BAB 3

1.2K 133 20
                                    

"MUMMY, kenapa mummy layan Fakhrul macam itu tadi? Kesian Hani tengok dia." Sesudah menghantar Fakhrul pulang, Elvina melangkah masuk ke dalam bilik ibu bapanya. Daddynya sedang mandi, manakala mummynya sedang bersantai di atas katil sambil menonton televisyen.

"Mummy tak berkenanlah dengan budak tu." Puan Amani menjawab persoalan yang diutarakan oleh anaknya. Dia lihat sahaja kelibat lelaki yang dibawa pulang oleh anaknya, terus dia tidak ada hati hendak beramah mesra.

"Dia baiklah, mummy. Dia layan Hani dengan romantik. Gentleman, handsome, tinggi dan apa yang paling penting dia berketurunan Syed. Bukan itu ke ciri-ciri yang mummy nak?" Elvina mendekati mummynya lalu melabuhkan punggung di atas katil.

"Lelaki macam itu ke kamu nak buat suami?" Anak mata Puan Amani tikam menepat ke dalam mata anaknya. Bagi dia, lelaki itu langsung tidak beradab sopan. Salam pun tidak bagi sewaktu kali pertama mereka bertemu sebentar tadi.

"Okey apa. Daripada si Thaqif yang sudah berbini dua, lagilah Hani tak hingin." Bebola matanya diputar ke atas. Dia sangat takut dengan ugutan mummynya itu. Serius dia tidak mahu menjadi bini ketiga buat lelaki itu.

"Mummy suruh cari yang bujang kamu tak mahu. Kalau dah tak ada calon sangat, mummy kahwinkan saja kamu dengan dia." Bukan Puan Amani tidak tahu bahawa anak perempuannya itu memang tidak suka dengan sepupunya sendiri, Syed Thaqif. Sengaja dia menggertak anaknya itu. Jika tidak, entah sampai bila anaknya akan hidup membujang. Bukannya tidak laku, tapi terlalu memilih.

"No, mummy no. Hani lagi okey kalau kahwin dengan Syed Fakhrulrazzie." Elvina menolak mentah-mentah cadangan mummynya. Gila ke? Tidak mahu dia berkongsi suaminya dengan sesiapa. Mahu hari-hari makan hati berulam jantung. Dia mahu menjadi special gitu.

"Kalau dengan budak tadi tu, mummy bantah sekeras-kerasnya."

"Mummy ni, tak sportinglah." Wajah Elvina cemberut. Bibirnya dimuncungkan ke hadapan. Nampaknya terpaksalah dia meneruskan misi mencari bakal calon suami lagi.

"Suka hati kamulah nak cakap mummy sporting atau tidak. Yang pasti, mummy cuma mahukan yang terbaik untuk kamu. Kita kahwin sekali seumur hidup. Kamu boleh pilih mana-mana lelaki untuk jadi suami, tapi anak-anak kamu nanti tak boleh pilih ayah mereka. Jadi buatlah pilihan elok-elok." Jauh di sudut hati Puan Amani, dia sangat berharap agar anak tunggalnya itu dikurniakan jodoh yang baik-baik. Itulah satu-satunya permata dan anugerah Allah untuk dia dan suaminya. Mereka menatang Elvina bagai minyak yang penuh sedari dia kecil.

"Ya, mummy. Hani tahu mummy sayangkan Hani dan mahukan yang terbaik untuk Hani." Lengan mummynya dipeluk lalu kepalanya disandarkan ke bahu Puan Amani. Walaupun kadang kala dia berasa geram dengan sifat Puan Amani yang sangat cerewet dan terlebih mengongkong, tapi dia tahu Puan Amani melakukan semua itu kerana terlalu sayangkan dia.

"Satu bulan dari sekarang. Kalau kamu tak jumpa juga mana-mana calon yang mummy berkenan, mummy kahwinkan aje kamu dengan sesiapa yang mummy mahu." Puan Amani tersenyum. Sebenarnya, ada seseorang yang dia mahukan untuk dijadikan menantu. Yang pasti, bukan Syed Thaqif.

"Mummy!"

Malam itu, Hani tidak dapat melelapkan mata. Pandangan dihalakan ke siling lalu dia tenung bagai hendak tembus. Fikirannya ligat memikirkan apa lagi dan di mana lagi dia harus dia cari calon suami. Ugutan Puan Amani sangat menyeramkan.

Sudah merata-rata iklan cari jodoh dia buat. Sudah ramai juga calon lelaki yang dia ketemu. Dalam ramai-ramai itu, hanya Syed Fakhrulrazzie yang memenuhi kriteria yang Puan Amani mahukan. Malang sekali, Puan Amani tidak berkenan pula dengan lelaki itu.

Pusing kepalanya memikirkan hal itu. Tiba-tiba wajah seseorang muncul di kotak fikirannya. Bekas kekasihnya sewaktu di zaman universiti dahulu, Syed Amri. Pantas dia mengambil telefon bimbitnya dan menaip mesej menyatakan hasrat untuk berjumpa dengan lelaki itu. Tetapi akhirnya dia memadam mesej tersebut sebelum sempat dihantar.

Dulu dialah yang memutuskan hubungan antara mereka sedangkan dia tahu Syed Amri betul-betul sayangkan dirinya. Banyak usaha yang lelaki itu lakukan untuk memikat hatinya tetapi langsung dia tidak hargai. Sewaktu di zaman universiti, itulah zaman kegemilangannya. Tukar lelaki umpama tukar baju. Dengan kecantikan yang dia miliki, tiada lelaki pun yang akan menolaknya apabila dia menghulurkan cinta. Tetapi dia bercinta hanya sekadar suka-suka tanpa sedikit pun niat untuk mempunyai hubungan serius dengan mereka. Apabila dia sudah bosan, dia akan memutuskan hubungan yang terjalin. Tak lama selepas itu, dia sudah pun dapat pengganti.

Akhirnya, dia membatalkan niat untuk mencari Syed Amri semula. Nanti orang kata, sudah ludah, jilat balik. Tidak mahu dia.

Mungkin inilah kifarah Allah kepadanya. Dulu dia mempermainkan hati orang. Sekarang dia susah untuk mencari jodoh yang sesuai untuk dirinya apabila sudah tiba masanya untuk berkahwin.

Dalam sibuk memikirkan perihal jodoh yang tak berkesudahan, Elvina akhirnya terlelap.


Siapa nak lagi sambungan, sila komen! ^^

HER EUSOFF (TERBIT: EBOOK)Where stories live. Discover now