MENULIS: MENCUIT HATI DAN PERASAAN MANUSIA

21 0 0
                                    


Bermula dari rasa ingin bercerita kita mula menulis. Tidak kira apa genre pilihan. Mungkin juga bermula dengan luapan mahu berkisah tentang diri sendiri, maka secara beransur ansur ia menjadi fiksyen. Fiksyen: Berkisah secara terbuka, ditokok tambah isinya dan watak, agar pembaca jadi terkesan.

Terkesan bagaimana?

Mereka ketika membaca mempu berhubung kait dengan watak yang diceritakan. Laluan watak utama dan orang orang di sekelilingnya termasuklah lokasi/suasana yang kamu fiksyenkan.

Mana mungkin segalanya hanya tentang kamu!

Katakanlah kamu berusia 30 tahun. Ranum hidupnya. Novel debut kamu mungkin sedikit sebanyak melibatkan perasaan sendiri. Untuk berterusan menulis kamu harus hidup lebih lama lagi dan terus membaca karya karya semasa atau yang sebelumnya. Segalanya tentang kamu kalau punya daya khayalan tinggi mungkin juga.... Ya daya khayalan hebat.

Kenapa saya harus membaca? Saya bukan mencari isi dalam buku buku terdahulu?

Ya memang, bukankah kamu sudah berjanji mahu menulis sesuatu yang hebat, yang tidak ada di rak buku terdahulu? Membaca tidak pernah merugikan. Melihat cara orang lain bercerita sedikit sebanyak membangunkan inspirasi. Yang buruk dan tidak sesuai diketepikan, yang lazat dibaca mungkin akan membuahkan inspirasi baru. Harus ingat, manusia merasa berguna apabila berinspirasi, ianya bukanlah proses peniruan. Dari sini kamu menjana stail peribadi yang kental.

Apakah fiksyen harus seserius itu?

Terpulang. Ada buku buku berbentuk satira semasa atau satira kuno. Nyatanya pembaca mahu tersentuh jiwanya, meskipun bukan kisah mereka yang kamu fiksyenkan. Pembaca hadir dari pelbagai kelompok. Kelompok paling banyak sudah tentulah pembaca pemula yang rata rata mungkin di sekitar usia belasan tahun sehingga 20an. Manusia yang bersahaja dalam hidup juga ada, mereka juga boleh jadi isi cerita kamu. Bagaimana agaknya gelojak jiwa mereka? Sudahkah kamu pastikan?

Gelojak jiwa? Sentuh jiwa?

Kitaran hidup manusia berbolak balik pada yang itu itu juga. Sadis bunyinya untuk dikatakan begitu. Jahat, baik, dengki, khianat, agresif, cemburu, fitnah, bahagia, sesal, aniaya...apa lagi? Senaraikan dalam kepala apabila merangka fiksyen. Ditambah pula perisanya dengan sifat semulajadi kamu sebagai pemerhati. Sesekali kamu boleh berkhayal demi mahu menyentuh jiwa mereka.

Apa buktinya pembaca bersifat begitu?

Membaca reviu reviu mereka, ada yang kecewa apabila watak protagonis dimatikan di hujung cerita. Ada yang bertepuk ria beremosi apabila antagonis dihadirkan bala. Pokoknya manusia pembaca kembali pada hal hal asas tentang kasih sayang, dendam, kesesalan, keinsafan, jatuh cinta, jodoh dan hal hal yang sedemikian.

Kalau begitu apa yang harus dirangka lagi? Bukankah semua sudah sedia ada di rak buku di dunia ini?

Nah di sinilah kreativiti kamu diduga. Kisah yang mudah mampu dibaca sedap sekiranya kamu boleh menggalas garapnya secara berkesan. Watak utama kamu bagaimana? Latar kisah yang tidak biasa atau biasa biasa sahaja tetapi menarik? Pilihan ayat ayat kamu sewaktu berkisah? Memang benar, bolak balik manusia hanyalah yang itu itu sahaja... manipulasinya jatuh di tangan kamu sebagai penulis fiksyen. (di sini kita kembali pada keuntungan penulis yang banyak membaca). Penulis yang banyak membaca sudah tentu akan dapat mengesan bentuk MANIPULASI cerita yang sudah dilakukan oleh penulis lain... dan sudah tentu kamu mampu merangka sesuatu yang segar.

Jadi nafsu pembaca harus jadi titik utama bila menulis?

Eh! Nafsu kamu juga... ianya seiring. Bukankah sebelum menulis kamu juga pembaca. Nafsu mereka para pembaca akan tetap ada. Nafsu dan teknik kamu merangka cerita harus diberikan tumpuan. Difikirkan secara 'penting diri' demi stail dan kemantapan bercerita. Ketika inilah kamu mungkin mampu untuk menghadirkan garapan yang luar biasa namun masih mampu menyentuh dan menjamu emosi nafsu para pembaca. Diulangi, bahawa ianya adalah seiring, tidak ada yang ke depan atau di belakang.

INDEPENDENTWhere stories live. Discover now