C E R M I N

408 28 0
                                    

Pancaran kilat mengiringi hujan lebat malam itu, seolah menangisi pemergian Aunty Ai Leen. Salmah merasa sayu. Wanita tua itu mati sendirian, tanpa saudara mara disisi. Sejak dia masuk ke wad itu 2 bulan yang lalu, Aunty Ai Leen dan Salmah telah menjadi semacam akrab. Dia sering meluahkan rasa sedihnya terhadap anak-anaknya kepada Salmah. Dia mempunyai 2 orang anak yang telah dewasa dan mempunyai hidup yang bagus, namun tiada seorang pun antara mereka yang sanggup menjaga dirinya. Sejak lumpuh separuh badan akibat strok 3 tahun lalu, dia diletakkan di rumah jagaan orang tua-tua. Kesibukkan kerja membuatkan anak-anaknya jarang sekali datang menjenguk. Malah, dia dibawa masuk ke wad oleh kakitangan rumah jagaan itu, bukan anak-anaknya.

Salmah teringat perbualannya dengan Aunty Ai Leen 3 minggu yang lalu.

"Aunty memang suka warna biru ye? Sal pun sama," ujar Salmah sambil melipat sehelai cheong sam biru kegemaran Aunty Ai Leen. Wanita tua itu hanya merenung Salmah.

"Aunty sedih sangat Sal. Kenapalah anak-anak Aunty tidak layan Aunty sebaik Sal?" keluh Aunty Ai Leen. Salmah menyimpan lipatan baju itu lalu menghampiri Aunty Ai Leen.

"Janganlah cakap begitu Aunty, mungkin mereka sibuk bekerja," pujuk Salmah.

"Kalau kerja yang lebih penting untuk mereka, Aunty harap Aunty cepat mati," balas Aunty Ai Leen.

"Aunty, selagi ada hayat, mari kita doakan yang terbaik untuk hidup kita. Kalau Aunty sedih, Aunty boleh cari saya. Saya akan temankan Aunty, ok?" pujuk Salmah lagi.

"Baiklah. Kalau begitu Aunty harap Aunty boleh jadi muda semula," ujar Aunty Ai Leen cuba berseloroh, lalu mereka berdua ketawa.

Dia tahu, kesedihan seorang ibu yang ditinggalkan hanya mampu diubati oleh anak kandungnya sendiri. Namun, kerana kasihan, dia cuba melakukan apa yang terdaya untuk menghiburkan hati wanita tua itu. Dia sedar, usia Aunty Ai Leen sudah melebihi jubli intan tetapi dia tidak pernah menyangka wanita tua itu akan 'pergi' secara tiba-tiba.

Salmah menyarungkan sarung tangan getah untuk memulakan tugas membersih mayat apabila pintu bilik pesakit terbuka tiba-tiba. 2 orang lelaki masuk sambil menolak kerusi roda. Di atas kerusi roda itu, ada seorang wanita yang kelihatan amat tua dan kurus dengan rambut yang serba putih. Mereka terus menghampiri sisi katil Aunty Ai Leen dan mula menangis. Serta-merta Salmah dapat meneka, inilah anak-anak Aunty Ai Leen. Salmah diam memerhati.

Tiba-tiba, wanita tua di atas kerusi roda itu mula meninggikan suara. Dia bercakap dalam bahasa Cina dan kedengaran sangat marah. Salah seorang lelaki itu cuba menenangkannya. Kekecohan itu menarik kehadiran Ina, seorang lagi rakan setugas Salmah. Sebaik Ina masuk ke dalam bilik, dia segera menarik Salmah ke tepi.

"Lain kali jangan berdiri di hujung kaki orang yang baru meninggal" bisik Ina dalam nada yang tegas. Salmah hanya mengangguk, dia terlupa sebenarnya.

Ina adalah salah seorang jururawat yang paling senior di wad itu. Entah mengapa, itu adalah perkara pantang larang bagi Ina apabila menguruskan pesakit yang baru meninggal dunia. Mereka dihampiri oleh salah seorang anak lelaki Aunty Ai Leen.

"Misi, nak minta tolong sikit. Tolong alihkan cermin tepi katil ibu saya tu," pintanya.

"Kami tak boleh alihkan, tapi kami boleh tolong tutupkan. Macam itu boleh ke?" balas Ina.

"Boleh juga misi. Terima kasih ye," balas lelaki itu lalu kembali ke sisi katil.

Ina segera menarik Salmah keluar. Salmah terpinga-pinga, namun dia hanya mengikut langkah Ina. Seketika kemudian, mereka berdua kembali ke bilik Aunty Ai Leen dan menampal beberapa helai surat khabar pada permukaan cermin itu. Setelah cermin itu ditutup sepenuhnya, baru la wanita tua itu kembali bertenang.

WELCOME TO YOUR NIGHTMAREWhere stories live. Discover now