MAK NYAH DAN KEAIBAN

19 0 0
                                    

MAK NYAH DAN KEAIBAN

Perihal seksualiti, orientasi dan gender tidak akan pernah tamat diperbincangkan. Sila ambil hentang tentang bahawa manusia tanpa mengira jantina akan terus berjuang pada keselesaan ruan g hidup masing masing. Mak Nyah atau Transnita tidaklah terkecuali. Banyak hal remeh yang melibatkan krisis identiti, agama, adat budaya dan sesekali disogok cerita KEINSOFAN yang anehnya ditulang belakangkan oleh para cisgender bercita cita dan bergerak seperti orang hilang akal.

Sudah terlalu banyak kejadian di mana sang Mak Nyah tampil di media, diberi sorotan dan akhirnya kembali menuai sensasi. Sensasi bagaimana? Kembali pada fitrah sebagai Mak Nyah, menjadi lelaki lembut yang kerap memberi kenyataan pelik, mempunyai hasrat teselidung mengeluarkan produk (hasrat niaga), ketagih pada sorotan media dan paling buruk mereka masuk statistik kejayaan KPI pegawai agama setempat.

Tahukah anda bahawa cisgender juga ada ketikanya jadi serba salah mahu membela kaum minoriti yang sudah meminjam imej perempuan cisgender? Serba salah mahu menyokong kerana takut dituduh sebagai penggalak maksiat, pendosa atau suka pada hal hal mungkar. Transnita seharusnya mengkaji takat hubungan mereka dengan perempuan cis dan masyarakat awam. Pelbagai jawapan yang akan ditemui. Segala ini bolehlah dirungkai sebagai kes dan pendapat yang tidak akan pernah tamat. Tambah teruk sekiranya Transnita digunakan sebagai tempat pelepas geram dengan kekerasan fizikal.

Rebel seksualiti pasti wujud, menjurus pada kemarahan dan sesal terhadap Manusia Sempurna (cisgender) yang bijak menghakim menjadikan Mak Nyah bagaikan sang keliru yang bijak pandai bila membicarakan soal identiti, orientasi dan gender mereka. Sepatutnya di dunia yang penuh pautan informasi kaum Mak Nyah menjadi lebih peka tentang letak duduk mereka dalam masyarakat, yakni sebagai warganegara yang sah dan faham tentang saluran terbaik bila menuntut ruang hidup yang selesa (tempat tinggal, pendidikan, pekerjaan, diskriminasi jantina dan pelbagai soal remeh lain).

Cabaran hidup sebagai Mak Nyah akan terus wujud. Bukankah kamu sudah mengerti tahap kompleks hubungan antara manusia dan manusia? Telingkah sesama cisgender tidak tamat, apatah lagi menjalani kehidupan sebagai Mak Nyah. Berani, vokal, tepat informasi, menyumbang dan bawaan diri dalam kelompok manusia jadi kayu ukur sebenarnya pada taraf kamu secara manusiawi.

Terlalu banyak keaiban yang mampu membuatkan manusia lain mengerut dahi memikirkan kehidupan atau laluan sebagai Mak Nyah. Contoh contoh yang buruk sudah pasti akan menjadi tumpuan utama. Sebagai langkah asas perhatikan hal hal di bawah. Tidak ada yang benar ataupun salah. Ia menuntut sedikit gerak prihatin di bahagian kamu sebagai Mak Nyah:

- Bercakap seolah olah orang yang nymphomaniak. Seks dan seks dan seks sahaja berada dalam ungkapan 24jam.

- Berpakaian seboleh bolehnya mahu menarik perhatian. (elaborasi tidak perlu di sini) semua Mak Nyah akan melaluinya. Ada yang sampai tua berbusana tidak senonoh.

- Bahagian bahagian sulit yang boleh ditertawakan oleh pelihat (tidak kira jantina). Kepit, span dada, span pinggul tidak rapi. Ada yang sanggup menjenakakan hal hal fizikal mereka.

- Silap tafsir diri sebagai Mak Nyah – sedangkan sifat diri masih lagi seperti jantan bila mabuk, makan, berkata kata, kasar kelaku yang sering dijenakakan oleh banyak pihak. (Beza manusia berpakaian wanita sudah dibicarakan sebelum ini). Tidak malu menggunakan terma kasar seperti Bapok, Pondan, Darai dan lain lain apabila memberi deskripsi diri.

- Salah konsep hidup (sudah diterangkan dalam bab awal) dan mula mempertikaikannya di medsos dan portal portal internet. Kemestian masuk Ratu, kena cantik, bersuami, seksi, menggoda, kerja kerja seks dan lain lain.

- Berada dalam dunia yang sempit (kerana hanya berhubung dengan rakan rakan mak nyah sahaja), akibat kemarahan akibat kejadian kejadian lalu yang tidak mampu dimaafkan.

- Membicarakan hal hal agama, politik dan budaya secara dangkal. (berdebat tidak tentu hala dengan mak nyah boleh dipatahkan mudah bila diungkit tentang seksualiti, syurga dan neraka sebagai senjata pematah).

- Kegiatan kegiatan tidak sihat seperti mengamalkan dadah, mencuri, menipu dan pelbagai lagi aktiviti bagaikan gangster perempuan.

- Bersaing dalam kelompok kecil sesama mak nyah diikuti oleh maki hamun yang terpapar jelas di dunia maya. Merasakan diri sebagai bintang/diva/artis tidak tentu hala, termasuk menjadi batu api pada pertelingkahan

Hal hal di atas sangatlah subjektif dan sering terlepas pandang dalam melangkah hidup sebagai Mak Nyah. Sering merasa diri tertekan akibat pertikaian masyarakat. Kamu sedia maklum bahawa Mak Nyah juga harus berdunia, tidak boleh menjadi kera sumbang. Melangkah masuk ke ruang UMUM/AWAM/PUBLIK seharusnya jadi hal yang biasa, mudah dan teratur. (mata awam akan tetap mahu merenung, meneliti – itu adalah hal biasa, di sini peranan kamu bagaimana?)

Sifat sifat aib yang tidak lucu adakalanya dikongsi sama naik oleh kaum Mak Nyah dan Cisgender. Paparan video video lucu mak nyah dari seberang atau tempatan (parodi parodi berpakaian perempuan) diketawakan secara murahan. Kamu fikir ia wajar? Bersimpang siur emosi manusia menilai setelah menonton video video tersebut.

Seharusnya di tahap ini kamu tahu bagaimana untuk mendekati sesiapa sahaja, lebih memahami keadaan komuniti, membaik pulih diri dari waktu ke waktu bila melibatkah hal hal sahsiah diri sambil meneruskan cara hidup pilihan sebagai mak nyah tegar.

20 tahun dahulu kerap dimaafkan pada kelaku kelaku aib para mak nyah. Memikirkan bahawa mereka sedang tidak tenang, ada gangguan fikiran dalam menguruskan penerimaan keluarga dan masyarakat. Namun bila diperhatikan hal ada unsur unsur dalam diri yang tidak selesai.

- Muatnaik video dan gambar dalam keadaan lucah

- Mak Nyah tua yang sudah puas memberi tarbiah agama

- Pergaduhan tentang apa sahaja isu semasa yang sensasi

- Rungutan tentang NGO atau NGI yang dikatakan tidak kemana

- Bersifat dominan dalam perkumpulan

Media akan terus bermain dengan isu jantina, begitu juga dengan para politikus. Seksualiti dan keaiban adalah topik yang mudah untuk menjana perhatian. Para Mak Nyah sebaiknya arif akan hal ini dan tidak gelabah menghadapi cisgender hipokrit bagaikan terlupa pada kisah kisah aib mereka. Rogol, buang bayi, rasuah, penipuan, nikah cerai dan macam macam lagi. Kisah mereka kalau ditimbang tara tidaklah berkurangan keaibannya. Namun Mak Nyah bila dipergunakan oleh media bagaikan satu sensasi. Makanya berurusanlah dengan media secara berhemah jika perlu.

Sebagai Mak Nyah carilah rakan sokong bantu yang tepat. Bercita citalah pada kehidupan yang jauh lebih sempurna atau paling tidak setara dengan manusia bahagia yang lain. Bersifat terbuka pada peluang pendidikan, kesihatan, sosial sihat dan ada kemahuan untuk keluar dari kehidupan buruk seperti yang dijangka secara rambang oleh manusia awam.

Seperti biasa ingin diulangi bahawa pembuktian bukanlah untuk orang lain, tetapi untuk diri sendiri. Buktikan bahawa kamu mampu menyumbang dalam hidup. Manusia selalunya bahagia bila menyedari mereka itu berguna.

Semoga hal subjektif dalam rencana pendek ini mampu membuka sedikit ruang minda sihat di kalangan para Mak Nyah.

Regina Ibrahim

250319

250319

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
BUKU MAKNYAHWhere stories live. Discover now