Memori II

1.4K 92 6
                                    

  Suasana di dewan makan agak bising. Maklumlah, sudah sampai waktunya untuk kami untuk bersarapan pagi. Semuanya berbual-bual kosong dengan kawan masing-masing.

  Seperti biasa, aku beratur untuk mengambil makanan di kaunter. Dan seperti biasa, akan ada budak-budak lain yang lebih tua daripadaku memotong barisan. Tiada barisan pun sebenarnya. Aku rasa aku seorang saja yang mengikut arahan warden asrama yang selalu memekak pagi-pagi buta.

  Budak-budak lain, semua sudah di meja. Kini tinggal aku seorang di kaunter. Akhirnya, dapatlah aku mengambil sarapanku.

  Aku berjalan ke meja makan apabila...

  "Ouch!"

  "Huh?"

  A-Aku terlanggar seorang abang...

  MUJURLAH ROTI BAKAR DI DULANG KAMI TIDAK TERGOLEK JATUH!

  "M-M-M-Maaf..........."

  Aku terlihat muka abang itu. Cepat-cepat aku menunduk. Aku takut. Apa yang aku tahu, dia beredar pergi sejurus selepas aku meminta maaf.

  Dengan segera, aku berjalan ke meja makan di lokasi yang terpencil dan tidak ramai budak lain yang duduk di meja itu. Usai kami semua membaca doa makan, aku pun menjamu selera.

  Hari ini hari Sabtu. Cuti sekolah. Seperti kebiasaan, aku akan siapkan kerja sekolah di bilik sejurus selepas sarapan. Apabila sudah siap, bolehlah aku keluar bermain dengan Apit.

  Dengan kebenaran warden, aku keluar dari rumah anak yatim itu. Aku terus berlari menuju ke sebuah rumah banglo tinggal, beberapa meter dari rumah anak yatim.

  "Apit~!"

  "Meow~"

  Ah, comelnya!!

  Aku duduk di lantai ruang tamu banglo yang kotor itu. Kepala Apit aku garu-garu perlahan. Anak kucing jantan itu menggosok-gosok manja badannya pada kakiku. Habis bulu hitamnya melekat pada seluar jeans aku!

  "Apit dah makan?"

  "Meow~"

  Aku bawa keluar sepeket kecil makanan kucing yang aku beli semalam selepas balik sekolah, lalu aku beri Apit makan.

  "Apit! Tadikan, aku terlanggar seorang abang ni. Aku rasa takut sangat, sebab apabila aku tengok muka dia, mata dia nampak macam mata hantu!

  Dia pandang tajam dekat aku. Nampak macam dia marah. Tetapi masa tu, aku terlanggar dia. TERlanggar! Jadi bukan salah aku, bukan?"

  Apit, sudah semestinya, tidak memberi apa-apa respon. Dia tengah sibuk menjamu selera. Takkan dia nak balas kata-kata aku pula? Mana tahu, tiba-tiba Apit kata, "ha, memang bukan salah kau pun.", mahu aku lari tak cukup tanah.

  Aku suka bermain-main dan menemani Apit. Setiap hari, sama ada pagi atau petang, aku pasti ke rumah tinggal di kaki bukit ini. Ramai kata, rumah ini berhantu. Tapi aku tidak kisah. Aku nak menemani Apit.

  Semasa aku jumpa Apit di rumah ini beberapa bulan lepas, dia keseorangan. Dia begitu lemah kerana dia baru berusia beberapa minggu, pada anggapan aku. Sejak itu, aku menjaganya. Aku buatkan tempat tidurnya dengan menggunakan kotak. Aku beri Apit makanan setiap hari.

  Bagiku, hanya Apit satu-satunya kawan aku. Dia dengar sahaja semua cerita atau aduan yang aku leterkan kepadanya. Memanglah, dia cuma seekor kucing yang tidak memahami apa-apa, tetapi...

  Aku anggap Apit sebagai kawan baikku. Kami berdua, sama-sama anak yatim piatu. Sama-sama takut akan dunia luar. Sama-sama keseorangan.

  Aku perasan, aku ini seorang yang pemalu tak bertempat. Seorang penakut. Seorang pendiam. Mungkin sebab itulah ramai tidak mahu berkawan dengan aku. Mereka anggap aku sombong. Malah, aku sendiri tidak tahu macam mana nak buat kawan baharu. Di sekolah, di rumah anak yatim... Sama sahaja.

HilangWhere stories live. Discover now