BAB 13

962 73 2
                                    

USAI tamat kelas pagi bersama Prof. Hassan, aku menggeliat kecil. Kebas punggung duduk di tempat yang sama selama tiga jam lecture. Dengan sejuknya dek pendingin hawa yang terpasang betul-betul atas kepala aku. Menggigil kesejukan aku dibuatnya. Tangan pun dah sejuk semacam hampir jadi beku. 

Jam di skrin telefon pintar aku menunjukkan pukul 12.10 pagi. Kawan aku yang lagi tiga orang tu nak balik ke rumah sewa mereka. Tinggal aku dan Izzah pula membuat keputusan untuk stay sahaja di fakulti sementara menunggu waktu menjelang petang. Demi menjadi teman kepada Sara untuk menghadiri event petang ini di dewan.

Aku dan Izzah bergerak ke perpustakaan fakulti. Boleh aku buat apa-apa kerja yang patut. Lagi pula Izzah sudah buat janji temu dengan supervisor untuk berbincang tentang thesis dia. Adalah juga faedah kami stay di fakulti hari ini.

Manusia di dalam perpustakaan pun tidak ramai memandangkan sekarang waktu pelajar ada kelas. Kami ambil tempat duduk yang berdekatan dengan plug. Senang untuk mengecas nanti.

Aku keluarkan komputer riba dari beg. Komputer riba yang banyak berbakti pada aku sejak semester satu lagi aku buka dengan cermat. Punat on aku tekan untuk menghidupkannya. Berniat nak sambung mengarang untuk thesis aku.

Tarikh menghantar juga semakin mengejar. Tiada guna lagi untuk aku lengah-lengahkan masa. Buatnya aku tak dapat nak siapkan tepat pada waktunya, meranalah aku kena extend lagi satu semester.

Aku perhatikan susuk tubuh yang duduk berhadapan dengan aku. Izzah sedang sibuk menyemak semula helaian kertas yang bakal ditunjukkan pada supervisornya kelak. Kelam-kabut betul sampai ada helaian kertas yang jatuh ke lantai. Dengan aku sekali ikut gelabah.

"Kau pergi jumpa Dr. Wati pukul berapa?"

"Pukul satu kejap lagi. Masa rehat," jawab Izzah. Mata dia masih tak lepas dari helaian kertas yang dicetak awal pagi tadi di kedai fotokopi kolej.

"Lama tak agak-agak?"

Izzah memandang aku sambil berfikir sejenak.

"Hmm... mungkin setengah jam macam tu." Aku hanya mengangguk faham dengan jawapan Izzah. Harapnya tak lama lah aku kena sidai di ruangan yang penuh dengan buku ni.

Mata aku kembali tertancap pada skrin komputer riba. Sambung mencari maklumat dari artikel atau jurnal yang berkaitan di internet. Boleh digunakan sebagai sumber rujukan untuk thesis aku nanti. Tak mahu mengganggu Izzah yang nampak sangat sibuk.

Aku tutup mulut. Masuk yang ini, dah lima kali aku menguap. Aku kesat hujung mata yang bertakung air jernih. Mengantuk bila dibuai udara sejuk dari pendingin hawa perpustakaan. Suasana pula senyap seribu bahasa. Memang mengundang aku untuk lena. Cermin mata aku tanggalkan dan diletakkan di atas meja. Tulang hidung mancung aku picit sedikit.

"Izzah, aku nak lelap sekejap. Nanti sebelum pergi jumpa Dr. Wati kau kejut aku, eh?" Sungguh aku rasa tak larat nak buka mata sekarang ni.

"Ok. Nanti lepas aku jumpa dengan Dr. Wati, kita pergi solat dan makan tengah hari sama-sama," ujar Izzah kepadaku yang sudah separa mamai.

Aku mengangkat tiga jari menunjukkan isyarat 'ok' kepada Izzah seraya mendaratkan kepala di atas meja berbantalkan lengan. Lelap sekejap pun jadilah. Ada masa 20 minit lagi sebelum jam menunjukkan pukul satu.

Aku tersedar bila terdengar bunyi ketukan di meja. Terpisat-pisat aku buka mata melihat jam di telefon pintar. Ya Allah, dah pukul 1.30 petang. Kenapa Izzah tak kejut aku? Perlahan-lahan aku angkat tangan yang lemah longlai. Kebas.

KHAI'S FLOARE ✓Where stories live. Discover now