BAB 20

829 104 4
                                    

TIBALAH masa yang ditunggu-tunggu, hari di mana Elvina sekeluarga menunaikan umrah. Syarifah Andra ialah orang yang paling kalut pagi itu. Elvina dan Syed Fawwaz hanya mampu geleng kepala. Dah lali dengan perangai Syarifah Andra yang selalu tak relaks itu.

Mereka bertolak ke lapangan terbang Kuala Lumpur seawall jam 8.00 pagi. Flight mereka pukul 1.00 tengahari. Ni semua Syarifah Andra punya cadangan. Dia kata kalau pergi awal-awal senang. Tak adalah risau tertinggal flight dan sebagainya.

Setelah menikmati hidangan tengahari di restoran makanan segera yang terletak di situ, mereka pun bergerak ke balai berlepas.

Barang Elvina banyak. Ada luggage, beg sandang, beg silang tepi. Syarifah Andra pun sama. Syed Fawwaz tak boleh nak cakap apa, mampu geleng kepala je melayan kerenah mereka berdua. Mak borek, anak rintik.

Mujurlah ada had berat untuk barang-barang yang dibawa, mahu satu rumah diangkut sekali semasa menunaikan umrah selama dua minggu.

Sambil berjalan, Elvina leka membuat video. Walaupun dia dah tutup akaun Instagram miliknya dan tidak lagi berkongsi kisah hidupnya dengan pengikutnya, dia tetap rajin buat video untuk simpanan sendiri. Satu yang dia bersyukur apabila dia memakai purdah, orang lain tidak mengenali dirinya. Jadi dia bebas hendak ke mana-mana dan berbuat apa-apa kerana tiada yang memerhatikan dirinya. Imejnya juga tak perlu susah-susah dijaga seperti dahulu.

Tanpa sedar, Elvina terlanggar seorang wanita yang sudah berusia. Dia berjalan dengan menggunakan tongkat.

Tongkat wanita itu terjatuh, tapi mujurlah dia tidak jatuh. Kalau tak, risau berlaku apa-apa keretakan pada tulangnya.

"Maaf, puan. Saya tak sengaja." Elvina meminta maaf sambil menundukkan kepalanya berkali-kali.

"Tak apa, nak," balas wanita itu. Apabila Elvina mengangkat kepala, dia lihat wanita itu seusia maminya. Apa yang lebih memeranjatkan, dia kenal gerangan yang berdiri di sebelah wanita itu. Aisyah. Pegawai fisioterapi yang banyak membantu Elvina untuk sembuh.

"Aisyah?" panggil Elvina.

"El." Aisyah bersuara dengan teruja. Tak sangka dia akan jumpa dengan pesakitnya di sini.

"Yasmin?" Kali ini suara Syarifah Andra memenuhi ruang tersebut. Sebenarnya dia sudah berjalan ke hadapan. Tiba-tiba, dia dan suaminya perasan yang Elvina tidak ada di sisi mereka. Itu yang mereka patah balik. Rupa-rupanya ada drama yang berlaku.

"Andra ke?" Wanita yang digelar Yasmin itu pula menebak. Syarifah Andra menganggukkan kepalanya.

"Ya Allah, lamanya tak jumpa." Mereka berpelukan sesama sendiri.

"Abang, Hani, perkenalkan ini kawan baik mami waktu sekolah dahulu. Kami rapat. Tapi terputus hubungan sejak mami berpindah ke MRSM. Sampai sekarang mami tak dapat hubungi Min."

"Min, ni pula anak aku, Hani dan suami aku, Fawwaz."

"Auntie." Elvina bersalaman dengan Puan Yasmin dan juga Aisyah. Syed Fawwaz sekadar meletakkan tangan ke dada sebagai tanda hormat.

"Hesy, apa pula panggil auntie. Panggil umi je. Perkenalkan, ni anak umi, Aisyah."

"Aisyah dah kenal dengan Hani, mami. Puan Andra pun Aisyah pernah jumpa sekali sewaktu di hospital." Giliran Aisyah pula bersuara.

"Lah, ya ke? Kecil betul dunia ni," ujar Puan Yasmin.

"Aku ada seorang anak lelaki. Tapi dia pergi ke tandas sekejap." Puan Yasmin seperti tercari-cari kelibat anak lelakinya.

"Tak apalah, kita gerak dulu. Nanti pandai-pandailah dia cari." Dan kemudian mereka pun meneruskan perjalanan ke balai berlepas. Mereka perlu menjalani beberapa prosedur sebelum menaiki kapal terbang seperti check in bagasi dan penyerahan passport.

HER EUSOFF (TERBIT: EBOOK)Where stories live. Discover now