10 | Belajar Gitar

58.6K 1.4K 69
                                    

[ Media ]
Davika dan Nina

[ Terjemahan ]
mae emak
phaw ayah
nong adik

[ Sebutan ]
STiM aes-tee-yaem
$TIM dollar-tim

* * *

Sudah 2 minggu aku di Flexian Muse, bermakna sudah 2 minggu Marc cuba mengajarku bermain gitar. Sudah 2 minggu juga aku menjadi rakan sebilik dengan Nina. Walaupun Jo masih belum menunjukkan tanda-tanda suka padaku, Nina pula sebaliknya. Dia berusaha menjadi rakan sebilik yang terbaik untukku.

Pagi tadi, kami keluar membeli-belah berdua. Aku membeli beberapa lagi pasang baju. Kemudian, petang tadi kami main mekap-mekap. Nina mengajarku teknik memakai maskara, kemudian kami menangkap gambar wefie berdua dengan telefon bimbitnya.

Aku tunggu Marc pulang, sebenarnya. Aku sudah mengeluarkan sejumlah wang tunai untuk membayar sebahagian daripada hutangku padanya. Yang lebih memburukkan keadaan, semalam dia marah padaku kerana masih tak dapat menangkap kedudukan kord-kord asas. Lagi 2 minggu, semua junior Super Flexian perlu membuat persembahan pertama kami di Dewan Besar, dan aku masih belum bersedia.

"Davika, malam ni I ajak Rayyan datang tidur sini. Kalau Qiss tidur seorang, you tumpang bilik dia, eh?" Nina yang baru keluar dari bilik air memberitahu satu berita yang tak mengejutkanku.

Aku cuma mampu tersenyum dan mengangguk.

Memang Nina baik denganku, tapi dia ada habit membawa pulang teman lelakinya ke Flexian Muse dan tidur sekatil dengan Nina, mengambil tempatku. Sudah lebih 5 kali perkara ini terjadi sejak 2 minggu lalu, dan 3 kali daripadanya, aku dapat menumpang tidur di bilik Qiss. Selebihnya, aku terpaksa bentangkan tilam di lantai, dan cuba abaikan bunyi-bunyi pelik yang dikeluarkan oleh Nina dan Rayyan.

Jam sudah menunjukkan pukul 12 malam, Marc masih juga belum pulang. Aku masih setia menunggu Marc di tangga luar pintu depan. Rayyan sudah lama sampai dan sudahpun naik ke bilik Nina. Lebih kurang jam 11 malam tadi, Qiss juga pulang bersama seorang lelaki— terus aku matikan niatku untuk bertanya jika aku boleh tumpang tidur di biliknya.

Aku hampir terlelap di tepi tembok tangga naik ke pintu depan itu apabila akhirnya ada cahaya lampu kereta masuk ke perkarangan Flexian Muse.

Kereta Marc.

Kerana teruja, aku hampir-hampir mahu berlari mendapatkannya di kereta. Aku mahu cepat-cepat bayar semula hutang sewaktu Marc belikan keperluan awal untukku dulu. Rasa bersalah pada diri asyik menghantui benakku sepanjang 2 minggu ini. Aku mesti buat hingga Marc terima duitku.

Tapi, mataku menangkap sesuatu malam ini. Marc tidak berseorangan.

Aku terus menyorokkan diri di sebalik tembok. Marc memapah gadis yang tak aku kenali itu masuk ke dalam rumah. Dari gaya jalannya, gadis itu nampak sikit mabuk dan terhuyung-hayang.

Mereka masuk ke ruang utama dan aku menyusul kemudian, masih berselindung di sebalik almari-almari besar yang menyimpan trofi-trofi kejayaan Super Flexian di Flexian Muse sebelum ini. Gadis itu terkulai di sofa, dan Marc muncul beberapa minit kemudian dengan segelas air kosong di tangan.

"Minum ni." Arah Marc. Gadis itu menepis gelas itu dan menarik tubuh Marc pula.

"Aku tak nak minum air, aku cuma nak kau." Balas gadis itu manja.

PREVIU || DavikaWhere stories live. Discover now