LAGI... TENTANG MENULIS

19 2 0
                                    


BICARA PENULISAN
Kelmarin berbicara lagi dengan anak muda yang mahu menulis. Bicara yang sama seperti selalu.

1. Penekanan pada frasa yang berulang ulang dan POV yang menggelirukan. Ulangan boleh juga terjadi kerana ianya luahan yang difikirkan sedap (seperti ketika berbicara). Dalam seni sajak mungkin boleh untuk tujuan ekspresi.

2. Sastera moden yang lengkap tepat tidak melehe lehe. Padat dan menuju terus pada persoalan pokok.

3. Isi kisah yang jarang ada di atas rak buku.

4. BerMurukami kalau mampu atau memilih untuk hanya jadi tukang cerita. Diimbangkan indah kata kata dan isi penulisan. Bukan semua ayat harus berbunyi cantik tersusun.

5. Diulangi juga kebebasan code uncode. Demi situasi, latar belakang cerita, gambaran watak, dialek, loghat dan tujuan tujuan lain.

6. Menulis untuk kepuasan dan perkongsian ideologi. Meskipun sekelumit cuma. BUKAN untuk menjana laba.

7. Mencari tok guru (penulis yang sudah berpengalaman). Bertanyakan tentang hal hal remeh terlepas pandang.
8. Bukan semua penulisan berbentuk terapi. Ada yang ditulis setelah kajian asas dibuat (hal hal yang melibatkan rangka masa dan budaya).

9. Tidak takut melontarkan falsafah melalui watak. Tidak kisahlah melalui antagonis atau protagonis, agar tidak melulu menjual nilai (hanya kerana mahukan sokongan pembaca).

10. Menulis dengan penuh keikhlasan. Patuh pada tata bahasa walau seINDIE mana sekalipun gelaran yang kita berikan pada diri.

Jangan lupa untuk menikmati proses menulis. Tidak terburu buru menganggap karya kita sebagai masterpiece. Proses tidak merugikan ruang halaman. Tidak terkejar kejar jumlah perkataan yang jadi syarat penerbit dan tanpa sedar mula merapu dana. Penulisan yang baik ada isi, cerita dan tersusun. Jika tidak ada kekuatan untuk berlapang dada rebiu JANGAN dibaca.

APA YANG MAMPU MEMBANTU TEKNIK PENULISAN?
Tidak kira samada kamu menulis dalam Bahasa Inggeris atau Bahasa Malaysia, bahan bacaan tidak seharusnya berhenti. Tetapi saya tidak ada dana untuk membeli bahan bahan bacaan yang mahal dan berkualiti, bagaimana?

1. Cari majalah di kedai kedai terpakai. Lihat bagaimana sidang editor melakarkan kesimpulan topik bulanan. Itu antara ruang yang ditulis rapi penuh hati hati. Perhatikan bagaimana ruang dijimatkan dan maksud sampai.

2. Perpustakaan akan tetap ada di mana mana negeri sekalipun. Negara tidak sedaif yang kita fikir. Itu belum lagi pusat sumber yang lengkap di tempat pengajian kamu.

3. Memilih bahan bacaan yang kamu fikir ada iras iras dengan topik pilihan kamu. Walau tidak seiras sekalipun ianya akan tetap jadi berguna di masa akan datang.

4. Melatih diri menulis dengan teliti, peka, kemas walau dalam media sosial sekalipun. Dimulakan dengan bercakap di dalam kepala, dipindahkan ke kertas/skrin, Semak dua tiga kali dan luncurkan bila yakin.

5. Kamus secara manual atau paparan di google juga membantu. Jika tidak pasti juga tentang istilah istilah berat, ringan ringankan mulut untuk bertanya. Kamus maya memudahkan hidup sebenarnya. Bayangkan bagaimana penulis terdahulu meneruskan ghairah menulis, bagaimana agaknya?

6. Setelah kamu menggarap rasa yakin total, barulah kamu boleh bereksperimen dalam penulisan. Sama seperti perkerjaan lain, alah bisa tegal biasa.

7. Menjadi adat sebenarnya untuk melapangkan dada apabila ada teguran dari editor, penerbit, teman teman tentang apa sahaja terhadap hasil tulisan kamu. Sentimen ego manusia yang dikawal harus dibiasa biasakan. Terlalu defensif tidak akan membawa penulis ke mana mana.

8. Disarankan juga kamu untuk mempunyai sentuhan jenaka yang hebat dari waktu ke waktu 'sense of humor'. Bukan apa, takut segala yang rigid dan rumit yang kamu kerjakan itu akan menjadi sesuatu yang mencengkam jiwa.

9. Sudah ditekankan dalam no 1, 2 dan 3. Tajam mata melihat paten hidup di keliling kamu juga menjadi amat penting sekiranya kamu menulis rencana atau fiksyen. Sekeliling yang dimaksudkan adalah paten negara, politik, taraf hidup, sohor kini sejagat. Penulis akan mampu letakkan kaki dalam kasut si fana atau si kaya dengan mudah dengan realistik.

10. Pesanan tradisi adalah menyalin, melakar, melukis segala yang kamu rasakan menarik dengan buku nota yang selalu ada. Ini adalah berdasarkan anggapan bahawa inpsirasi ada di mana mana sahaja. Ingat minda kita tidak mampu menyimpan segalanya. Catat, lukis, lakar... terma, lokasi, luahan atau ekspresi sebaiknya. (paling tidak boleh digunakan dalam monolog)

Begitulah seadanya. Minggu depan Inshaallah kita akan berbicara tentang pengaruh bahasa Indonesia dalam penulisan di Malaysia. Perlu tidak perlu dan apa pembuktian yang kita mahu dalam penulisan apabila melibatkan kata kata indah dari negara seberang.

INDEPENDENTDonde viven las historias. Descúbrelo ahora