BAB 17

953 70 3
                                    

PETANG tadi kami sudah puas mengadakan acara bergambar. Gaya bergambar pula mengalahkan model. Masing-masing sibuk nak muat naik gambar di media sosial. Belah malam pula ialah sesi bermain game. Di mana aku sendiri pun tak tahu game apa yang kami akan main. Segalanya telah diatur oleh Sara selaku penganjur program.

Siap sudah solat Isyak, kami duduk di dalam bulatan di ruang tamu. Sara meletakkan satu botol kosong di tengah-tengah ruangan bulatan.

"Welcome to Truth or Dare game." Dengan bangganya Sara memperkenalkan aktiviti pertama untuk malam ini. Dan serentak itu jugalah aku rasa nak lari balik kolej. Diorang ni memang pandai perangkap aku. Dalam otak aku sekarang sudah bermacam cerita aku cipta supaya tak pecah tembelang.

Semasa giliran orang lain aku bolehlah nak bergelak sakan. Tapi bila botol itu dipusingkan dan berhenti menunjuk ke arah aku... Aku cuak!

"Truth or dare?" Empat pasang mata tertumpu pada aku. Seolah-olah aku ini pesalah yang ditunggu-tunggu masanya untuk menyerah diri.

Berdebar lain macam. Aku kena fikir betul-betul supaya pilihan aku tak makan tuan. Kawan-kawan aku ini sudahlah otak geliga lain macam bab-bab begini. Fikir baik-baik, Bunga. Well... aku boleh aje nak menipu, kan?

Aku senyum senget. "Truth."

"Betul ni? Banyak soalan cepumas yang kitorang prepare khas untuk kau." Mereka bermain psikologi dengan aku. Aku dikepung. Nak menipu tapi muka aku ni nampak sangat kalau buat jahat.

"Kejap, kejap, kejap! Dare." Aku tukar fikiran.

"Sure? Kau kunci pilihan kau?"

"Ya, dare. Aku kunci pilihan aku." Aku angguk dan pasrah dengan sebarang konsekuensinya.

Bila difikirkan semula, tak sanggup aku nak pilih truth. Boleh jadi mereka suruh tunjuk muka bakal suami aku. Tidak ke malam ini aku jadi burung hantu sebab nak melayan setiap satu soalan daripada empat mulut?

"Ini dia tugasan untuk kau. Kau kena telefon bakal suami kau dan cakap sweet-sweet melekit. Kami pun nak cakap dengan dia. Nak turunkan amanah." Sara memberi arahan kepada aku.

Mampus. Itu saja perkataan yang melintas di fikiran aku. Memang buang tabiat kalau aku sweet-sweet dengan lelaki.

"Err... cakap macam mana? Aku tak sweet-sweetlah dengan dia." Maklumlah... aku tak ada pengalaman bercinta sampailah sekarang. Hidup solo. Bahagia aje.

Sara mendecit. "Dah kau pilih dare, nak tak nak kau kena buat juga. Kau call dia and then, panggil sayang..." Dengan lenggok panjang empat harakat Sara tunjuk contoh pada aku. Kening yang tak gatal aku garu.

Telefon pintar sudah berada di tangan aku. Lambat-lambat aku tatal skrin telefon pintar mencari nama Khai dalam senarai kenalan. Butang hijau aku tekan.

"Buka pembesar suara. Kami nak dengar," tambah Mas. Tangannya berjalan menepuk perlahan paha aku yang sedang duduk bersila. Busybody betul kawan-kawan aku ni.

Nada dering pertama. Belum angkat.

Nada dering kedua. Belum juga diangkat.

Nada dering ketiga. Masih juga belum diangkat.

Harap aku tak mengganggu tidur dia. Dalam hati aku berdoa agar Khai tak dengar ada panggilan yang masuk. Kalau Khai tak jawab panggilan aku, lagi bagus. Dan pada nada dering keempat...

"Hello, Bunga." Suara garau Khai menyapa setiap gegendang telinga kami. Kawan-kawan aku dah menggeletis sampai ada yang terbaring di lantai. Keterujaan mereka mengalahkan aku.

KHAI'S FLOARE ✓Waar verhalen tot leven komen. Ontdek het nu