DUNIA MAK NYAH YANG LUCU

50 2 0
                                    


Artikel ini hanya untuk yang mahu berfikir dan tidak menghakimi mana mana perilaku mak nyah sedia ada. Sebarang hal hal serius sudah dibincangkan dalam dinding ini dan buku Mak Nyah terbitan terfaktab.zine.

Sama seperti komuniti yang lain, pemikiran manusia tidak pernah selari. Itu adalah normal sebenarnya. Persatuan persatuan dan NGO yang ada hanyalah untuk membantu dan memberi tunjuk arah pada mak nyah yang ada di Malaysia. Bukan menjadi tugas NGO untuk merekrut atau menjerumuskan sesiapa dalam dunia Mak Nyah.

Selaras dengan evolusi kehidupan serba moden dan maju, komuniti mak nyah juga terlibat sekali dalam mewarnai kehidupan. Mereka mahu bergerak dan berkhidmat sambil sambil menjana sumber kewangan. Ramai yang berniaga barangan, bekerja di sektor kerajaan/swasta, memberi khidmat kecantikan dan sudah tentu sama seperti cisgender ada yang menjadi pekerja seks.

Tidaklah molek untuk para transwoman yang bernasib baik mengatakan bahawa pekerja seks harus berhenti dan mencari rezeki yang halal. Itu adalah pilihan hidup mereka. Kenyataan ini bukanlah bermaksud sokongan atau galakan. Bukankah keputusan manusia itu terletak pada naluri dan kemahuan masing masing tanpa ada kekangan dari mana mana pihak.

Percayalah masyarakat sudah terbuka dan melihat dengan mata kepala sendiri bagaimana para mak nyah menjalani kehidupan. Terima atau tidak adalah menjadi hak mereka. Tidak ada sesiapa meminta restu mereka untuk bernafas dan berusaha di bumi milik Tuhan. Kaum mak nyah juga sudah tentu berakal dan berotak demi mahu bekerjasama untuk hidup, mana mungkin kita akan dapat hidup hanya dalam komuniti kita sahaja. Jadi dari waktu ke waktu stigma dan diskriminasi akan tetap hadir sebagai dugaan hidup dari kaum cisgender dan ada waktunya dari komuniti kecil sendiri. Manusialah katakan. Dengan berbekalkan ilmu hidup, SOGIE dan akademik inshaallah setiap kita akan damai menyusuri jalan hidup tidak kiralah sebagai manusia jenis apa.

Pelbagai pihak akan mengambil kesempatan dalam berkisah tentang dunia Mak Nyah.

1. Pihak politik selalunya akan menggunakan isu mak nyah sebagai umpan

2. Media bagaikan ada vault (kisah mak nyah) istimewa sewaktu mereka kekering berita sensasi lain

3. Jabatan Agama dengan agenda mereka untuk menukar jantina mak nyah sedia ada. Itu dilihat sebagai perjuangan mereka. Wallahualam

4. Mak nyah insof palsu juga mahu tampil ke depan bercakap seperti orang mental setelah tidak bahagia menjalani kehidupan sebagai mak nyah. 

5. Masyarakat awam yang kononnya ada lebih masa mahu mengutip pahala, bercakap tentang kembali kepada fitrah sedangkan mereka tidak tahu apa apa tentang GID dan jantina ketiga.

Kekeliruan akan terpalit pada semua, bukan kaum mak nyah sahaja. Masing masing mahu mempertahankan pendapat, keraguan pada hidup pilihan orang lain, syurga dan neraka yang mereka sendiri tidak pasti. Tambah menakutkan tindakan fizikal yang diambil ke atas mak nyah melalui kekerasan.

Bukan mudah mahu menggariskan itu boleh, ini tidak boleh, ini bagus, itu tidak baik pada manusia yang bernafas dan bernafsu. Kita sudah membincangkan hal ini lebih awal dalam tajuk tajuk sebelum ini. Ada mak nyah yang menjalani kehidupan seperti biasa sahaja, ada yang mahu hidup dengan cara yang extravaganza. Sama seperti para cisgender lain. Penghakiman tidak boleh dilakukan sekiranya kamu hanya kenal dengan kaum mak nyah di lorong lorong gelap, ini adalah satu tingkah yang tidak adil. Kamu boleh memilih untuk buat buat tidak tahu sahaja, kalau tidak selesa. Kamu tidak pernah dilantikpun untuk menjadi PENEGAK MORAL ATAU KEADILAN MANUSIA. Tidak pernah!

Mak nyah yang keliru juga ramai. Jangan menunding jari mencari salah siapa. Ini adalah hidup yang kamu pilih. Tidak ada istilah seronok menjadi Mak Nyah. No such thing! Makanya hiduplah dengan aman. Lakukan kerja kerja yang kamu rasa selamat dan memberi kebahagiaan pada diri dengan tenang. Kamu harus ingat, manusia yang baik baik masih ada. Sebarang kekalutan diri harus ditangani dengan baik dan mengikut lunas lunas yang tidak tertulis. Kita sudah berbicara tentang tekanan dalam dunia Mak Nyah, bertolak dari situ kamu akan lebih berlajar menerima diri kamu seadanya. Jangan tidak tahu, ada mak nyah hidup bertanding sesama mereka tanpa sedar, sedangkan mereka harus saling menyokong.

Dari situ kita akan melihat bagaimana kalutnya mereka seperti orang gila glamer, gila seks, tidak menghormati majlis, tidak bijak berkata kata. Harus ingat, kalau takut pada ombak jangan berumah di tepian pantai. Telinga harus ditebalkan, jiwa harus jadi lebih kental. Semua ini akan kamu hadapi dengan lebih mudah sekiranya kamu tahu...

1. Hak kamu sebagai warganegara

2. Saluran saluran yang harus kamu ikut sewaktu menjadi warganegara

3. Tidak terburu buru dalam membuat keputusan untuk cantik, jelita dan mendapatkan kekasih.

4. Mahu bekerja dan menjana pendapatan secara jujur.

5. Bersifat berpada pada dalam kehidupan, tidak terbeli pada godaan dunia yang semakin gila.

6. Meningkatkan lagi kefahaman kamu dalam mengenali sifat manusia dan pengendalian hidup.

7. Tidak terlibat dalam salah guna dadah dan amalan HRT yang selamat.

Sekiranya sesama komuniti kita boleh melihat hal hal yang pelik, apatah lagi pandangan masyarakat cisgender yang sah sah tidak mengerti apa sebenarnya laluan kamu.

Duduk berbicara dengan para Mak Nyah yang sudah selesa dengan hidup mereka, ada disuarakan hal hal pincang mak nyah yang baharu mula mengenali hidup. Selalunya mereka mak nyah yang matang akan mengundurkan diri apabila melihat tingkah tingkah mak nyah muda yang sedang ghairah menjalani kehidupan. Ada sejenis kerisauan di situ. Ekspresi diri yang dirasakan tidak perlu dan aneh, meminta hak hak yang hampir mustahil, luahan rasa kecewa pada dunia (setelah mereka memilih untuk hidup sebagai mak nyah secara fizikal). Dengan adanya kemudahan medsos, segala gejolak ini dapat dilihat jelas sebenarnya.

Akhirnya segala ini akan diterjemahkan sebagai hidup yang merapu dan mental oleh mereka yang tidak mengerti. Keluarga dan masyarakat tidak akan memahami sepenuhnya apa yang sedang berlegar di minda kamu. Mereka hairan kenapa mak nyah harus:

1. Bercakap seperti seorang jalang?

2. Hidup hanya dilingkari oleh kegiatan seks dan nafsu?

3. Berkisar hanya pada dunia ratu ratu cantik, berilusi bahawa diri adalah bintang. Bintang apa nok?

4. terlibat dengan pengambilan dadah (tekanan, perhatian,kecewa)

5. mencarut sesama komuniti dengan bahasa bahasa mak nyah (yang akhirnya akan digunakan oleh media semasa sebagai bahan lucu)

Ingin saya ulangi sekali lagi untuk kamu mak nyah bahawa sebarang PEMBUKTIAN hanyalah untuk diri sendiri bukan orang lain. Pesanan ini penting agar kamu tidak dilihat sebagai mencuba berat (trying so hard till you appeared weird). Kamu harus percaya bahawa setiap kita dikurniakan ruang hidup oleh Pencipta, dia akan mengurniakan permintaan kamu yang masuk akal kalau kamu rajin berusaha dan berdoa. Ingat! Permintaan masuk akal. 

Hal hal cantik dan kekaguman duniawi tidak perlulah diulangi di sini. Nasihat yang sama juga akan diberikan pada teman teman cisgender. 

Tanpa mengira jantina, ingin saya katakan bahawa segala tingkah kita ada imbal balik pada kehidupan. Mak Nyah bukanlah sejenis lifestyle, ianya adalah Jantina. Kita tidak akan mampu meskipun berharap orang lain MENERIMA kita, ingat TOLERANSI yang diberikan selama ini juga adalah satu rahmat kehidupan. Penerimaan ingin saya ulang adalah hak peribadi orang, dia boleh menolak atau menidakkan kamu. Dia juga boleh memanipulasi kamu seadanya sekiranya kamu tidak peka. Itu adalah adat kehidupan.

Dengan itu kurang kurangkan merintih. Cuba sedaya upaya untuk menuju ke arah kehidupan yang lebih baik dan bahagia. Kalau sudah insof teruskan dengan tawadduk, diam diam tidak perlu menjual nilai! 

Stay happy and contented.




BUKU MAKNYAHWhere stories live. Discover now