Prolog

4.2K 114 2
                                    

"KAU cakaplah apa pun aku tak nak dengar. Hakikatnya aku yang lahirkan Azam. Aku emaknya. Aku berhak dapat semua duit insurans yang dia ada!"

Ketegasan Mak Esah membuatkan hati Izlene dipalu rasa sayu. Emak mentua yang diharapkan mampu menjaga dan memahami perasaannya kini hanyalah bertalam dua muka.

Ketika arwah suaminya masih hidup, Mak Esah melayannya dengan baik sekali. Setelah suaminya meninggal dunia terus berubah seratus peratus perangai orang tua itu.

"Tapi abang letak nama saya dalam wasiat dia mak. Bukan saya tak nak bahagi dua duit insurans arwah cumanya permintaan mak tu melampau. Kalau saya bagi semua duit insurans tu dekat mak, macam mana saya dengan anak-anak nak hidup? Mak, mak tak kesian ke dengan cucu-cucu mak?" Izlene masih cuba merayu akan belas kasihan daripada ibu mentuanya itu.

Yanti, iaitu kakak kepada Azam terus melulu ke arah Izlene lalu mencekak kolar baju Izlene. Lagaknya persis gengster ingin menagih hutang.

"Hei, mangkuk ayun. Apa yang emak aku cakap tu ada benarnya. Azam tu anak dia. Adik aku. Memang kami yang layak dapat semua duit insurans dia. Dia mati kemalangan pun sebab kau! Kalau kau tak gatal-gatal merajuk sebab dia tak belikan kau burger malam tu tak adanya dia mati!" Tengking Yanti.

Terpejam rapat mata Izlene setelah menerima tengkingan hebat kakak iparnya. Dia akui dia bersalah kerana membuat perangai malam itu. Biasalah orang perempuan hendak merajuk manja dengan suaminya. Sekali pun dia tidak terfikir yang malam itu merupakan malam terakhirnya bersama Azam.

"Disebabkan adik aku sayangkan kau, dia sanggup meredah hujan semata-mata nak tunaikan permintaan kau. Kau ingat ke tak!" Tengking Yanti lagi sekali gus menunjal kepala adik iparnya itu.

"Izzi tak suruh mak dengan Kak Yan kesiankan Izzi tapi tolonglah kesiankan Dani dan Damia. Dia orang baru tiga tahun lebih. Izzi bukannya berpelajaran. Duit arwah tu aje satu-satunya cara untuk Izzi besarkan anak-anak." Kata Izlene sambil teresak-esak.

Mak Esah merengus kasar. Sakit telinganya mendengar esakan menantunya itu.

"Ah, itu kau punya pasal. Itulah siapa suruh kau gatal sangat nak kahwin muda. Dahlah tak ada SPM. Baru 16 tahun dah sibuk nak kahwin dengan anak aku. Lepas tu berhenti sekolah. Nasib kau la perempuan!" Sinis Mak Esah.

"Dah jodoh kami mak. Dulu Izzi setuju nak kahwin dengan abang sebab waktu tu umur abang dah 23 tahun mak. Kalau abang tu sebaya Izzi, dua tiga kali Izzi fikir nak kahwin." Selar Izlene.

"Nasib kau la, Izzi. Mak tak nak dengar rintihan kau ke apa. Kalau kau sayang anak-anak kau, pandai-pandailah kau cari kerja. Umur kau pun baru 21 tahun. Tulang masih kuat. Apa yang mak tahu semua duit insurans tu bagi dekat mak. Titik!"

"Tolonglah kesiankan Dani dan Damia mak. Janganlah buat dia orang macam tu. Dia orang tu cucu-cucu mak." Rayu Izlene.

Kenapalah begitu keras sekali emak dan kakak iparnya itu. Apalah dosa yang dia buat sampai dua orang wanita itu amat membenci akan dirinya.

"Kau ni pekak ke mak dah cakap dia tak nak dengar apa-apa pun keluar daripada mulut busuk kau tu. Jangan nak gunakan Dani dan Damia la untuk tagih simpati mak aku. Si Dani dan Damia tu pun entah-entah bukan anak Azam. Yalah, Azam sibuk kerja pagi, petang, siang, malam nak bagi kau makan. Kau duduk rumah entah-entah menggatal dengan jantan lain." Juih Yanti.

"Astaghfirullahalazim! Tergamak Kak Yan cakap macam tu pasal anak-anak saudara Kak Yan. Wallahi... Dani dan Damia memang anak Izzi dengan arwah Abang Azam!"

"Ala, kau ni bukan boleh percaya. Macam ni ajelah Izzi. Kalau kau tak nak kita orang gunakan cara Mak Esah untuk buat kau lembut hati untuk serahkan semua duit adik kami dekat kami, kau dengar aje cakap Kak Yan dengan mak. Kira untunglah kita orang masih izinkan kau duduk dekat rumah arwah Azam ni, tau!"

Mak Esah menepuk bahu Yanti. "Hei, kau nak samakan mak dengan bomoh ke?"

Terkulat-kulat Yanti menahan kesakitan. Boleh tahan bisa juga tangan emak aku ni bila memukul, bisik hati kecilnya.

"Bukanlah mak... Yan cakap macam tu perumpamaan ajelah mak. Kalau perempuan hina ni tak nak apa-apa berlaku dekat anak-anak haram dia tu dia kenalah ikut cakap kita." Jelas Yanti bersungguh-sungguh.

"Busuk sungguh hati mak dengan Kak Yan, kan? Disebabkan duit sanggup kau orang buang rasa belas kasihan terhadap budak-budak kecil yang tidak berdosa itu. Baik... kalau memang Kak Yan dan mak hamak sangat dengan duit insurans tu ambillah. Satu sen pun Izzi takkan sentuh!" Suara Izlene naik seoktaf.

"Apa hamak? Tulah aku dah cakap dah kau ni perempuan tak baik. Perempuan keji. Mak tengoklah dia hamakkan mak, mak." Sengaja Yanti semakin menyimbah minyak ke dalam api yang semakin marak.

Dengan tangan yang dipenuhi dengan gelamg emas, Mak Esah menggenggam penumbuknya. Tunak matanya menikam ke dalam mata menantunya itu.

"Jangan cakap saja. Lakukan. Aku tahu tiga bulan lagi duit insurans tu keluar RM196,000. Amaun semua tu mesti dalam tangan aku!" Gesa Mak Esah sebelum bangkit dari duduknya.

"Dah, Yanti. Jomlah, kita balik. Semakin lama aku tengok muka perempuan tu semakin panas hati aku!"

"Okey mak." Yanti mengekori langkah ibunya daripada belakang tanpa menghiraukan adik iparnya.

"Mak, dapat aje duit insurans arwah Azam tu nanti kita bahagi dua, ya? Yan rasa macam nak buat bariatrik la mak. Susah betul nak kurus. Yang bahagian mak tu pulak nanti mak gunakanlah untuk besarkan dapur."

Sayup-sayup Izlene mendengar suara kakak iparnya yang sudah merancang itu ini sekiranya mendapat duit insurans milik arwah suaminya itu.

CINTA BUAT TUAN AYASH [18+]Where stories live. Discover now