BAB 21

783 116 3
                                    

Di puncak Jabal Rahmah, Elvina berdoa bersungguh-sungguh kepada Allah. Jika dahulu, dia berdoa agar Eusoff menjadi jodohnya. Tapi sekarang, dia berdoa supaya dia dikurniakan seorang lelaki yang baik dari segi agama dan peribadinya. Apa yang penting sekali, lelaki itu boleh membimbingnya untuk menjadi wanita solehah. Dia ingin berubah. Menjadi hamba yang taat, anak yang baik serta isteri yang solehah.

Dia juga berdoa supaya dipertemukan oleh lelaki yang tepat pada masa yang tepat.

Tanpa disedari, Eusoff juga berdiri tidak jauh dari Elvina. Setelah berdoa untuk kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat, dia turut memanjatkan doa tentang jodohnya. Cukuplah sekali perkahwinannya gagal. Barangkali kerana kelemahan dirinya juga. Tapi untuk perkahwinan selepas ini, dia impikan sebuah rumah tangga yang akan berkekalan hingga ke Syurga.

Sewaktu melaksanakan ibadah umrah atau haji, para jemaah akan ke Jabal Rahmah yang terletak di Arafah kerana tempat itu terkenal sebagai salah satu tempat berdoa yang mustajab. Salah satu peristiwa penting yang terjadi dalam sejarah Islam di sini adalah tempat ini menjadi tempat pertemuan semula antara Nabi Adam a.s dan Hawa setelah bertahun-tahun lamanya terpisah sejak mereka diturunkan ke atas bumi.

Ramai percaya bahawa tempat ini amat mustajab untuk memohon bagi mendapatkan jodoh yang baik. Sebenarnya, berdoa di Jabal Rahmah tidak semestinya tertumpu pada perihal jodoh sahaja malah lebih dari itu. Para jemaah disarankan agar tidak melepaskan peluang untuk mendoakan tentang perkara-perkara lain seperti diampunkan segala dosa, dipermudahkan segala urusan di dunia dan di akhirat, diberikan kesabaran dalam menghadapi dugaan hidup dan macam-macam lagi.

Usai berdoa, para jemaah turun dari Jabal Rahmah. Entah bagaimana, Elvina hampir berlanggar dengan Eusoff sedangkan mereka tidak bertembung langsung pada hari itu.

Rentak jantung masing-masing mula memainkan ritma yang tidak sekata. Satu perasaan halus mula menyelinap masuk. Mereka berbalas pandang antara satu sama lain.

"Jalanlah dulu," kata Eusoff.

"Baik," balas Elvina. Dia cuba menepis rasa asing yang menjentik tangkai hati.

"Eh, Eusoff. Umi kamu mana?" Syarifah Andra baru menyedari kehadiran Eusoff yang berdiri tidak jauh darinya. Eusoff dan Syed Fawwaz bersalaman.

"Umi ada dekat bawah. Umi tak dapat naik sebab kaki dia sakit. Aisyah pula teman umi. Eemir ada sekali dengan mereka," jawab Eusoff.

"Lah, ye ke? Tak apa. Marilah kita turun. Nanti nak gerak ke tempat lain pula," kata mami Elvina. Keadaan bukit yang berbatu-batu membuatkan mereka perlu berhati-hati semasa turun dan mendaki bukit.

Syarifah Andra dan Syed Fawwaz berjalan di hadapan, diikuti dengan Elvina dan juga Eusoff di belakang sekali. Sesekali kaki Elvina hampir tergelincir, namun Eusoff sentiasa memastikan Elvina selamat.

"Saya hampir je nak lakar nama kita berdua dekat atas tadi." Eusoff bersuara apabila dia menyaingi langkah Elvina. Kebanyakan orang akan memahat nama mereka dan pasangan di batu-batu di Jabal Rahmah. Yang tak boleh diterima, ada yang siap letak gambar juga.

"Untuk?" soal Elvina pelik.

"Mana tahu kita berjodoh." Eusoff senyum senget.

"Merepek. Betulkan niat tu, Syed Eusoff." Elvina mengingatkan lelaki itu. Dia cuba menangkis perasaan halus yang sengaja mahu memporak-perandakan hatinya.

Tiba di bas, mereka dibawa oleh mutawwif untuk melawat ke tempat lain seperti Jabal Thur, padang Arafah, Muzdalifah dan Mina. Pada hari tersebut, mereka berjalan-jalan di kawasan sekitar yang terletak di luar Masjidil Haram.



MALAM itu, Elvina menunaikan solat Maghrib dan Isyak sendirian di Masjidil Haram. Syarifah Andra demam secara tiba-tiba disebabkan oleh perubahan cuaca dan suhu, jadi Syed Fawwaz menemaninya di hotel.

Usai menunaikan solat, Elvina bergerak pulang ke hotel kerana ingin berehat seketika. Malam itu, mereka sekeluarga akan menunaikan umrah buat kali kedua.

Tiba-tiba, Elvina ternampak seorang lelaki berjalan dengan tongkat. Langkahnya tiada pincang. Terdetik di dalam hatinya, mengapa lelaki tersebut bersusah payah berjalan bertongkat sedangkan dia boleh berjalan seperti biasa. Ataupun dia seorang yang berkelainan upaya. Bagaimana perasaan mereka berada dalam golongan tersebut?

Tak lama kemudian, Elvina menjadi hilang arah. Dia berjalan di tempat sama berulang kali tetapi tetap tidak jumpa jalan pulang. Dia hendak meminta pertolongan, tetapi suaranya tidak keluar dari kotak suara.

Dia membaca istighfar berulang-ulang kali kerana sedar akan kesilapan dirinya. Sebab itulah sewaktu mengejarkan umrah atau haji di Tanah Haram, segala percakapan dan perbuatan perlu dijaga.

"Hani."

"Syarifah Elvina Hani." Suara seseorang yang sangat dikenali menampan gegendang telinga Elvina.

"Eusoff." Lega Elvina apabila melihat Eusoff di hadapannya.

"Awak okey? Dari tadi saya nampak awak ulang alik dekat tempat yang sama je." Kening Eusoff berkerut. Tidak sangka yang dia akan terserempak dengan Elvina di sini. Pada awalnya, dia tiada niat untuk menegur wanita itu. Tapi melihat Elvina yang berkelakuan pelik dan seperti tidak tentu arah, dia akhirnya menyapa Elvina.

"Saya lost." Sekelip mata Allah memberikan pengajaran kepadanya. Enggan bercerita lanjut kepada Eusoff, Elvina menjawab dua patah.

"Awak seorang je ke?" soal Eusoff lantas dibalas anggukan oleh Elvina.

"Saya seorang juga. Nak balik hotel ke?" tanya Eusoff.

"Ya."

"Kita balik sekali la," cadang Eusoff.

"Boleh juga," balas Elvina. Dia tidak mengulas lanjut kerana masih terkejut dengan kejadian yang baru sahaja menimpa dirinya.

Dalam perjalanan pulang ke hotel sambil berjalan kaki, kata-kata Eusoff mengejutkan Elvina, "Hani, kita kahwin."

"Awak merepek apa ni?" Langkah Elvina terpasak ke atas tanah. Dan sejak bila Eusoff menukar panggilan dengan menggelarnya Hani?

"Saya nak memperisterikan awak," kata Eusoff tulus.

"Saya tak sempurna, Eusoff. Saya dah tak cantik. Saya banyak dosa terutama sekali kepada awak." Mata Elvina berkaca. Dia tidak layak bergandingan dengan lelaki itu. Eusoff terlalu sempurna jika hendak dibandingkan dengan dirinya.

"Awak tetap cantik di mata saya. Malah bertambah cantik. Saya juga pendosa, sama seperti awak. Tapi kita boleh perbaiki diri kita bersama-sama dan melengkapi antara satu sama lain..."

"Saya minta maaf kalau saya melamar awak dalam keadaan sebegini."

"Tak, Eusoff. Tak. Saya tak boleh terima. Maaf," bidas Elvina. Elvina meneruskan langkah tanpa mempedulikan Eusoff.

"Saya cintakan awak," laung Eusoff kuat lantas dia cuba menyaingi langkah Elvina. Mujur pak Arab di sekeliling mereka tidak faham Bahasa Melayu. Kalau tak, mereka terpaksa tonton drama Melayu TV3 itu secara percuma.

"Kenapa tiba-tiba? Bukan ke sebelum ini awak kata yang awak tak pernah dan tak akan cintakan saya? Bukan ke awak juga yang kata awak tak nak langsung jadikan saya sebagai isteri awak? Sekarang apa?" Tidak mungkin dia lupa bagaimana dia dikecewakan oleh Eusoff dahulu. Berbulan-bulan dia mengambil masa untuk mengubat hatinya yang terluka.

"Itu dahulu. Sekarang perasaan saya sudah berubah," terang Eusoff.

"Kalau perasaan awak dah berubah, saya juga begitu. Kalau dulu saya cintakan awak, sekarang tak lagi." Elvina memandang tepat ke dalam mata Eusoff.

"Hani, bagi saya peluang," ujar Eusoff separuh rayu.

"Jangan panggil saya macam tu. Hanya keluarga saya dan suami saya je boleh." Elvina bertegas.

"Awak buat solat istikharah. Kemudian, beri saya jawapan. Boleh?"

"Lambat pun tak apa, saya akan tunggu," sambung Eusoff lagi apabila tiada jawapan yang diterima dari mulut Elvina.

"In your dream." Lalu Elvina berjalan pantas meninggalkan Eusoff.

Lelaki itu terlalu sempurna serba serbi. Hendak dibandingkan dengan dirinya, umpama langit dan bumi. Ramai lagi wanita yang layak untuk bergandingan dengan Eusoff.

Apa yang pasti, dia tidak layak sekali.

HER EUSOFF (TERBIT: EBOOK)Where stories live. Discover now