat kedengaran tatkala dia menadah tangan membaca doa. Ampunkan aku, Ya Allah!

'Bencana dunia akan lebih cepat menimpa para pencinta wanita/lelaki seperti cepatnya api membakar kayu kering. Kerana setiap kali hati DEKAT dengan orang yang di cintai, maka dia akan semakin jauh dari Allah. Hati yang paling jauh dari Allah adalah hati orang yang tenggelam dalam cinta...'
(Ibn Qayyim)

Cinta 5 SaatWhere stories live. Discover now