𝟏𝟕. 𝐀𝐫𝐥𝐮𝐧𝐚

16.3K 836 197
                                    

AKU bermain dengan cincin di jari manis. Perasaan bercampur baur selepas diperlaku seperti boneka oleh Adrian semalam. Teringat kembali amarannya kepada Dad di hotel beberapa hari lepas, hati aku seperti dicarik ke sejuta cebisan. Entah berapa kali aku menangis di lantai bilik air pada minggu ini.

Aku dan bilik air mula menjalinkan satu ikatan yang kuat. Setiap kali aku rasa seperti mahu menghamburkan tangisan, di situlah tempatnya. Aku tahu bilik air bukanlah satu tempat yang sesuai untuk aku menangis tetapi aku sudah tidak tahu mahu ke mana dan dengan siapa harus aku luahkan segalanya. Sudah terlalu banyak rasa yang aku pendam.

Dua helai kain putih yang sudah aku lupa apa namanya bersama satu buku tebal seperti kamus yang tertulis Tafsiran al-Quran serta satu buku nipis Panduan Solat dan Cara Berwudhuk Bagi Wanita yang terletak di sebelahku di ambil dengan penuh berhati-hati. Ketiga-tiga barang itu dihadiahkan oleh Balqis pada hari perkahwinanku tempoh hari.

Antara ketiga-tiga itu, aku lebih tertarik kepada buku yang lebih tebal kerana mungkin aku suka membaca dan mudah teruja apabila mendapat buku setebal ini. Muka surat pertama aku selak dengan penuh berhati-hati sama seperti ketika aku mendapat buku yang baru.

"Al-Fatihah, pembukaan."

Dengan hanya membaca tajuk di bahagian atas muka surat pertama, secara automatik, bibirku mengukir senyuman manis. Tajuknya sama seperti nama seseorang. Mereka dapat nama itu daripada sini ke? Semakin teruja aku dibuatnya.

Terdapat dua bahasa di dalam buku itu. Bahasa Arab yang terukir unik dan Bahasa Melayu di sebelahnya. "Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang." Tuturku satu persatu. Aku tidak tahu bagaimana cara untuk membaca bahasa arab itu kerana terdapat pelbagai jenis garisan di atas dan di bawah yang tidak aku fahami apakah fungsinya.

"Segala puji bagi Allah, Tuhan alam semesta. Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Yang menguasai Hari Pembalasan." Aku meneruskan bacaan terjemahan bahasa arab itu. Dahiku sedikit berkerut, cuba untuk memahami setiap patah perkataan di situ.

Bahasa di dalam buku ini terlalu indah seperti ianya bukan coretan daripada manusia tetapi nukilan daripada Maha Pemurah dan Maha Penyayang itu. Siapa Dia? Siapa penulis buku ini? Sasterawan terkenal? Cendekiawan yang sudah merentasi lautan luas bertahun lamanya? Pemerintah tamadun paling berkuasa suatu ketika dahulu?

"Hanya Engkaulah yang kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah kami meminta pertolongan." Bacaan aku terhenti. Seperti mendapat satu jawapan kepada soalanku yang pertama tadi, aku terkedu.

"Dan hanya kepada Engkaulah kami meminta pertolongan." Ayat itu diulang beberapa kali. Buku itu ditutup pantas dan kulitnya ditilik dengan sangat teliti mencari nama penciptanya di situ tetapi yang dijumpai hanyalah ukiran-ukiran halus yang tercetak pada buku tebal itu.

Pencipta buku ini mungkin pendengar yang baik. Aku mesti berjumpa dengan dia. Balqis, dia mesti dapat menolong.

Buku tebal itu aku masukkan ke dalam beg dan aku terus bangun dari atas katil menuju ke ruang tamu. Adrian yang baru sahaja pulang dari kelasnya sedang menunggu aku untuk dihantar ke kolej pula. Senyuman diukir buat suamiku itu.

"Adrian, Luna nak jumpa Balqis sekejap boleh?" Pintaku dengan suara lembut supaya Adrian membenarkan aku pergi. Ketika melihat senyuman dan anggukannya, aku melompat kecil dan memeluk tubuhnya erat membuatkan lelaki itu tertawa suka.

"Dah jom." Pinggangku dirangkul dan dibawa masuk ke dalam perut kereta. Selepas memberikan alamat tempat Balqis bekerja, Adrian terus memandu menuju ke destinasi.

"Sayang."

Senyumanku melebar setiap kali Adrian memanggilku dengan nama panggilan itu. "Ya?" Aku memandang tangannya yang menggenggam tanganku.

ARLUNA ©️Where stories live. Discover now