Red

2.1K 185 42
                                    

BAB 41 : MERAH


Zamir berjalan dengan sangat tidak selesa sekali di situ. Dia sudah mengagak perkara ini akan berlaku. Berdiri di tengah-tengah antara dua gadis yang boleh dikatakan musuh daripada hati adalah sesuatu yang amat tidak menyenangkan. Mungkin Farra langsung tidak tahu apa-apa mengenai ini kerana gadis itu hanya fokus dengan misi yang diberikan pada mereka. Tapi Zamir dapat melihat wajah Emma yang berusaha untuk mengelak daripada memandang gadis itu.

"Saya rasa kat sini tempatnya." Farra memandang sekeliling apabila sampai di suatu kawasan yang berbukit. Emma dan Zamir turut memandang sekeliling sambil mengerutkan dahi mereka.

"Kat sini??" Zamir memandang Farra sambil mengangkat keningnya dengan dahi yang berkerut.

Farra hanya mengangguk-angguk kemudian menuding ke arah sebuah pintu masuk gua yang dikeliling dengan akar-akar hidup yang sangat tebal. Serentak kedua-dua mereka membesarkan mata.

"Kita dah sampai." Zamir menarik nafas lega.

"Jom kita masuk." Ujar Emma serta-merta. Tidak mahu menunggu dengan lebih lama lagi.

"Nanti!!"

Serentak Zamir dan Emma memandang Farra yang masih tidak berganjak dari tempat dia berdiri.

"Kenapa??" Emma berkerut kebingungan.

Farra menarik nafas panjang lalu menghembus kuat. "Awak fikir kenapa kita diletakkan pada kumpulan ni."

Emma dan Zamir berpandangan tidak tahu apa-apa.

"Kita perlu..."

Belum sempat Farra menghabiskan kata-katanya, tanah yang mereka pijak itu kini bergegar menyebabkan mereka berundur sambil memandang sekeliling dalam keadaan yang terumbang-ambing. Zamir dan Emma kelihatan terkejut sambil membesarkan mata mereka tidak tahu apa yang sedang terjadi.

Sesuatu kini sedang bergerak-gerak dari dalam tanah itu seperti hendak naik ke atasnya. Farra, Zamir dan Emma segera berlari mencari tempat yang selamat untuk dipijak dalam keadaan kalut itu. Tidak semena-mena, rangka-rangka besi keluar dari tanah itu satu-persatu dengan bentuk seperti rangka robot yang tidak siap dibuat. Ia bergerak seolah-olah bernyawa.

"Apa hal..." Farra mengerutkan dahinya memandang rangka-rangka besi yang bergerak itu. "Sebelum ni... Lain."

"Apa ni??!" Pekik Emma mula takut.

Farra masih lagi berdiri tercegat di tempat dia berdiri hampir kehilangan kata-kata. Dia masih lagi ingat dengan jelas bahawa sebelum ini mereka berhadapan dengan rangka-rangka tengkorak yang hidup dan menyerang mereka. Dan sebenarnya dia sudah bersedia untuk itu. Tapi kali ini berbeza.

"Izzudin, Izzudin..."

"Apa kita perlu buat??!" Zamir bertanya dalam keadaan menjerit kerana tempat dia berselindung kini agak jauh dari Farra.

"Kita kena lawan lah!" Selamba Farra membalas.

Emma menembakkan kuasa batunya ke arah rangka-rangka itu bagaimanapun segera terkejut kerana tiada apa-apa kesan pada mereka. Salah satu rangka itu menembak ke arah Emma menyebabkan gadis itu terhumban jatuh.

"Argh!!"

"Emma!!" Zamir memekik lalu memandang Farra.

Farra hanya membalas pandangannya dengan wajah berkerut. Dia kini sedang memikirkan cara bagaimana untuk menghentikan rangka-rangka besi itu. Kali terakhir dia masih ingat bahawa kuasa pertirnya tidak berkesan pada penjaga bebola kristal itu. Semua kuasa tidak berkesan.

Huruf II (Sequel) ✔Where stories live. Discover now