Bab 7 : Kebetulan

1.7K 118 1
                                    

"--Menjadi pelajar intelek ternama, sahsiah terpuji kepimpinan terjelma,

Sekolah Menengah Setapak Indah, menjadi kebanggaan semua~"

"WOOHOOOOOO~~~~!"

Liyana memeluk gitarnya erat dengan gembira. Seronok pula main gitarnya mengikut irama lagu sekolah, menyanyi bersama rakan-rakan, mengelilingi unggun api pada waktu malam di luar gua.

"Hahaha... Kita ni, sudah gila, agaknya!" Liyana tertawa bersama-sama yang lain.

"Yalah kan, tak fasal-fasal kita menyanyi lagu sekolah. Setahu aku, kita ni jenis yang liat sangat nak buka mulut ketika menyanyikan lagu sekolah setiap kali waktu perhimpunan!"

5 Sains 1 ketawa besar, membenarkan kata-kata Aqilah. Ah,... nampak sangat mereka sudah mula merindui zaman sewaktu mereka di bangku sekolah.

Bau pisang bakar yang semerbak memasuki lubang-lubang hidung semua yang berada di situ ketika pisang yang telah dikupas diletakkan di atas batu besar dan rata yang panas, betul-betul di tepi unggun api. Walaupun setiap seorang sudah pun menjamah sebiji besar pisang bakar, mulut mereka masih tidak henti-henti merembeskan air liur.

Mata mereka terpaku. Mereka tunggu sahaja supaya pisang yang dibakar oleh kumpulan Delta, sudah masak dan garing.

"Okey, lagu apa lagi yang kalian nak nyanyikan?" tanya Liyana. Belum sempat sesiapa pun untuk berfikir, Aqilah mencelah.

"Eh, dah banyak sangatlah lagu yang kita nyanyi hari ni! Apa kata... Kita bercerita kisah-kisah yang menarik, nak?"

Azim terkedu. "Apa maksud kau, kisah-kisah yang 'menarik'?"

"Cerita hantulah, yang semestinya..."

Setiap satu dari mereka menolak cadangan Aqilah. Sudahlah mereka berada di luar gua, di sebuah pulau yang tak diketahui, pada waktu malam yang gelap gelita pula tu. Jangan haraplah mereka nak berkongsi-kongsi cerita hantu!

Azim merapat-rapatkan diri kepada orang yang di sebelahnya, yang turut duduk bersila pada lantaian hutan yang sudah dibentangi selimut.

"Eh, weh, jauhlah sedikit! Rimaslah...!"

Suara tawa memenuhi suasana. Kelakar apabila melihat Azim yang ketakutan cuba menjadikan Hani sebagai perlindungan. Siku Hani pula, asyik ditikam-tikam pada lengan Azim.

"Oh ya! Disebabkan semua orang tak nak berkongsi cerita-cerita hantu, bagaimana kalau kita berkongsi-kongsi kisah hidup masing-masing? Kisah tentang bagaimana kalian dan kawan baik masing-masing berjumpa, begitu?"

Aqilah menyuarakan pendapatnya, yang akhirnya mendapat sambutan hangat.

"YA, YA! Bagus cadangan kau, Aqilah!"

"Baiklah, kalau macam tu... Kita mulakan dengan Hani dan Azim! Silakan!~"

"APA?!"

"HaZim, HaZim, HaZim!"

Hani dan Azim masing-masing melontar pandangan.

"Kaulah yang ceritakan."

"Eh, engkaulah yang ceritakan. Kau kan lelaki..."

Azim memacak-macakkan rambutnya. Dia mengambil nafas dalam sebelum memulakan cerita.

"Pada suatu hari... Sang Kancil sedang-"

"AZIM!"

"Hehehe... Baiklah, baiklah. Begini ceritanya... Aku dan Hani mula-mula kenal sejak kami kecil lagi, sebab kami berdua berjiran... Rumah kami sebelah-sebelah saja..."

HilangWhere stories live. Discover now