BAB 31

1.1K 89 2
                                    

KEADAAN di dapur rumah nenek semakin sibuk dan riuh. Penuh dengan saudara-mara yang datang menolong menyediakan makanan untuk majlis doa selamat malam ini. Termasuklah adik-beradik nenek Khai yang duduk berdekatan kawasan ini juga. Jadi, senang untuk mereka menghulur bantuan atau datang melawat ke sini. Seronok bila sekali-sekala aku terlibat dengan aktiviti begini bersama keluarga besar Khai. Meriah suasananya macam nak sambut raya.

Aku mengatur langkah kembali ke dapur selepas selesai menunaikan solat Zohor di bilik. Berniat untuk menolong. Tapi belum sampai dapur, telinga aku sudah disaji dengan cerita yang kurang baik tentang aku. Serta-merta langkah aku terhenti dan bersembunyi di belakang tembok.

Aku fikir takat semalam sahaja nenek bahas pasal aku kepada Tok Wan. Rupanya ada sambungan lagi hari ini. Kisah hidupku dicanang kepada orang lain.

"Cucu menantu baru kau tu macam mana? Ok?" Cucu menantu baru itu merujuk kepada aku.

"Jujurnya aku tak berapa nak suka. Penakut nak dipegang suami sendiri. Bercakap dengan suami pun guna kau-aku. Macam manalah budak-budak zaman sekarang ni. Tak hormat suami langsung. Kesian cucu aku tu," jawab nenek.

Aku teguk air liur. Pedas kata-kata itu sampai hati aku terasa pijarnya. Masih wujud rupanya kumpulan manusia yang suka menilai manusia lain tanpa asal-usul. Ya Allah, kau kuatkanlah aku untuk menempuh ujian ini.

"Kadang-kadang aku terfikir ada baiknya juga kalau aku kenalkan Khai tu dengan anak ketua kampung." Oh... Nenek ada pilihan hati sendiri.

"Eh, kau ni. Kejap lagi budak tu dengar nanti," tegur Tok Wan. Memang aku dah dengar pun.

Orang kata cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar. Tapi ini langsung mereka tak ambil kesah pasal keadaan sekeliling.

"Tak apalah kalau dia dengar pun. Lagi elok. Biar dia muhasabah diri sikit." Memang nenek nak tujukan benda itu pada aku. Dan kata-kata itu semua sudah selamat disampaikan kepada aku.

Tak nak menangis lagi. Aku hanya lalikan telinga dengan kata-kata orang.

Aku keluar dari tempat persembunyian yang tak berapa nak terlindung itu. Nak bawa diri ke tempat lain kerana tak betah lagi untuk berada di situ. Mana-mana ajelah asalkan bukan dapur. Takut aku terjeling orang-orang tua yang berada di situ. Habis nanti aku dituduh tidak menghormati orang tua pula. Terbantut seketika niat baik aku untuk menolong.

"Bunga, nak ke mana tu?" Ngam pula aku terserempak dengan mama di laluan ke dapur itu.

"Err... Nak cari Khai. Mama ada nampak dia tak?"

"Tadi lepas balik dari masjid dengan atuk, mama minta tolong dia ambilkan periuk dekat stor belakang. Cuba Bunga cari dia dekat sana." Lepas mendapatkan maklumat daripada mama, aku mulakan pencarian.

Terpaksa jugalah aku masuk ke dapur untuk ke pintu belakang rumah. Aku lalu di hadapan orang ramai di dapur bertopengkan senyuman seikhlas mungkin. Hampir semua mata memerhatikan aku. Aku memang akan jadi perhatian orang ke sepanjang aku berada di sini?

Sedang aku menunduk menyarung selipar jepun di kaki, ada suara yang berdehem di tepi aku. Aku beristighfar sambil memegang dada. Terkejut bila ditegur sebegitu rupa. Tepat pada masanya lelaki ini muncul di hadapan aku. Macam tahu-tahu aje aku dalam perjalanan nak pergi cari dia.

Aku tilik susuk tubuh Khai. Basah baju dan seluarnya. Peluh di dahi pun tak kurang banyaknya serupa orang baru balik bekerja dari kebun. Rasanya tadi mama suruh Khai cari periuk aje. Ini berpeluh atau mandi?

Aku berganjak ke tepi. Berdiri sedikit jauh daripada pintu dapur agar tidak mengganggu orang nak keluar masuk.

Tergelak halus aku melihat muka penat dia. "Kau dari mana ni, Khai?" tanyaku walaupun aku sudah tahu daripada mama.

KHAI'S FLOARE ✓Where stories live. Discover now