PROFESSIONAL APA?

118 1 4
                                    


MAKNYAH PROFESSIONAL

Menjawat jawatan untuk menghasilkan pendapatan bagi menyara hidup adalah satu hal yang digelar Professional. Hadir dari perkataan Profession yang mengambarkan KERJA.

"Eh! Professionallah sikit...," ujar Maknyah remaja yang baru sampai dari desa pada teman temannya sewaktu memasang pelaminan.

Kita mahu menyentuh hal Professional apabila Maknyah menjawat jawatan tidak kira di bidang apa, selagi mereka berurusan dengan ramai teman sekerja, pelanggan atau orang atasan secara terus. Bukan hal yang mudah, kita semua tahu bagaimana sukarnya berada dalam kelompok para cisgender yang pelbagai. Tanpa mengira lokasi atau iklim sesuatu bidang/tempat kerja jati diri Maknyah/transwoman pasti akan diduga. (ini bukan kisah Gay Lembik atau Maknyah coverina berpakaian lelaki).

Ada beberapa bentuk pembawakan diri yang harus ditekankan di sini oleh para Transwoman supaya mereka merasa lebih aman sewaktu bertugas.

1. Pemahaman secara menyeluruh tentang tugas yang digalas. Ramai para Ts berjaya dibidang masing masing kerana mereka menumpukan pada hal yang utama ini, bukan kerana para ts jauh lebih baik dari cisgender.

2. Patuh pada syarat syarat yang termaktub dalam syarikat, termasuk etika berpakaian. Lebih baik sekiranya beruniform. Elakkan gelaran GLAM GLAM KAM yang sangat digemari oleh maknyah apabila memilih busana. Rantai rantai manik, kasut tinggi tidak menentu, potongan V di dada yang terbongkang dan kelap kelip dangdut yang kamu suka itu. Pakai di hari luar dari waktu bekerja.

3. Pengukuhan tahap komunikasi dari waktu ke waktu. Komunikasi bukan sahaja melibatkan penguasaan bahasa pertuturan. Ia melibatkan cara cara bagaimana hubungan sesama pekerja, ketua, penyelia itu dilaksanakan dengan berkesan. Hal hal keperluan komunikasi itu sama sahaja keperluannya tanpa mengira gender. Jelas, sopan dan demi kelancaran tugas.

4. Emosi akibat HRT atau sifat bongkak diva semulajadi harus dielakkan sama sekali. Dari waktu ke waktu kita akan bertemu para Maknyah Professional sedemikian. Pada awalnya mungkin para subordinate/rakan sekerja akan terpegun pada hal yang baru, lama lama mereka akan terfikir tentang shasiah diri kamu sebagai Maknyah. Jangan terkejut kalau pe'el kamu akan menjadi bahan ajukan di waktu waktu tertentu.

5. Belajar membahagikan hidup kamu. Waktu bekerja dan waktu bersantai. Ada maknyah yang gagal dalam hal ini. Jatuh cinta ditempat kerja, menggoda pelanggan, bercakap dengan lenggok lenggok bahasa maknyah yang lucah dengan alasan melawak. Tidak salahnya kamu buat biasa biasa sahaja di tempat kerja. Lenggok bahasa Maknyah yang kamu terbiasa itu adakalanya berbunyi kasar, kurang ajar atau mungkin juga seksis.

6. Solekan. Kita tahu Maknyah hampir semuanya gila mahu cantik. Mahu tampil seperti artis dan model. Kawal hal yang satu ini. Kamu masih boleh cantik kalau berpada pada. Bekerja secara professional bukanlah pentas peragaan atau berhadapan dengan jurukamera. Kamu tahu cara untuk kelihatan minimal demi kerja bukan? Tampil sederhana.

7. Elakkan sama sekali berbicara tentang SEKSUALITI secara terbuka dan tidak kena tempat. Bawa diri secara baik baik, dan perhatikan juga pertanyaan orang sekeliling tentang seksualiti. Itu bukan tugas utama kamu untuk menjawab. Kamu boleh sahaja mengatakan, "nanti kita cari waktu yang sesuai untuk berbicara tentang hal ini". Seksualiti bukan hal yang enteng yang boleh dibicarakan secara suka suka. Mereka boleh google kalau teruja mahu tahu hanya kerana kamu Maknyah.

8. Hubungan Badaniah dengan rakan sekerja boleh membawa padah, walaupun kamu akan mengatakan itu hak peribadi kamu. Apa salahnya kamu berpasangan dengan rakan sekerja. Harus ingat, ramai cisgender di luar sana adalah panseksual atau skolioseksual. Dalam hal hal terdesak kamu mungkin diperlukan, dalam hal hal terdesak juga mungkin hubungan badaniah itu akan dijadikan bahan (bahan lucu jenaka atau bahan untuk mempertahankan diri) INGAT: kita tidak mahu mempertaruhkan kerjaya kita hanya kerana nafsu.

9. Hal hal remeh seperti penggunaan tandas, bilik sembahyang dan barisan barisan yang mengikut jantina harus kamu tangani dengan bijak. Harus ingat, sekiranya syarikat kamu tidak selesa dengan Maknyah/ts kamu tidak akan menjawat jawatan yang sedia ada. Tuntut hak kamu dengan cara yang professional juga. (melalui mesyuarat, surat resmi atau pertemuan secara peribadi. Boleh juga melalui penyelia).

10. Berpegang pada kata kata manusia tidak pernah sama, kamu mungkin akan menghadapi masalah apabila ada pertukaran penyelia, pengurus atau ketua jabatan. Hal ini harus ditangani dengan bijak. Bersedia untuk memberikan penerangan yang bijak sopan terhadap letak duduk jantina kamu. Jangan EMOSI.

Bersifat professional itu sebenarnya dituntut demi kedamaian dan keselesaan sewaktu bekerja dan pulang tanpa rasa berat hati. Tumpukan pada manusia manusia yang memberi kerjasama pada kamu, hormati mereka kerana sudi memberi ruang. Tidak kira samada kamu pekerja biasa atau menjadi ketua, tugas harus dilaksanakan dengan baik. Menerima dan memberi arahan harus dijalankan dengan penuh tanggungjawab. JANGAN MENGGUNAKAN istilah dan terma terma maknyah pasar apabila kamu marah atau mahu berjenaka di tempat kerja.

Banyak syarikat membenarkan Maknyah menjadi diri mereka sendiri. Peluang ini harus dijaga sebaik mungkin. Ada Maknyah yang terpaksa secara perlahan lahan membuktikan diri mereka mampu bekerja dan sekaligus mencari ruang untuk berpenampilan sebagai diri mereka yang sejati. Ini antara sebab utama bersifat professional itu sangat dituntut.

Lampiran lampiran nasihat ini bukanlah untuk menjadikan kamu robot yang membosankan. Kamu sebagai pekerja yang baik sudah memiliki tahap komunikasi yang baik dan mempunyai 'sense of humor' yang tinggi akan kelihatan sangat professional walaupun berjantina Maknyah/ts.

Kemahuan untuk mendalami bidang kerjaya yang sudah kamu ceburi itu pasti akan membuahkan hasil. Ketepatan waktu dan tidak takut untuk bersuara dalam bidang kerja adalah satu hal yang terpuji.

Oleh kerana kita adalah Maknyah/Ts titik berat terhadap disiplin kerja menjadi dua kali ganda usahanya. Ramai para maknyah/ts professional mendapat pujian saban tahun. Jadi ruang untuk kamu tentunya ada. Semuanya adalah gabungan dari kemahuan diri, usaha dan kawalan sifat sifat kamu yang seharusnya mengkagumkan.

Harus ingat. Di akhir cerita, pelaksanaan tugas yang lancar dan tepat menjadi titik tumpu semua organisasi. Kamu pasti akan dihormati kerana menjadi salah satu dari penyumbang dalam matlamat mereka, tidak kira kamu berjawatan sebagai operator, penyelia, jurutera, tukang masak, waitress atau apa apa sahaja.

*Pekerja seks? Sudah tentu mereka juga dituntut untuk menjadi lebih professional. Menjaga nama baik pelanggan mereka dan memberi perkhidmatan terbaik. Sayangnya ramai yang terjun dalam bidang ini merasakan diri mereka tidak ada nilai akibat tekanan emosi. Itu tanda mereka tidak bersedia. Ramai pekerja seks yang berdisiplin penulis kenali sepanjang hidup sebagai Maknyah di Malaysia. Mereka ada cara mereka tersendiri.



BUKU MAKNYAHWhere stories live. Discover now