BAB 9

951 79 0
                                    

HARI ini ialah hari di mana majlis pertunangan aku dan Khai akan berlangsung. Sejak aku bersetuju untuk bertunang dengan Khai, ibu terus maklumkan berita itu kepada Makcik Maria. Gembira bukan main kepalang bila dapat tahu aku bersetuju.

Aku duduk di dalam bilik bawah bersama Kak Diya. Hari ini dia jadi tukang teman kepada aku. Sebab aku tak nak duduk berseorangan di dalam bilik. Sekurang-kurangnya dapat aku berborak dengan Kak Diya sementara menunggu dipanggil keluar.

Aku mengenakan persalinan sepasang kebarung songket berwarna maroon. Aku beritahu ibu yang aku hanya ingin memakai baju kurung biasa tapi ibu melarang. Ibu kata nanti nak bergambar buat kenangan. Jadi, dia cadangkan aku supaya pakai kebarung. Lengkap dengan selendang bersulam benang emas melilit kepala aku.

Ibu ialah orang yang paling teruja bila aku nak bertunang. Tempoh hari dia siap tawarkan pada aku untuk pasang pelamin. Cepat aku menolak. Aku cakap tak payah nak membazir. Sebab ini baru majlis tunang. Buat simple sahaja sudah memadai. Tambah pula dengan pertunangan yang dilangsungkan tanpa kerelaan aku.

Boleh dikatakan semua ibu yang sediakan untuk majlis pertunangan aku. Makeup artist pun ibu upah untuk conteng muka aku pada hari ini. Jambak bunga pun ada aku pegang di tangan supaya tangan tak nampak kosong. Idea ibu.

Majlis pertunangan yang dibuat seringkas mungkin antara dua pihak. Dulang hantaran pun tiada. Sekadar buat apa yang perlu. Tak ada pun aku jemput kawan-kawan. Biarlah pertunangan ini menjadi satu rahsia. Kalau jadi kahwin, baru aku canang kepada mereka.

Aku dengar suara orang memberi salam beramai-ramai dari luar. Dah macam kumpulan koir lagaknya. Rombongan meminang pihak lelaki sudah sampai agaknya. Makin jantung aku rasa laju. Tiba-tiba rasa nak patah balik masa. Betul ke keputusan yang aku buat ni?

"Haa, Bunga! Itu rombongan belah lelaki dah sampai." Kak Diya memaklumkan kepada aku lepas dia menjengah dari pintu bilik. Dia pamerkan senyuman lebar. Tergelak aku tengok gelagat Kak Diya. Dia nampak lebih teruja daripada aku. Mungkin dia sedang mengimbau kenangan lama sewaktu dia bertunang dengan suami dia dulu.

"Takutlah, akak," aku mengadu pada Kak Diya. Kaki aku digoyangkan, tak reti nak duduk diam.

Memang aku takut. Rasa sedikit berdebar sebab status aku akan berubah beberapa minit sahaja lagi. Bergelar tunang kepada Khai secara rasmi. Tunang kepada budak leaki yang dulunya lebih rendah daripada aku. Tapi sekarang sudah tinggi menggalah. Aku masih tak percaya. Dan aku bakal menjadi tumpuan saat aku melangkah keluar daripada bilik ini nanti.

"Haha. Memanglah. Dulu pun akak nervous juga macam Bunga." Kak Diya memegang tangan aku seolah-olah sedang menyalurkan kekuatan dan keberanian. Dia betulkan sedikit awning tudung aku.

"Tak ada apa lah, Bunga. Selawat banyak-banyak. In Shaa Allah dipermudahkan. Senyum sikit, barulah naik seri." Kak Diya memberi kata-kata semangat kepada aku. Aku paksa juga bibir aku untuk senyum.

Entah apa yang diborakkan oleh manusia-manusia di ruang tamu. Aku jadi ingin tahu. Sesekali aku dengar gelak tawa memenuhi ruang rumah. Tidak lama selepas itu, ibu datang ke bilik.

"Jom, Bunga. Sarung cincin," beritahu ibu.

Aku tarik nafas dalam-dalam supaya gugup berkurang. Selawat aku baca dalam hati seperti yang dicadangkan oleh Kak Diya tadi. Aku naikkan hujung bibir seikhlas mungkin. Kemudian, aku melangkah keluar bilik dengan keyakinan pada tahap 50 peratus. Harapnya aku dapat sampai ke destinasi dengan selamat tanpa tersadung apa-apa.

Bila berjalan di hadapan orang yang lebih tua, aku bongkokkan sedikit badanku tanda hormat. Semasa aku berjalan keluar, aku dengar suara orang berdesas-desis. Entah apa yang mereka bisikkan. Boleh tahan ramai juga rombongan dari pihak Khai. Ada lah dalam sepuluh ke lima belas orang.

KHAI'S FLOARE ✓Where stories live. Discover now