BAB 19

897 118 4
                                    

"HANI, mami nak cakap sikit." Kaki Elvina yang berjalan menuju ke kolam renang bertukar arah ke Syarifah Andra yang sedang menyiram pokok-pokok bunganya. Mami memang suka bunga. Kat rumah ini ada taman bunga khas untuk mami. Ada macam-macam jenis, bunga ros, kertas, lily dan banyak lagi. Kalau tanya Elvina, dia pun tak mahir sangat tentang pokok-pokok bunga ni. Lain pula dengan maminya, dah pakar.

"Ya, mami." Matanya merenung ke arah Syarifah Andra. Melihat maminya itu selesai menyiram bunga, dia tolong tutupkan kepala paip.

"Mami ada benda nak tanya sikit."

"Oh, apa dia tu?" Mereka mengambil tempat di meja batu yang terletak di tengah-tengah taman bunga itu.

Elvina menanggalkan goggle yang dipakainya. Ingatkan nak terjun kolam terus.

"Kamu dah okey sekarang?" Soal Syarifah Andra.

"Much better than before, mi." Sepanjang dia sakit, Syarifah Andra dan Syed Fawwaz banyak membantunya terutama sekali sokongan moral. Kawan-kawannya... Entah, dia tak ada kawan. Paling rapat pun Khay. Tapi Khay pun dah menjauh dengan dia sekarang.

"Muka kamu pun makin pulih, mami tengok." Syarifah Andra membelek-belek muka anak daranya. Sebelah mulutnya tidak lagi jatuh seperti awal-awal dahulu.

"Ya, tapi kadang Hani rasa susah sikit nak bercakap. Mulut ni pun dia akan jatuh sendiri padahal Hani tak senyum pun." Sebagai pejuang bell's palsy, itulah yang dia hadapi hampir setiap hari. Tapi dia semakin pulih, berkat rawatan fisioterapi yang dia jalani setiap minggu.

"Tak apa. Kan doktor kata kamu boleh sembuh, cuma perlu ambil masa sikit." Tangan Elvina di dicapai oleh Syarifah Andra lantas digenggamnya erat. Elvina satu-satunya anak yang dia ada bersama suaminya. Sekiranya Elvina sakit, dia turut merasa sakit.

"Hani dah boleh terima. Cumanya nak keluar rumah tu segan sikitlah. Hani tak boleh biasakan diri lagi." Teringat kejadian dia terserempak dengan Syed Eusoff beberapa minggu lepas. Entah kebetulan apa yang berlaku. Sedangkan dia tidak mahu keluar rumah sebab tak nak berjumpa dengan sesiapa yang dia kenali, terutama sekali Eusoff. Dah la Eusoff nampak muka dia yang herot sebelah waktu tu.

"Tak apa. Tunggu sampai kamu betul-betul sembuh. Mami pun tak nak paksa kamu, Hani. Mami dan daddy sayang sangat dekat kamu. Kami tak nak tengok anak kami sedih dan sakit."

Elvina melemparkan senyuman kepada Syarifah Andra. Dia pun sayangkan kedua ibu bapanya. Mereka je yang harta yang dia ada di dunia ini.

"Mami nak beritahu kamu satu benda ni."

"Apa tu?"

"Minggu depan kita sekeluarga akan pergi menunaikan Umrah. Mami dan daddy dah daftar bawah agensi, lama dah, sekarang baru berkesempatan nak bagitahu Hani."

Hani terkejut mendengar kata-kata maminya. Dia rasa ingin menangis kerana akhirnya impian dia termakbul untuk menjejakkan kaki ke Tanah Haram. Dalam masa yang sama, dia takut. Dia ada banyak dosa. Boleh ke Allah terima ibadah dia? Seorang hamba yang terlalu banyak cela dan dosa.

"Hani boleh je kan ikut sekali?" soal Syarifah Andra.

Lambat-lambat Elvina mengangguk, "Tapi..."

"Tapi apa?"

"Hani takut, mami. Hani takut kalau-kalau Allah tak izinkan Hani untuk sampai ke sana. Ataupun Allah balas semua dosa Hani."

"Ish, apa cakap macam tu. Mami dan daddy pun ada banyak dosa. Kita semua pendosa. Hani buat solat sunat taubat banyak-banyak ya, sayang. Mohon sungguh-sungguh agar Allah ampunkan dosa. Lagipun kita ke sana untuk mendekatkan diri kepada Allah, dan beribadah kepada Dia. Kalau niat kita betul, insya-Allah Dia akan permudahkan." Belakang Elvina diusap lembut oleh Syarifah Andra.

"Hani cuba, ya mami." Elvina tahan air matanya daripada gugur. Ya Allah, kau permudahkanlah urusan dia untuk berhijrah.




PETANG itu, Syarifah Andra dan Elvina keluar membeli belah di Pavilion. Mereka mencari pakaian serta barang-barang keperluan sebelum bertolak ke Mekah dan Madinah.

Masuk sahaja ke dalam sebuah butik ternama yang menyediakan pelbagai pakaian muslimah, Elvina rambang mata. Sudah lama rasanya dia tak shopping sakan.

"Mami, kalau Hani nak pakai baju ni boleh tak nanti?" Jubah warna hot pink dicapai lantas ditunjukkan kepada Syarifah Andra. Jubah itu sarat dengan manik yang berkilat-kilat saat terkena cahaya lampu.

"Ya Allah, kamu ni Hani. Kita nak pergi beribadah, bukan fashion show." Syarifah Andra tepuk dahi. Perangai anaknya yang diva ini masih belum hilang lagi rupanya.

"Cantik apa. Barulah glam, tak gitu." Elvina tergelak melihat reaksi mami dia. Saja nak uji.

"Dah. Dah. Kamu ambil yang ni." Satu jubah kosong berwarna hitam dihulurkan kepada Elvina.

Elvina cebik bibir meskipun mami dia tak nampak reaksi mukanya sebab dia pakai purdah.

"Macam orang tualah pakai macam ni. Tak sporting la mami ni."

"Ish, jaga mulut tu." Pinggang Elvina dicubit oleh Syarifah Andra.

Aduh! Macam ketam tangan maminya itu. Sakit juga tempat yang dicubit.

"Yalah, yalah. Hani ambil dua helai. Asalkan mami belanja..." Elvina sengih macam kerang busuk. Dia ada je duit, tapi apa salahnya kadang-kadang pau mak sendiri.

"Mami dah agak dah." Macam-macam hal. Nasib anak daranya cuma seorang. Kalau sepuluh orang, mahu berkedut awal mukanya.

Kemudian, mereka turut membeli stoking, sarung lengan, tudung labuh. Elvina berasa nervous sebabnya buat pertama kalinya dia ingin pakai menutup aurat sepenuhnya seperti yang dianjurkan oleh agama Islam. Semoga Allah menerima amalannya.

Telekung sutera berwarna putih turut dibeli. Sampai dua pasang seorang.

Kemudian, mereka turut membeli kasut dan selipar yang selesa untuk digunakan di sana. Maklumlah, mereka akan banyak berjalan nanti.

Ada juga aplikasi yang mereka muat turun untuk memudahkan urusan di sana. Antaranya adalah aplikasi Tawakkalna dan juga Eatamarna.

Segala urusan permit, passport dan visa mereka akan selesaikan esok. Sebab esok ada Syed Fawwaz sekali sebab dia cuti.




MALAM itu, Elvina terbangun jam 3 pagi. Dia tak tahu apa yang menggerakkan badannya, tapi dia terus ke bilik air untuk mengambil wuduk.

Air matanya laju mengalir tanpa dipinta. Dia tak tahu apa yang sedang dia cuba lakukan atau apa yang sedang dia fikir sekarang. Dia juga keliru dengan apa yang dia tengah rasa sekarang.

Macam kosong...

Tak lama selepas itu, dia melangkah ke tempat telekungnya digantung. Dia pantas menyarungkannya dan membentang tikar sejadah. Dia duduk di atas sejadah lama.

Sambil menangis...

Dia nak buat solat sunat, tapi dia tak reti...

Hampir 10 minit berlalu...

Akhirnya, dia mencapai telefon bimbit yang terletak di meja tepi katil. Dia Google cara untuk menunaikan solat Taubat dan juga solat Tahajud.

Cukuplah untuk malam itu.

Segala masalah yang membelenggu diri terasa hilang saat dahinya jatuh ke lantai. Terasa hilang segala beban yang ditanggung.

Segalanya dia luahkan kepada Allah.

Allah yang Maha Mendengar.

Dan malam itu, air matanya tidak henti-henti mengalir kerana dia berasa hina. Hinanya dia sebagai seorang hamba yang sentiasa berjalan mendongak tanpa sedikit pun ingin mengucap syukur kepada Tuhan yang mencipta.

Dan perlahan-lahan, rasa kosong itu seakan-akan terisi...

HER EUSOFF (TERBIT: EBOOK)Where stories live. Discover now