#16

4.5K 89 1
                                    

EBOOK VERSION DAH AVAILABLE TAU. Boleh dapatkan di ESentral. Download je apps ESentral, pastu korang boleh lelajus grab.☺️
.
PUAN ZUHAILIN mengerutkan dahi sebaik melihat anak bongsunya muncul di laman rumah. Bertambah kerutan bila pulang seorang diri. Di mana menantunya?

Baru dua hari menjadi isteri sudah pulang seorang diri? Hatinya kurang senang dengan perkembangan itu.

Dia menutup pili air dari terus melayan bunga-bunga yang mekar dek hasil tangannya lalu menghampiri si anak bongsu. Sugul sahaja wajah itu. Langsung tidak cuba menyembunyikan rasa hati.

Dia mengeluh berat. Anak yang sentiasa dimanjakan itu sememangnya tidak bijak menyembunyikan perasaan sendiri. Segalanya ditunjukkan di wajah. Polos.

"Kenapa balik sini tak bawak menantu ibu?" soal Puan Zuhailin lembut.

Atiya menjulingkan mata. Soalan begini tidak patut disoal. Bukan ibunya tidak tahu hubungan yang terjalin bukan di atas kemahuannya. Lalu untuk apa berpura-pura?

"Menantu ibu tak sudi balik," balas Atiya seraya meraih tangan Puan Zuhailin lalu dicium hormat. Pipi Puan Zuhailin juga dijadikan mangsa. Kepala dilentokkan manja di bahu si ibu. Tenang di situ.

"Tak sudi balik atau Tiya yang lari balik?" tembak Puan Zuhailin tepat pada sasaran.

"Ibu ni," sungut Atiya mengetap bibir geram. Sudah tahu bertanya pula. Tak perlu disebut-sebut tentang lelaki itu. Menyampah!

Atiya menarik tangan Puan Zuhailin masuk ke dalam rumah. Lalu didudukkan di sofa. Kepala terus dilentokkan di bahu itu. Bibir terketap rapat. Menahan rasa yang bergolak di hati.

Ibunya tidak tahu betapa dia dibuli oleh lelaki itu. Sepatutnya lebih prihatin terhadap anak sendiri. Bukan bertanya tentang menantu hantu itu!

"Kenapa ni? Anak ibu kena buli ke?" soal Puan Zuhailin mengeluh halus.

Dapat dibaca apa yang bermain di hati si anak. Masakan tidak bila anak bongsunya itu begitu manja dengannya selama ini. Melihat sahaja riak di wajah Atiya dia sudah dapat menangkap apa yang bermain di hati si anak.

Atiya tidak membalas. Lebih selesa mendiamkan diri. Atau lebih tepat lagi tidak tahu bagaimana mahu membuka cerita.

Cerita seperti itu tidak sesuai untuk dibicarakan dengan sesiapapun. Hal dalam kain suami isteri. Walau hatinya terdera, dia hanya mampu menelan semuanya sendiri.

"Huzer tak layan anak ibu baik-baik ke?" soal Puan Zuhailin lembut. Tangannya membelai lembut rambut Atiya.

"Ibu... Tiya nak tinggal dengan ibu," ucap Atiya. Nadanya begitu manja seperti anak-anak kecil yang mengharap gula-gula dari ibunya. Merengek bila hajat tidak dipenuhi.

Puan Zuhailin terdiam lama. Hati terjerut mendengar permintaan si anak. Tidak mampu menolak. Tidak juga mampu menunaikan.

Atiya sudah menjadi isteri orang. Tempat Atiya bukan lagi di sisinya. Walau dia ingin anaknya kembali, dia tahu tempat Atiya kini di sisi suami. Selagi Huzer tidak mendera anaknya, dia terpaksa menulikan telinga di atas permintaan Atiya.

Atiya juga tidak cuba meminta lagi. Dapat meneka jawapan yang tidak terungkap di bibir Puan Zuhailin.

Dia sekadar bersuara. Meluahkan rasa hati. Betapa dia tidak sudi tinggal sebumbung dengan lelaki itu. Biarpun begitu dia sedar dia perlu juga kembali. Cuma untuk hari ini dia mahu bersama keluarganya. Tidak ingin berhadapan dengan lelaki itu.

Dua malam bersama dan dia langsung tidak terlepas dari tangan lelaki yang menuntut hak yang tidak dapat ditolak. Walau dia cuba menolak langsung tidak dipedulikan lelaki itu. Malah dirinya dikasari kerana cuba melawan.

Lelaki yang dingin beku itu mahu pula menyentuhnya. Kenapa tidak dibiarkan sahaja dia sendiri? Kenapa perlu menuntut yang tidak perlu?!

Mereka bukan berkahwin kerana suka sama suka. Lalu untuk apa menuntut hak yang satu itu? Dia hanya ingin memberi jiwa dan raganya pada suami tersayang. Bukan lelaki itu!

"Tiya..."

Atiya diam sahaja.

"Tiya... Tiya dah jadi isteri Huzer," ucap Puan Zuhailin menyatakan kenyataan yang pahit itu. Kenyataan yang perlu ditanam kemas di ingatan gadis itu.

Atiya tersenyum sinis. Jika bukan kerana Huzer yang sengaja menyukarkan keadaan, mana mungkin dia mendapat gelaran isteri.

"Tiya tahu," ucapnya lirih.

"Ibu tak pernah paksa Tiya." Puan Zuhailin tersenyum pahit.

Atiya memejamkan mata. Tiada siapa yang paksa. Hanya keadaan yang memaksa. Atau lebih tepat lagi lelaki itu yang menyebabkannya memaksa diri.

"Tiya kena kuat, sayang. Mama tahu susah Tiya nak terima. Tapi hubungan suami isteri bukan mainan. Bukan hubungan sehari dua. Ibu harap berkekalan selamanya."

"Erm..." Tiada kata yang mampu terluah lagi.

Dia faham benar maksud Puan Zuhailin. Hubungan ini sudah terikat mati. Tiada jalan keluar lagi buatnya. Dia perlu cuba melangkah ke hadapan biarpun terasa kelam masa depan.

Mungkin seumur hidup ini dia perlu hidup menjeruk rasa. Melupakan rasa cinta. Hidup sekadar hidup. Jangan mengharap bahagia.

Bukan MahukuWhere stories live. Discover now