Bab 1 - Bebas!

5.2K 246 3
                                    

"Akhirnya!!!" laungan seorang ketua kelas tingkatan lima yang disertakan dengan gaya badannya yang bersenang-lenang hanya disambut oleh rakan-rakannya yang lelaki. Yang perempuan? Raja Izzuddin memaling ke belakang, melihat ke barisan kaum hawa sekelasnya yang sedang duduk, beratur di dalam dewan.

  "Hei, yang kaumenangis kenapa??" tempik Raja. Kelihatan Diyana sedang menangis perlahan, jauh sedikit di belakang Raja. Fithri dan Irdina, yang sedang cuba menenangkan Diyana, kedua-duanya menjeling tajam ke arah Raja. Tajamnya lebih tajam dari mata pedang. Menakutkan, tetapi tidaklah terkena apa-apa kesan kepada pelajar lelaki bercermin mata itu.

  "Matematik Tambahan tadi, agak susah untuk dia...," Irdina menjawab. Sebelum Raja sempat berkata sesuatu, Fithri mencelah.

  "Aku tahu, bagi engkau Matematik Tambahan itu senang saja." Raja tertawa, sedikit bongkak. Fithri hanya memutarkan bola matanya, tanda dia menyampah.

  "Senang saja pun mata pelajaran tu...!"

  "Tapi bagi aku," Fithri tersengih, "kertas Sejarah lebih senang!"

  Raja terdiam. Sejarah, mata pelajaran paling tidak disukai. Susah pula tu, hendak menghafal itu ini.

  ...

  "Setiap orang ada kekuatan dan kelemahan mereka sendiri...," balas Raja. Fithri dan Irdina hanya tersenyum simpul, kerana dapat menggantikan rasa bongkak Raja tadi itu kepada rasa malu.

  Raja mendekati Diyana yang sedang menunduk. "Tak perlulah engkau risau, Diyana. SPM sudah berakhir, dan sekarang merupakan masa untuk kita-"

  "Partyyyy~" "Bukan. Sekarang masa untuk kita bergembira dan bersenang-lenang." Irdina dan Fithri ketawa akan lawak mereka sendiri. Diyana pun turut serta ketawa. Air matanya sudah diseka kering.

  "Bukan sebab Add. Maths. tu sahaja yang buat aku menangis... Apabila dah habis SPM ni, mestilah kita semua akan terpisah, bukan? Terpisah dan sudah lama tidak berhubung... Waktu hendak ambil keputusan SPM tu sahajalah untuk kita berjumpa lagi. Ah, pasti aku akan rindu akan kamu semua..." bergetar suara Diyana apabila sedang menyatakan isi hatinya. Sedaya upaya dia mencuba untuk tidak menangis.

  "Oh... Aku pun akan rindu akan kau juga!"

  "Aku pun!" Ketiga-tiga pelajar perempuan itu berpelukan. Senyuman terukir di bibir setiap mereka walaupun mata mereka sudah berair.

  "Okay, itu agak mengharukan." ungkap Raja, melihat sahaja keletah mereka bertiga sebelum berpaling semula ke hadapan dan mula berbual-bual dengan rakan-rakannya.

  Syahindah tiba-tiba menerjah Irdina, Fithri dan Diyana dari belakang. "Ha! Apa fasal berpeluk-peluk ni?"

  "Kita akan terpisah ikut haluan masing-masing nanti..." jawab Irdina, pendek. Syahindah faham terus apa yang diperkatakan oleh Irdina, lalu dia juga ikut sama berpeluk, dalam kesedihan perpisahan.

  "Eh, kamu berpeluk, tak ajak kami!" Kawan-kawan lain juga berpelukan bersama, walaupun tidak tahu untuk apa pelukan itu. Sifat inilah sifat sebenar warga 5 Sains 1 – kesetiaan dalam persahabatan, dan... berperangai entah apa-apa.

  "Kenapa kita berpelukan, ya?"

  "Entah! LOL."

  "Eh, yang di sana tu, kenapa berkumpul-kumpul pula? Bukankah saya sudah suruh duduk dalam satu barisan?" Terkial-kial para pelajar perempuan tadi menyusun dan membetulkan semula barisan kedudukan mereka apabila mendengar seorang guru marah-marah. Guru lelaki berumur dalam 40-an itu menggeleng-geleng kepala.

  "Baiklah, dengar kata-kata saya." kata guru lelaki itu yang berada di atas pentas. "Saya tahu SPM sudah pun diharungi, dan kamu tak perlu lagi untuk belajar lagi di sekolah..."

  "YEAHHHHH~~~"

  "Senyap!" Dan dengan itu, serta merta isi dewan itu menjadi senyap. Guru tadi menyambung kata-katanya tadi.

  "Saya tahu kamu seronok, tetapi saya beri nasihat supaya kamu akan terus belajar, menimba ilmu. Ilmu tu penting. Penting untuk masa depan kamu sendiri. Teruskan menimba ilmu walaupun sudah ada RM 1 juta dalam akaun bank kamu, kerana ilmu bukan sahaja akan membuat kamu kaya.

  Kamu mampu mengubah dunia yang lebih baik. Kamu mampu menjaga diri dan orang di sekeliling kamu dari bahaya. Dunia sekarang sudah teruk keadaannya. Saya bimbang! Saya bimbang dengan keadaan orang muda sekarang, dan penduduk dunia pada masa hadapan. Jadi, saya sangat berharap supaya kamu meneruskan pelajaran kamu, walaupun keputusan SPM kamu begitu teruk sekalipun. Faham?"

  Dewan terbuka Sekolah Menengah Setapak Indah itu sedikit sepi. Hanya sedikit yang menjawab 'ya', manakala pelajar-pelajar tingkatan lima yang lain cuma mengangguk-angguk, ataupun termenung memikirkan sedalam mana pesanan guru tadi itu harus diterima oleh hati.

  "Apa-apa pun, saya ada satu pengumuman. Dengar baik-baik." Serta merta para pelajar mendongak kepala, memandang ke arah pentas di hadapan mereka.

  "Kepada para pelajar dari kelas 5 Sains 1..."

  "Eh, kitakah?" bisik Diyana.

  "Taklah. Aku seorang saja." Diyana menampar bahu Irdina, kasar. Menyampah dengan jawapan acuh tidak acuh daripada Irdina yang berada di hadapannya. Irdina pula sengaja buat muka kosong.

  "...kamu semua dikehendaki untuk ke Pusat Sumber Za'ba, sekarang. Ada taklimat penting berkenaan sesuatu dari Pengetua."

  Warga 5 Sains 1 memandang wajah sesama sendiri. Pengetua? Ada apa? Taklimat? Semua pelajar yang berada di situ juga tertanya-tanya. Raja mengambil beg silangnya dan berdiri. Rakan-rakan sekelasnya yang lain pun turut ikut berdiri sebelum mula berjalan ke arah tangga yang menuju ke pusat sumber sekolah itu, mengikuti langkah ketua kelas mereka.

HilangWhere stories live. Discover now