SELESAI membersihkan diri, Liyyan menapak keluar dari bilik. Seperti biasa dia menuju ke dapur terlebih dahulu. Namun, tiada sesiapa di ruangan itu. Sedikit rasa aneh kerana kebiasaan Puan Salima berada di dapur pada waktu begini.Suara orang bersembang di luar beranda dapur menarik perhatiannya. Derap kakinya terus diayun ke situ. Namun, langkahnya terhenti tiba-tiba. Dahinya mulai berkerut tatkala namanya disebut oleh suara seorang wanita yang berbual bersama Puan Salima.
“Mana menantu kau tu?”
“Entahlah, tadi ada kat luar ni. Pergi ladang tu kut. Tak perasan pula aku.” ujar Puan Salima sambil memanjangkan leher mencari kelibat menantunya. Tidak pula kelihatan di ruang matanya.
“Anak Leena tu dah besar panjang kan. Dah jadi menantu kau pula tu.”
“Aku pun tak sangka akan berbesan dengan Leena tu. Leena pun bukannya calang-calang dah orang sekarang ni, datin tu. Rendah diri aku berbesankan anak dato datin ni.” tutur Puan Salima lalu tergelak kecil.
“Jodoh ni tiada siapa yang tahu. Baguslah budak tu dah membesar dengan mak bapak kandung dia daripada dibiarkan tinggal dengan arwah tu dulu. Aku tak tahu apa akan jadi kalau anak Leena tu terus dibesarkan oleh arwah.” Perlahan suara wanita itu bertutur.
Liyyan terus berundur sedikit belakang lalu bersandar di dinding. Tangan mulai dilipat ke dada. Telinga terus memasang lagi. Hatinya berdetak-detak mahukan penjelasan kerana benaknya sudah diterpa rasa hairan dan tanda tanya. Mengapa wanita itu berkata begitu?
“Aku cuma dengar desas-desus je masa tu. Yelah, aku ni cuma menantu je dalam kampung ni, nak masuk campur tu rasanya tak sesuai. Nak menegur apatah lagi. Laki aku pun tak bagi masuk campur, tu urusan keluarga mereka. Kami hanya mampu tengok ajelah.” balas Puan Salima turut perlahan nadanya.
“Kita orang luar tapi kesianlah budak tu. Dipisahkan dari kecil daripada Leena dengan Kamal. Macam-macam arwah ugut Leena semata-mata tak nak bagi Leena tu ambil Liyyan semula. Sudahnya, sampai ke hari ni hubungan anak-beranak tu masih belum elok.”
Tubuh Liyyan kejung. Terpaku dia mendengar kata-kata dari wanita itu. Dia berjalan sedikit hingga ke tepi jendela. Langsir diselak. Mahu melihat dengan siapa ibu mentuanya berbual.
Sebaik saja figura wanita itu ditangkap kornea matanya, Liyyan terkesima. Puan Adibah. Kawan baik mama dan sering berkunjung ke rumah mereka di bandar. Liyyan kembali bersandar. Tiba-tiba lututnya terasa lemah.
“Aku cuma mampu berdoa je hubungan mereka anak-beranak kembali pulih. Kesian juga tengok Liyyan tu, hidup dalam salah faham selama berpuluh tahun. Leena pun aku kesiankan juga sebab anak dia jauh dari dia.” ucap Puan Salima sedikit sayu.
Liyyan terduduk memeluk lutut. Kakinya tidak lagi mampu berdiri. Terasa lembut seperti agar-agar.
“Sebab tulah Kamal tu tak balik sini sampai ke sudah. Arwah meninggal pun dia tak balik. Marah benar Kamal tu pada arwah.” ungkap Puan Adibah dengan keluhan. Terasa kasihan mengenangkan nasib kawan baiknya ketika waktu muda. Dipisahkan dengan anak yang dikandungnya.
“Kamal tu dah keras hati lepas apa yang jadi. Turun ke anak dia pula, Liyyan tu. Sama je anak bapak.” kata Puan Salima dengan tawa kecil. Terasa lucu dengan sikap menantunya itu yang kini menjadi tugas anaknya pula untuk membentuk.
Puan Adibah turut ketawa. Air teh yang sudah semakin suam disisip sedikit.
“Tengok muka, Ima. Lebih terikut keturunan mak Kamal sebelah Pakistan tu. Muka pun ala-ala wanita Pakistan, keras hati pun ikut bapaknya jugalah. Anak perempuan sulung, begitulah selalunya.” Puan Adibah menambah.
YOU ARE READING
Ku Pilih Dia (✓)
Random- KEKASIH IMPIAN - Mencari seorang hero untuk seorang gadis bernama Liyyan Lashira yang keras kepala, tidak menyabar dan suka bertindak sendiri. Entah siapa yang mampu bertahan dengan gadis seperti itu. Namun, dia sering merasakan dia seorang yang...