🌻BAB - 17🌻

2.1K 158 20
                                    

“ADA apa nak jumpa saya ni?” tanya Danial sebaik saja berlabuh. Tangan menggamit memanggil pelayan.

“Saja.” jawab Liyyan sambil kornea matanya memandang tingkah laku Danial yang sedang memesan makanan.

“Saja? Kalau saja baik saya tak payah datang. Buang masa je la!” ujar Danial lalu bersandar. Tangan mulai memeluk tubuh. Merenung wajah Liyyan yang tidak mempamer sebarang riak bersalah.

“Wah! Sejak bila awak rasa buang masa pada hubungan kita ni?” soal Liyyan lalu ketawa. Sinis dengarnya.

“Sejak awak curang di depan saya.” kata Danial beriak serius. Nadanya juga mendatar saja.

“Huuu...” Liyyan ketawa lagi. Terasa kelakar dengan jawapan Danial. Siapa yang curang sebenarnya ni? Dia atau Danial?

“Annoying!” Danial bingkas bangun. Reaksi Liyyan begitu menjengkelkan hati.

“Eh, kejaplah. Takkan nak balik dah?” Liyyan pantas menghalang. Tidak disangka rupanya Danial mudah tersentap.

Sambil mendengus Danial kembali berlabuh. Bersandar malas dengan gelengan kepala tika matanya memandang Liyyan sibuk membelek wajah di depan cermin.

“Awak suruh saya duduk semata-mata untuk tengok awak make-up ke?”

“Apa salahnya, bakal isteri awak juga kan. Awak yang mahukan semua ni jadi awak kena bersedialah.” tutur Liyyan, sengaja dia bermain kata untuk melihat reaksi lelaki itu. Cerminnya kembali disimpan ke dalam tas tangan.

Danial tergelak sinis. Bakal isteri? Sukar pula untuk dia hadam begitu saja. Tak pernah terfikir perkataan itu akan lahir dari ulas bibir Liyyan.

“Jadi apa tujuan awak ajak saya keluar? Kali ni saya nak dengar jawapan serius, bukannya main-main.” tanya Danial lagi. Lebih awal dia sertakan amaran ringan. Masih ada perkara penting yang harus dia uruskan.

“Pasal pertunangan kita.” jawab Liyyan serius seperti yang Danial mahukan. Riak wajahnya turut berubah beku.

“Apa yang tak kena?” Danial menyoal penasaran.

“Betul ke awak masih nak teruskan? Saya tanya untuk kali terakhir ni.” soal Liyyan. Jawapan Danial amat dia perlukan untuk dia bertindak seperti perancangannya.

“Yup! Tak akan ada pembatalan daripada saya, jadi awak kena ikut serta. Keputusan saya masih tak berubah. Muktamad!” jawab Danial dalam nada tegas. Tidak kompromi yang diberikan kepada gadis itu. Apa yang telah dia rancang harus berlaku pada tepat waktu.

“Walaupun saya curang?” Liyyan menduga. Boleh bertahankah Danial dengannya?

“Saya akan pastikan awak tak curang sebaik saja kita kahwin. Aariz tu sekejap je saya boleh settle kan.” tutur Danial lalu ketawa. Senyuman turut melebar luas. Dia akan lakukan apa saja asalkan impiannya tercapai.

“Awak nak buat apa? Jangan berani sentuh kawan-kawan saya!” ugut Liyyan. Tubuhnya terus tegak dan merenung Danial dengan tajam.

Tawa Danial kian menjadi-jadi apabila dia berjaya mencuit amarah Liyyan sehingga wajah itu berubah agak bengis. Rupanya itu kelemahan tunangan ini. Kawan-kawan, bukannya keluarga seperti yang dia fikirkan sebelum ini.

“Kalau saya sentuh jadi apa?” duga Danial. Sengaja dia mencabar. Mahu melihat sejauh mana sangat gadis bernama Liyyan itu akan bertindak. Tapi, tetap nampak lemah di matanya.

“Awak akan tahu akibatnya.” kata Liyyan berbaur nekad. Saat ini dia tidak suka bermain kata.

“Sebab tu jangan main-main dengan saya, Liyyan. Saya ni berhasrat baik nak realisasikan impian dan harapan keluarga kita tapi awak ni sangat degil. Selalu ingkar, melawan dan membantah. Kalau awak tak nak saya apa-apakan kawan-kawan awak tu, awak kena ikut serta dengan saya. Keluarga kita lebih penting. Bisnes adalah masa depan kita, bukannya kawan-kawan awak tu. Mereka tu hanya nak tumpang kesenangan dan pengaruh awak je. Kalau awak tu tak ada apa-apa jangan harap kawan-kawan awak tu nak melekat dengan awak.”

Terangguk-angguk Liyyan mendengar. Begini cara Danial berfikir. Lelaki ini juga tampak mementingkan kedudukan, sama seperti keluarganya sehingga sanggup hati dan perasaan ditepikan. Malahan, dengan berani dan yakinnya menghina kawan-kawannya di hadapannya sendiri.

“Saya masih berpendirian. Saya takkan ikut serta. Saya dah cakap kan, saya tak akan kahwin dengan awak jadi jangan memaksa saya buat sesuatu yang tak pernah awak sangka.” balas Liyyan. Jika itu keputusan Danial yang dengan angkuhnya memberi ugutan, dia juga tidak akan berdiam diri.

Danial geli hati. Lucu dengan pendirian Liyyan yang masih tidak menampakkan sebarang hasil setakat ini. Segalanya hanya omongan kosong untuk menunjukkan diri itu berpendirian seperti yang sering dikata.

“Pendirian awak takkan ke mana pun. Awak ni cakap je lebih. Mengantuklah!” Danial pura-pura menguap. Bosan mendengar pendirian demi pendirian yang dinyatakan oleh gadis itu.

Mendidih juga telinga Liyyan mendengar. Kata-kata Danial begitu memandang enteng terhadap pendiriannya. Tapi tidak mengapa, tunggu dan lihat. Siapa yang bercakap lebih? Siapa yang akan terdiam?

“Saya nak pulangkan cincin tapi cincin tu dah saya buang sebab cincin tu tak bermakna apa-apa. Jadi saya akan bayar dengan pampasan.” kata Liyyan mencapai tas tangan di sisi.

“Buang?” Mata Danial tepat memandang wajah Liyyan.

“Yeah! Saya sedekah kat orang yang cuci pinggan. Untung-untung pahala tu dapat kat awaklah.” ujar Liyyan dengan senyuman lebar. Rasa sangat berpuas hati dengan apa yang telah dia lakukan. Tiada lagi tanda yang mengikat antara mereka.

“Cincin je kan tapi ikatan kita masih utuh.” Danial ketawa dengan tindakan Liyyan. Cincin tidak melambangkan sebarang keputusan bagi pertunangan mereka.

“Saya harap awak akan terus bercakap macam ni untuk hari-hari seterusnya.” ujar Liyyan seraya menyedutkan minumannya dan terus bangkit dari duduk.

“Nak ke mana? Awak ajak saya makan tapi awak nak tinggalkan pula.” ujar Danial geli hati. Tidak sudah-sudah dia ketawa. Terasa kemenangannya kian ampuh.

“Tak ada selera nak makan bersama dengan orang jenis macam awak.” kata Liyyan mahu mengaturkan langkah, namun kata-kata Danial menghentikan aturan itu buat seketika.

“Inilah sikap awak yang tak pernah menghormati orang lain ketika sedang makan. Saya rasa awak patut belajar tentang adab sebelum menjadi isteri saya. Saya tak nak dapat malu beristerikan perempuan yang tiada adab. Bukan setakat saya saja yang akan dapat malu tetapi juga nama baik keluarga saya pasti akan tercemar dengan tingkah laku awak yang langsung tidak beradab.” ucap Danial sambil matanya lurus memandang ke hadapan. Tiada rasa untuk memandang wajah itu sama sekali yang hanya akan menyakitkan hati dan membuat dia rasa muak.

Liyyan sekadar senyum nipis. Tidak terkesan dengan bicara dari lelaki itu.

“Lagi satu, berseronoklah dengan Aariz tu sementara ada waktu sebelum awak menjadi milik saya. Pastikan awak tak curang selepas kita kahwin nanti.”

Hanya tawa yang Liyyan balas sebelum dia mengayun langkahnya semula. Terasa kelakar dengan bicara akhir Danial. Geli hatinya mendengar.

“Perempuan ni...” Danial mengepal kedua belah tangannya. Makanan yang sudah lama dihantar tadi dipandang sepi.

“Dua kali aku ditinggalkan. Aku akan pastikan kau takkan tinggalkan aku lagi.” tutur Danial lalu menarik pinggan dan menikmati makanannya.

Hampir lima belas minit dia menghabiskan makanan sebelum telefon pintarnya berbunyi. Pantas panggilan itu dijawab dengan senyuman yang mulai bergayut di bibir. Sejuk hatinya melihat nama yang tertera itu.

“Hello, sayang... ada apa ni call I ni?” sapa Danial sebaik menjawab panggilan.

“Balik sekarang. Cepat!”

Kedudukan Danial terus berubah tegak. Nada bisikan di hujung talian serta merta menbuat jantungnya berubah rentak.

“Kenapa?”

🌴🌴🌴🌴🌴

25092021

Ku Pilih Dia (✓)Where stories live. Discover now