APA YANG PERLU MAKNYAH RENUNG?

90 2 0
                                    


MERENUNG DIRI dan SEKILILING

Merenung diri, itu dalam maknanya. Dilakukan oleh semua manusia waras yang mahukan perubahan postif dalam luar diri sebagai manusia yang bergerak. Bagi para TS renungan harus lebih dari dua kali ganda pastinya.

Ramai yang mengatakan kita harus berpenampilan menarik, yakin dan matang barulah boleh menakluki dunia. Penampilan bagaimana? Kalau hati dan jiwa keliru dan tidak selari keyakinannya?

Apa yang para TS perlu renung?

1. DIRI MENYELURUH, dalam gabungan mental dan fizikal. Sihat ke dua duanya, supaya mudah menyerap segala kefahaman tentang hidup sebagai ts yang dianggap aneh dan unik. Ini termasuklah mendalami ilmu sebanyak yang mungkin dan mencari maklumat dari sumber sumber yang sedia ada.

2. KEMAMPUAN DIRI tanpa menyiksa jiwa/batin. Mengukur baju tentulah di badan sendiri. Ramai daripada ts merasa terpukul dalam hal ini. Secara ekonomi dan fizikal. Merasa kecewa berpanjangan kerana sudah merangka awal piawaian hidup bagaimana seharusnya bila hidup sebagai TS, supaya sama seperti yang lain (idola yang dianggap berjaya). Selalunya perihal kewangan dan meletop tubuh badan. Harus ingat tahap mampu manusia tidak pernah sama. Kamu boleh berusaha keras tetapi jangan kecewa sepanjang usaha tersebut.

3. Tindakbalas diri dengan sekeliling. Bagaimana kita bereaksi? Apakah kita pemarah? Memendam rasa? Ceria? Relak? kuat Illusi? Dan pelbagai reaksi lagi, sewaktu berinteraksi dengan dunia. Apa saja asalkan kamu selesa dan tidak tampil jengkel. Kita tidak boleh hidup dengan ayat ayat penyedap hati saja. Cari jalan bagaimana mahu bereaksi positif selalu, supaya bukan sahaja kamu, tetapi keselesaan mereka yang berada di sekeliling kamu. Aura yang baik akan menarik aura baik yang sedia ada di sekeliling kamu.

4. SUMBANGAN PADA DIRI SENDIRI. Setakat mana sudah kita belai diri kita? Adakah tumpuan kita selama ini hanya pada kekasih? Kehendak keluarga yang bermain selamat? Setakat mana kebergantungan kita pada tenaga yang kita terjemahkan sebagai cinta/kasih. Kekeliruan ini ada pada semua manusia. Subjektif dan berbentuk peribadi. Sumbangan pada diri juga luas, sudahkah kamu memberi vitamin hidup yang terbaik pada diri? Ini juga termasuk ilmu hidup yang pelbagai bukan sahaja pencapaian akademik.

5. TAHAP BELAS DIRI (SELF PITY). Sering merasa teraniaya dalam hidup. Tampil sebagai manusia yang sedih selalu. Meratap sekiranya ada peluang. Sudahkah kamu keluar dari kepompong ini? merendah diri secara keterlaluan? Sering merasakan diri sebagai mangsa? Terlalu belas pada diri adalah tidak elok. Berekspressi sebagai manusia yang sangat tertekan, terhina, tidak menyumbang, gagal, rasa bersalah, adalah anatara rasa rasa negatif yang ujud di kalangan ts, ianya harus diubati awal.

6. PEMBENTUKKAN BINAAN SOSIAL KOMUNITI KECIL. TS harus jelita, ts harus bersuami, ts harus gah, ts harus itu dan ini. Adakah kamu terbeli dengan semua tersebut? Para Ts juga mempunyai 'social construct' binaan mereka sendiri. Dalam hal ini kita harus berbalik pada kemampuan manusia yang tidak pernah sama, sudahkah kamu memaafkan diri kerana tidak piawai 'standard' dan terus bergerak?

7. TAHAP KEMAAFAN kamu bagaimana? Ts tidak dapat lari dari hinaan umum. Ts juga tidak boleh hidup hanya dengan komuniti kecil mereka sahaja. kamu sudah mangli dengan sifat orang sekeliling kamu? Tanggapan biasa para cisgender? Penghakiman sesama komuniti ts? Adakah kamu akan menamatkan usia dengan terus beranalisa kenapa mengapa dan berkesumat sepanjang hayat? Adakah kamu selesa memberikan penerangan supaya semuanya jelas tanpa beremosi? Yang paling penting sudahkah kamu memaafkan diri sendiri secara keseluruhan?

8. MASIH KELIRU, BERSALAH DAN BERDOSA merupakan hal hal serius yang melibatkan pelbagai cabang negatif. Di sini berdirinya kekuatan kamu sebagai manusia tanpa mengira jantina. Tidak dapat kita lari dari pendapat bijak pandai, pusat agama, ibubapa dan pendapat manusia yang lain. Dogma siapa yang kamu pilih? Pegangan apa yang kamu ada? Siapa yang kamu benarkan untuk menghasut 'influence' tatacara hidup kamu? Apakah hubungan kamu dengan PENCIPTA? Kesemua ini juga adalah hal hal penting yang harus para ts renungi. Ia melibatkan pendirian kukuh dan lancar gerak langkah tanpa perlu berdebat hebat.

9. SELESA LETAK DUDUK HIDUP. Melibatkan rasa dan deria manusia kamu sepanjang hidup. Ini adalah hala tuju semua manusia, kamu juga berhak untuk mendapatkannya. Bagaimana? Selesa secara fizikal harian, selesa bergerak dalam masyarakat yang pelbagai, tidak pulang rumah berkerut dahi penuh kerunsingan hanya kerana kamu TS. Bukan kamu sahaja yang berusaha, masing masing manusia terpaksa melalui proses ini, tanpa meyerah kalah.

10. APA YANG HARUS KAMU LEBIHKAN SEWAKTU BERNAFAS? (PRIORITY). Jawapannya ada pada diri kamu selagi kamu waras. Susun dan atur kemahuan diri, berteraskan kesemua di atas dan mula menikmati kehidupan secara lebih bermakna. Tidak ada jawapan dan solusi yang sama buat setiap manusia, kamu harus menyusun sendiri.

Berdasarkan hal hal manusia yang berlapis penuh kepelbagaian, adalah penting untuk ts alaf baru bergerak dengan penuh selesa, peka pada situasi sekeliling yang sering berubah dan mengelirukan, tampil menyenangkan dan menamatkan hari hari kamu dengan penuh damai. USAHA adalah kata kunci dalam hal ini, manakala PENAFIAN berterusan adalah penghalang/sakit untuk segenap sudut kemahuan untuk hidup bahagia.

Selamat menarik nafas lega teman teman TS, harus ingat pendapat akan kekal sebagai pendapat sahaja, menjalaninya adalah kamu sendiri.


BUKU MAKNYAHWhere stories live. Discover now