I S T A N A L A M A 2

129 23 0
                                    

"Han, itu bukan bangunan..." Tanya Zana sambil terkebil-kebil melihat peta

Johan mendongak ke atas, matanya meliar melihat setiap inci bangunan yang tersergam besar di depan mata. Dia mengangguk-angguk.

"Betul Zana, inilah bangunan penjara yang mereka sebut-sebutkan. Yang dahulunya menempatkan golongan banduan musuh-musuh yang mahu merampas takhta baginda dan juga negeri ini. "

Johan dan Zana sedia maklum di bawah penjara itu telah terbina satu terowong rahsia. Terowong tersebut agak panjang sehingga boleh menembusi bahagian istana. Ada juga satu tempat rahsia di mana tahanan-tahanan akan diseksa. Telah tersedia bilik-bilik berbeza yang mempunyai peralatan menyeksa banduan. Alat seksaannya juga berbeza-beza setiap antara bilik. Banduan kebanyakannya mati di situ juga.

Tiba-tiba kedua-duanya terdengar bunyi sesuatu. Bunyi dari dalam penjara.

"Han, aku rasa meremang lah dekat kawasan ni. Kau dengar tak bunyi tu?"

Johan terdiam, dia mendengar dengan teliti bunyi tersebut. Bunyinya macam pintu kayu sedang diketuk-ketuk. Johan lalu mengajak Zana menghampiri bangunan penjara yang pintunya melopong terbuka luas.

"Ish Han, kenapa nak pergi dalam ni? Kau tak takut ke. Entah bunyi apa tah tu!"

"Sshh. Sekarang ni sebarang kemungkinan pun boleh jadi tau. Mana tahu itu Azri yang tengah terperangkap. Mungkin dia tersesat sampi masuk kat dalam ni. Atau mungkin dia tengah cedera dan tak larat untuk berjalan. Dah jom kita masuk perlahan-lahan."

Zana seperti biasa hanya menuruti perintah Johan. Lagipun mereka dah berjanji tidak akan berpecah kerana bimbang salah seorang daripada mereka hilang. Di tempat yang agak misteri dan angker seperti ini mereka harus menjaga diri dengan lebih sedikit.

Johan berjalan di hadapan, sementara Zana yang teragak-agak mengikuti jauh dari belakang . Walaupun rasa takut kian mencengkam diri namun oleh kerana mengenangkan Azri, dia terpaksa melakukan semua ini. Johan tidak toleh ke belakang lalu terus masuk ke pintu utama. Tidak semena-mena saat kaki melangkah melepasi pintu utama, tiba-tiba ada sebuah pintu konkrit jatuh lalu menutupi pintu utama tadi. Dumm!!! Zana menjerit ketakutan. Kedua-duanya terdiam! Dalam kegelapan Johan mencapai telefon di poket seluar. Resah dan gelisah bercampur aduk.

Misi mencari Azri harus diteruskan. Dengan bantuan lampu telefon, Johan dan Zana berjalan perlahan-lahan ke ruang koridor penjara yang panjang. Di kiri dan kanan mereka adalah bilik-bilik penjara. Keadaan yang lembab, kotor dan gelap membuatkan mereka resah. Namun demi mencari dan menyelamatkan Azri, mereka tolak tepi semua itu. Sewaktu berjalan, Johan sempat menjeling ke arah ruang bilik penjara. Kelihatan kosong, bersawang dan tiada apa-apa di situ. Yang ada hanyalah tikus-tikus kecil yang bersarang. Berdecit-decit bunyinya berlari ke sana ke mari.

Perjalanan ke hadapan nampaknya masih panjang lagi. Johan terus menyuluh ke hadapan, memang mendebarkan kerana dia tidak tahu apa yang bakal ada di hadapannya. Setakat ini bangunan penjara yang hampir berusia ratusan tahun ini semuanya terlihat okay. Sudah separuh jalan Johan dan Zana teroka, namun mereka berasa hairan kerana bunyi ketukan pintu tadi sudah lenyap. Ke mana pula hilangnya. Adakah itu hanya halusinasi atau adakah dia tersalah dengar. Zana terus mengekori Johan daripada belakang. Sesekali Johan menjeling bagi memastikan Zana ada dan selamat. Dia nampaknya kelihatan menunduk dan senyap, mungkin kerana resah dan ketakutan. Tak apa lah, asalkan dia selamat di belakang Johan.

Tikus melintas-lintas di kaki Johan, terkejut dia dibuatnya. Zana pula nampak tenang. Perempuan biasanya takutkan tikus, tapi ketenangan Zana membuatkan Johan hairan. Entah ke mana lorong ini mahu membawa mereka pergi. Lurus terus ke hadapan. Johan daripada tadi sebenarnya terasa bagai diperhati. Tambahan pula melihat tinggalan alat-alatan seksaan banduan membuatkan Johan kecut perut. Ketika melalui kawasan bilik seksaan Johan terdengar sayup-sayup suara orang merintih. Johan cuak lantas berlari laju ke hadapan, Zana turut bergerak laju ke hadapan mengekori Johan. Pucat mukanya.

WELCOME TO YOUR NIGHTMAREWhere stories live. Discover now