Bab 3 : Memori Indah, Diragut Pergi

2.9K 181 18
                                    

  "Ah... Dah lambat ni!" Dia sempat lagi menjeling ringkas ke arah jam dinding biliknya. Tangan-tangan jam itu, jelas menunjukkan bahawa waktu sudah pukul empat pagi.

  Almari biliknya, dibuka luas-luas. Tangannya segera mencapai sehelai tudung selendang berwarna merah api lalu dibalutnya kepalanya dengan selendang itu.

  "Hani... Dah siapkah belum?" laung si emak dari ruang makan. Lembut suaranya walaupun kuat.

  "Hampir siap...!" balas Hani. Sambil dia memasang kerongsang pada selendangnya, dia berjalan laju ke ruang makan. Selesai sahaja memasang kerongsang, dia terus manggapai sebuah cawan dari atas meja makan lalu menghirup kopi panas itu.

  "Kalau ya pun nak cepat, duduklah dulu semasa minum tu..." Hani tersenyum sahaja mendengar teguran emaknya, tidak pula dipatuhinya. Bukannya dia tidak mahu mendengar kata orang tuanya itu, cuma dia sebenarnya sudah pun menghabiskan kopi itu sebelum emaknya menegur.

  "Hehe, yalah, mak. Baiklah mak...," Hani cepat-cepat memeluk dan mencium pipi emaknya, kemudian terus ke muka pintu, "terima kasih untuk kapucino kegemaran saya itu! Selamat tinggal, mak!"

  "Eh, passport kamu dah ambil? Telefon bimbit? Topi 'berfesyen' kamu?"

  "Oh, yalah!" Hani tanpa sedar mencampak kasut snikersnya dan berlari memasuki bilik tidurnya. Beberapa saat kemudian, dia keluar dan kembali memakai kasutnya.

  "Baiklah, mak. Saya pergi dulu!"

       ***

  "Ha, lambatnya kau, Hani!"

  "Maaflah, aku terbangun lambat tadi... Teksi pun, lambat aku nak dapatkan. Susah!"

  "Hmm, tak apalah, bukannya kita terlepas penerbangan pun!"

  Hani dan Syahindah berjalan perlahan ke arah rakan-rakan sekelas mereka yang lain, dari pintu utama lapangan terbang KLIA. Semua mata 5 Sains 1 terpaku melihat Hani.

  "Wah... Hebat betul fesyen kau!" Hampir semua rakan Hani melaungkan perkara yang sama. Hani tersengih, sedikit malu.

  "Aku rasa, inilah fesyen untuk ke A.S! Cantikkah?" Hani menayangkan blaus kuning picnya. Hani yang berseluar jeans hitam memusing-musingkan badannya, ala gaya model. Dia memegang lembut topi bulatnya yang besar dan comel berwarna kuning, siap ada terlekat riben merah yang besar pada topi itu. Semua rakannya bertepuk-tepuk tangan.

  Ansar tiba-tiba berkata, "aku tengok, semua budak perempuan kelas kita ni, bukan main lagi ber'fesyen'nya. Tengok kami, si kaum lelaki, cuma memakai kemeja T biasa saja."

  "BOOOO~"

  Walaupun lapangan terbang ketika itu, keadaannya agak luar biasa lengangnya, tempat itu menjadi bising dengan kehadiran semua pelajar 5 Sains 1. Tiada siapa pula yang memarahi mereka kerana menjadi begitu bising. Namun, ada seseorang yang datang menghampiri 5 Sains 1 tanpa mereka semua sedar.

  "God, you guys are really a noisy bunch..."

  "Eh??" Semua terkejut. Seorang wanita muda berpakaian pejabat kelihatan tersenyum manis memandang mereka. Wanita itu menguruskan sedikit rambut 'blonde'nya yang agak kusut.

  Semua masih terkejut. Bagi keempat-empat pelajar lelaki, mereka terkejut melihat kecantikan bentuk badan wanita itu, walaupun cuma sederhana.

  Melihatkan reaksi terkejut oleh pelajar-pelajar muda di hadapannya, wanita itu segera memperkenalkan diri.

  "Oh, I'm sorry. My name is Lisa August, and I'm your guider for the journey to the United States."

HilangWhere stories live. Discover now