Bab 12 : Terperangkap

1.5K 100 1
                                    

Azim terjaga. Dia mencelik sedikit demi sedikit, kerana cahaya yang menyilau menyakiti mata Azim.

Apabila penglihatannya sudah pulih, Azim yang masih terbaring melihat sekeliling. Putih. Semuanya putih belaka.

"Di... mana..."

Entah kenapa, Azim berasakan badannya begitu lemah. Hendak bercakap pun susah, inikan pula hendak mengangkat badan dari meja putih tempat dia baring itu. Kepalanya juga sakit semacam.

Mindanya cuba mencerna keadaan. Apa yang Azim tahu, dia sedang berada di sebuah bilik bercat putih. Hampir semua benda berwarna putih di dalam bilik itu.

Di hadapannya, ada cermin besar yang terletak di dinding. Azim melihat pantulan dirinya. Juga berpakaian putih. Pintu bilik itu jelas kelihatan berada di belakangnya.

Hidung Azim menangkap suatu bau. Bau yang sangat-sangat dikenalinya...

'Hospital... Aku di hospital?'

Gembiranya dia tak terkata apabila dia menghidu bau peluntur antibakteria yang selalu digunakan di kebanyakan hospital. Jadi, pada anggapannya, dia dan kawan-kawannya sudah diselamatkan dari pulau itu dan dibawa balik ke Malaysia untuk dirawat.

Monolognya terhenti apabila pintu bilik itu dibuka. Kelihatan dua orang yang tidak dikenali mendekati Azim, lalu membantu Azim berdiri dan berjalan keluar dari bilik itu.

Keadaan di luar bilik agak pelik. Dindingnya masih berwarna putih, cuma ada sedikit garisan cat biru cerah di tengah dinding sepanjang koridor. Ada pintu-pintu lain juga di koridor itu.

Ya, memang seperti hospital. Tetapi, hospital tidak mempunyai pengawal askar bersenjata di setiap pintu.

Berkenaan dua orang asing yang sedang memapahnya berjalan, mengapa mereka memakai pakaian... yang selalunya digunakan ketika berada di tempat beradioaktif? Pelik!

Kini, dia tahu bahawa tempat itu bukannya hospital. Semua itu merisaukan Azim. Ketika itu, apa yang paling dirisaukannya ialah...

'Mereka nak bawa aku ke mana?...'

"...A-Azim...?"

"...Hani!"

Hani cuba membalas, tetapi, sama seperti Azim, dia terlalu lemah untuk berbuat demikian.

Langkah perlahan mereka berdua berhenti. Pintu yang berada di hadapan mereka dibuka kunci mangganya. Daun pintu dibuka dan Hani serta Azim ditolak kasar, kemudian jelas kedengaran bunyi mangga dikunci kembali selepas pintu dihempas kuat.

"Kamu berdua tak apa-apa??"

Izzah membantu Hani yang terjatuh. Hani begitu lemah, sehingga Izzah dan Fithri terpaksa memapah Hani ke sofa putih berdekatan. Hani dibaringkan. Diyana dan Irdina tidak menolong. Mereka hanya terus berdiri kaku di hujung bilik.

"Apa yang dah berlaku sebenarnya? Kita di mana ni?" tanya Azim. Dia kini sudah kuat sedikit. Azim berjalan ke sofa lain dan duduk di sebelah Hafiz yang mengurut-ngurut kepalanya. Pening, mungkin.

"Aku tak tahu..." keluh Hafiz, "macam kau, kami dihumban ke bilik ni. Masing-masing dibawa dari sebuah bilik."

"Aku pun sama, dari bilik serba putih tu!" kata Azim.

Soalan utama masih tidak berjawab. Mereka di mana? Setahu mereka, mereka semua berada di hutan, di gunung selepas diserang serigala. Tiba-tiba pula, ketujuh-tujuh mereka dikurung di dalam bilik yang cuma ada dua buah sofa dan sebuah televisyen besar di dinding. Sama seperti bilik sebelum ini, bilik yang ini juga serba putih warnanya.

HilangWhere stories live. Discover now