🌻BAB 37🌻

3.8K 207 48
                                    

AARIZ termenung lama seusai membaca surah yassin dan beberapa surah lain. Sedikit kepalanya ditoleh dan kornea matanya menjamah sayu ke wajah yang masih bertutup rapat matanya. Diri itu turut dibantu dengan alat bantuan pernafasan. Tidak dia jangka sama sekali, dia akan menatap sekujur tubuh itu dalam keadaan terbaring kaku di atas katil dengan hanya nadi yang masih berdenyut. Tampak lemah nafas yang sedang diaturkan.

“Maaf, kami tak dapat selamatkan kandungan isteri encik.”

Tersentapnya dia ketika itu. Dunianya terasa gelap. Sesuatu yang dia tak pernah bermimpi akan mendengar. Dahinya sedikit berkerut.

“Ka... kandungan?” tanya Aariz terpaku.

“Ya.” Doktor angguk lemah.

“Isteri saya pula?” Dia gagahi tanya lagi.

“Berlaku pendarahan dalaman yang serius akibat hentakan kuat di bahagian kepalanya dan kehilangan banyak darah. Kami tak dapat menjamin apa-apa dalam keadaan isteri encik begitu kerana segala kemungkinan boleh berlaku. Berdoalah supaya Allah berikan keajaiban kepadanya.”

Pegun Aariz mendengar penjelasan ringkas itu. Otaknya cuba menerima berita yang baru disampaikan. Agak lama dia berkeadaan sebegitu sebelum hanya anggukan lemah yang mampu diberi sebagai jawapan. Tiada daya untuk dia bersuara lagi. Malahan, dia terkelu dengan perkhabaran yang pertama. Mulutnya seperti terkunci rapat.

“Bersabarlah.” ucap doktor itu. Sekali lagi bahu Aariz ditepuk sebelum berlalu.

Aariz mengusap wajahnya tatkala teringat perkhabaran yang tidak mampu dia ungkap melalui bicara. Fikirannya masih bekerja keras, cuba mencerna. Sama sekali dia tidak menyangka isterinya sudah berbadan dua. Liyyan juga tidak menunjukkan sebarang perubahan. Atau dia yang tidak peka?

Keluhan berat dilepaskan lagi. Entah untuk kali ke berapa sejak dia mendengar khabar duka tersebut. Hatinya kian dihimpit dengan perasaan kesal. Wajah Liyyan kembali direnung. Masih tiada tanda juga untuk bangun dari ‘lena’.

“Dah hampir seminggu Liy tidur, sayang. Liy mimpi apa lama sangat tu?” Aariz mulai bersuara dalam nada bisikan. Pipi mulus yang kelihatan sedikit luka itu dia usap lembut. Gusar isterinya merasa sakit.

“Liy masih tak nak bangun lagi ke? Abang rindu Liy.” ucap Aariz menelan liur. Pahit menerima keadaan Liyyan. Kini, hanya dia yang berbual seorang diri. Sedangkan sebelum kejadian, dia lebih banyak membisu hanya kerana melayan rajuk dan hati.

“Abang tak suka...” Aariz menghentikan kata. Teringat bicara akhir isterinya.

“Abang tak suka tengok Liy diam macam ni.” Kini, dia mengguna pula kata-kata itu. Perit untuk menelannya. Ternyata sakit apabila hanya dirinya sendiri yang menutur.

Ubun-ubun Liyyan diusap dengan jarinya sehingga ke kening sederhana tebal itu. Salah satu anggota yang akan mempesonakan lagi sepasang mata isterinya. Lirikan yang selalunya tajam, namun adakalanya juga beriak nakal.

“Liy tidur pun masih nak cantik kan. Tenang je, sayang. Agak-agaknya apa yang Liy mimpi sekarang ni ya? Macam best je.” ujar Aariz lagi. Berharap benar Liyyan membalas setiap patah perkataannya. Namun, dia yakin isterinya mendengar setiap butir bicara yang disampaikan.

“Liy tahu, abang suka sangat tengok Liy tidur sebab Liy betul-betul nampak sangat tenang. Tapi kadang-kadang muka Liy akan berkerut jugalah masa tidur. Mungkin masa tu Liy tengah bermimpi kut. So far Liy belum pernah mengingau lagilah.” tutur Aariz lalu tertawa kecil. Seperti dia berbicara dengan Liyyan dalam keadaan sedar.

Ku Pilih Dia (✓)Where stories live. Discover now