🌻 BabyBoy 26 (Nayden's)

2.4K 163 5
                                    

LENA nyenyakku terganggu apabila aku merasakan pergerakan kecil di sisi tubuhku. Sontak kelopak mata dibuka, lalu aku melihat ke sisiku, di mana si kecil Aydan berada.

Sudah bangun rupanya...

Aku ukir senyum nipis. Tubuh disandarkan pada permukaan kepala katil, lalu jasad kecil itu aku bawa ke dukunganku. Semakin kuat suara gelak kecil Aydan.

"Assalamualaikum, Aydan sayang. Dah lama ke bangun?" soalku, sengaja berkomunikasi dengan Aydan.

Aydan menggumam sahaja. Tangan kecilnya dihisap sambil mata merenungku tunak. Kemudian, kaki kecilnya pula menendang-nendang angin.

Aku ketawa kecil, tercuit hati dengan gelagat comel anakku. Kata orang, anak lelaki selalunya lebih rapat dengan ibunya. Kalau dengan aku pun sudah manja begini, apalagi dengan Aisya bukan?

Ya Allah, rasa rindu membuak-buak di dada.

Tubuh kecil Aydan aku peluk erat. Anak kecil itu bagaikan memahami, menyandarkan kepalanya pada tubuh tidak berbajuku. Tenang saja reaksi tubuhnya.

Mataku dipejam. Aku cuba membayangkan kalau jasad Aydan yang kupeluk ini ialah jasad Aisya. Aku cuba meredakan gelora dalam hati dengan kehadiran anak kecil ini sebagai perantara di antaraku dan Aisya, isteri yang sangat aku cintai.

Setiap malam aku berdoa pada Yang Esa, agar aku diberikan peluang untuk terus menunjukkan rasa cintaku buat Aisya. Sudah banyak yang Aisya curahkan padaku, berbanding segala yang aku berikan padanya.

Setiap satu yang aku berikan setakat ini belum cukup untuk membayar segala pengorbanan Aisya. Pengorbanannya menjagaku ketika aku masih belajar, ketika aku baru bergelar suaminya sehingga sekarang. Kami sudah punya Aydan.

Mati hidup balik pun, pengorbananku tak akan dapat menandingi pengorbanan Aisya. Tanpa gadis hebat itu, Aydan takkan ada di dunia ini.

Aku biarkan air mata mengalir ke pipi. Bibirku turun mengucup ubun-ubun Aydan. Harum. Bauan syurga.

Aku jauhkan tubuh Aydan dari tubuhku lalu air mataku dikesat pantas. Aku kembali bermain-main dengan si kecil bagi menenangkan emosiku.

"Jom? Kita jumpa mommy"


***


"ASSALAMUALAIKUM, sayang"

Pintu wad aku tutup rapat. Aku bersama dengan Aydan dalam dukungan mendekati Aisya yang masih kaku di atas katil hospital. Kerusi di sisi katil aku hampiri.

"Maaf sebab datang lambat hari ni. Hubby terlupa bawa pampers Aydan. Terpaksa patah balik rumah nak ambil barang-barang dia" ceritaku kerana aku yakin, Aisya sedang mendengar.

Tatkala aku sedang duduk bercerita dengan Aisya, Aydan dalam dukunganku mengeliat seperti tidak selesa. Wajahnya pula bertukar masam dan muram, mahu menangis mungkin.

Aku tak berfikir panjang terus saja menyuakan botol susu ke mulutnya. Namun, dia menolak. Semakin melengkung bibir comelnya mencebik.

"Kenapa ni, sayang? Aydan tak nak susu, then Aydan nak apa, hmm?" soalku sambil menepuk lembut punggungnya.

Aydan masih merengek sedih. Si kecil itu kemudian asyik menoleh saja, seperti mahu melihat kelibat Aisya. Aku ikut sama melihat isteriku, sebelum hatiku kembali rasa sebak.

"Aydan nak mommy ya?" soalku lagi.

Aydan senyap. Hanya bibirnya yang tercebik sambil memandangku lama. Aku tersenyum nipis lalu terus saja membaringkan tubuh lembutnya dengan berhati-hati di sisi Aisya.

2.1 BABYBOY ©Where stories live. Discover now