Part 26

3.2K 81 6
                                    


"SAYANG yang minta abang kahwinkan? Sayang nak abang ada zuriat sendiri, nah. Sekarang Huna dah mengandung. Apa lagi yang sayang nak abang buat supaya senang hati sayang. Tak akanlah sayang nak abang ikut cakap nenda tinggal dengan Huna dekat sana dan tinggalkan sayang dekat sini," luah Riyad pada si isteri.

Seminggu selepas Huna disahkan hamil dua bulan hati Riyad seakan tidak gembira. Dia tertekan dan serabut memikirkan hal itu. Tengku Sarah memaksa dia supaya tinggal Huna di rumah wanita itu dan dia juga perlu ada sama di sana. Maksudnya Riyad terpaksa meninggalkan Shahira dan Khairina berdua di sini. Tak mungkin Riyad lakukannya.

"Abang, betullah permintaan nenda tu. Huna perlukan perhatian lebih daripada abang. Dia sedang mengandungkan anak abang. Abang kena jaga hati dia, jaga kandungannya. Hira tahu walaupun Huna tak pernah meminta mahupun bersunggut soal ini, hati perempuan abang. Tambah-tambah dia pembawa budak lagilah lebih beremosi daripada Hira. Terima sahajalah permintaan nenda tu. Lepas Huna selamat melahirkan dan berpantang abang bawaklah Huna balik ke sini lagi." Shahira memujuk.

"Sayang tak rasa ke yang nenda cuba pisahkan abang dengan sayang. Nenda memang tak dapat nak menerima yang abang beristeri dua. Melanggar peraturan mengarut dia tu! Dia nak abang ceraikan sayang dan mengangkat Huna jadi isteri abang yang satunya."

Huna yang sedang menatang dulang untuk memberi ubat kepada Shahira berhenti melangkah. Walaupun Khairina ada untuk menguruskan fasal memberi makan ubat kepada Shahira. Huna berkeras juga mahu melakukan. Perkara itu sudah menjadi rutin pada dirinya. Dia secara tidak sengaja terdengar perbualan di antara suami dan madunya. Jantungnya berhenti mengepam seketika. Bergegar satu badan cuba menahan kesedihan yang datang bertandang.

"Abang tak mampu sayang... abang tak mampu nak kongsikan rasa cinta ini kepada dua orang isteri. Cinta abang hanya untuk sayang aje bukan untuk Huna. Abang kahwin dengan Huna sebab abang rasa dia boleh berikan kita zuriat. Abang tahu dengan cara abang tebus balik tanah dan rumah serta bayar hutang dia, dia pasti tidak akan menolak lamaran abang. Mungkin ia terlalu kejam tapi abang sanggup buat apa sahaja demi kebahagiaan sayang. Huna wujud kerana sayang yang suruh bukan abang yang mencintai dia..." Riyad merengek di paha Shahira yang duduk berjelujur di katil.

Shahira mengusap rambut Riyad, memujuk hati sang suami yang gundah itu. Sudah berkali-kali Riyad bagitahu dia perkara ini tanpa pengetahuan Huna. Dia tetap memujuk supaya beri sedikit rasa cinta untuk isteri kedua. Dia tahu sukar untuk Riyad lakukan tapi Shahira yakin. Lama-lama Riyad pasti boleh. Namun hari ini, sekali lagi Riyad mengadu. Shahira semakin hilang idea.

"Abang... Huna wujud kerana Allah yang mengurniakan dia kepada kita. Bukan sebab Hira mahupun abang. Dia adalah sebahagian daripada tulang rusuk yang mana Hira tidak dapat nak sempurnakannya. Sekarang dia adalah isteri kedua abang yang sah nak taknak abang perlu sayang dia macam abang sayangkan Hira. Fikirkan keadaan Huna abang, dia sedang mengandungkan anak kita,"

Air mata Huna tiba-tiba berjuntai turun dengan lebat. Sungguh Huna rasa terluka sekarang. Dulu Huna langsung tak kisah bila Riyad lebihkan Shahira dari dia. Sekarang dia dah rasa lain. Dia memang juga perlukan Riyad dalam hidupnya sebab dia pun isteri Riyad juga.

"Hira tak boleh nak paksa abang. Hati abang memang lebih sayangkan Hira berbanding Huna...abang..."

"Abang..." Huna mencelah. Dia kini sudah terpacak di hadapan pasangan itu.

"Kalau abang berat nak jaga Huna, Huna akan tarik diri dalam perkahwinan ini. Lepas anak ini selamat dilahirkan Huna akan pergi dari hidup abang dan Kak Hira."

Selesai bicara Huna terus meletakkan dulang dan serta merta dia keluar dari bilik itu.

"Huna tunggu dulu!" Shahira sudah menjerit kecil. Dengan keadaan Riyad masih bertenggek di pahanya. Sukar untuk dia mengejar wanita itu.

JODOH YANG DITAKDIRKAN aka CALON ISTERI KEDUAWhere stories live. Discover now