BAB 12

1K 79 0
                                    

AKU berdiri depan cermin yang tergantung di dinding. Belek semula pakaian aku. Sehelai sweatshirt berwarna hitam, seluar jean dan selendang hitam melilit kepala. Aku pilih gabungan warna yang paling mudah untuk hari Isnin. Pejam celik, sudah masuk minggu kedua untuk semester lapan.

Aku lihat katil sebelah aku dari pantulan cermin. Masih kosong tidak bertuan. Rakan sebilik aku masih belum sampai. Mungkin dia masih belum habis tempoh latihan praktikal. Ataupun sesat, tak jumpa jalan ke kolej. Aku buat andaian sendiri.

Jam sudah menunjukkan pukul 8.15 pagi. Beg aku sandang di belakang. Bersedia untuk ke kelas. Mataku melihat sekeliling bilik kalau aku ada tertinggal sebarang perkara penting.

Aku melangkah keluar dari bilik. Sneakers hitam aku sarung di kaki. Tombol pintu aku pulas untuk memastikan yang ianya sudah berkunci. Selesai memeriksa, aku menapak ke lif. Keluar dari ruangan lif, aku berjalan menuju ke kerusi dan meja di kaki lima kolej. Tempat biasa Izzah menunggu aku sebelum berangkat ke fakulti.

Makin menghampiri tempat duduk Izzah, makin aku perlahankan langkah. Biar dia tak perasan akan kehadiran aku.

"Haa! Termenung!" Pinggang belah kanan Izzah aku cucuk. Saja nak bagi dia terkejut. Kelakar bila tengok dia sedang duduk termangu dari jauh.

"Oi mak kau hijau!" Terangkat sedikit bahu Izzah bila digertak aku. Terhibur aku bila nampak dia melatah.

"Jom!" Aku tarik tangan Izzah supaya jalan beriringan dengan aku.

"Kau ni, kan! Syukurlah umur aku masih panjang. Yana, bayangkan kau tak masuk syurga sebab terkejutkan aku." Giliran lengan aku pula yang terima pukulan padu daripada Izzah. Aku mengaduh kesakitan sambil menghamburkan gelak yang masih berbaki.

Beginilah rutin harian aku kalau ada kelas. Aku akan bergerak ke fakulti bersama Izzah dengan menaiki bas. Izzah satu-satunya kawan sekelas aku yang masih duduk di kolej. Jadi, kami selalu bergerak kemana-mana sekali.

Jarang-jarang sekali aku pergi ke fakulti dengan kereta. Sebab aku malas nak cari parkir. Kebiasaannya kalau waktu begini, parkir di fakulti sudah penuh dengan kereta pelajar-pelajar lain. Biarlah kereta aku berbakti pada benda lain. Contohnya, pergi short trip dengan kawan-kawan lain.

Sampai di fakulti, aku dan Izzah duduk di kerusi yang disediakan di luar perpustakaan fakulti dulu. Sedang menunggu geng-geng aku yang lain sampai di fakulti. Nak sarapan sekali di kafe fakulti katanya. Aku harap hari ini ada menu nasi lemak kegemaran aku.

"Yana, kau dah jumpa supervisor kau berapa kali?" Izzah tanya aku berkenaan thesis kami.

"Ya Allah. Aku baru jumpa tujuh kali. Sir Saiful asyik busy aje. Kau dah cukup sepuluh kali ke jumpa supervisor?" Automatik rasa berat kepala bila bercakap pasal thesis.

Begitulah syaratnya. Kena jumpa supervisor sepuluh kali baru thesis kami akan diluluskan oleh pensyarah. Jadi, aku ada baki lagi tiga kali pertemuan dengan supervisor aku. Thesis aku pun bagaikan tiada kemajuan. Perlahan mengalahkan siput. Sampaikan aku tak tahu bila jumpa dengan Sir Saiful nak bincang apa.

"Aku? Memang taklah. Haha. Baru lapan kali." Izzah bercakap dengan bangga.

"Cis, lebih satu daripada aku. Jealousnya!" Dulu kala Izzah pernah mengadu yang dia rasa tak mesra dengan supervisor dia. Sebab pensyarah itu tidak pernah mengajar kami. Tup tup dia yang cemerlang terlebih. Itulah orang kata, tak kenal maka tak cinta.

"Mana diorang ni? Pukul berapa dah ni? Kelas dah nak mula dah," rungut Izzah.

Dia kerling jam tangan di lengan kirinya sambil mencebik. Kesian kawan aku, kebulur.

KHAI'S FLOARE ✓Tempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang