'Cinta tak semestinya memiliki'
"Izz akan pergi. Tapi daddy akan menyesal kerana percayakan lelaki itu. Izz akan pastikan daddy menyesal dan kau Izhaan, hidup kau tak akan aman." - Izz Aryan
Izz telah dibuang daripada keluarga Dato' Afzan setelah di...
Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
TANGANRaysha ligat membersih tumbuhan yang tumbuh meliar di atas pusara sahabat baiknya, Izz Aryan. Sudah hampir empat tahun dia tidak pulang ke Malaysia kerana sibuk dengan pengajian di London. Lagipun dia ingin melupakan semua kenangannya bersama dengan Izz ketika di Malaysia. Tempoh empat tahun itu juga dirasakan sangat singkat baginya untuk melupakan Izz.
Raysha mengusap batu nisan yang tertera nama Izz. Bibirnya mengukir senyuman pahit. Hari ini genaplah empat tahun Izz pergi dijemput Illahi. Bohonglah kalau dia kata dia tak rindukan lelaki yang pernah menghuni hatinya itu. Jarum jam di tangan sudah menunjukkan jam 6.00 petang. Dia perlu segera pulang kerana tidak mahu terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.
Tambahan lagi dia sudah berjanji dengan ibu dan ayahnya untuk berbuka puasa bersama di rumah. Lagipun sudah empat tahun mereka tak berpuasa bersama-sama. Kurang dari seminggu sahaja lagi mereka akan menyambut hari raya.
"Izz, aku balik dulu. Nanti ada masa aku datang melawat kau lagi," ujar Raysha separuh berbisik.
Berat hati Raysha melangkah meninggalkan pusara Izz. Sesekali dia mengalihkan pandangan ke arah pusara lelaki itu. Masuk sahaja ke dalam kereta, mata Raysha terpandang akan surat khabar yang dibeli olehnya pagi tadi. Sebenarnya ada artikel yang sangat menarik perhatiannya. Artikel berkenaan berkenaan Izhaan Lutfil yang telah dinobatkan sebagai orang yang paling berpengaruh dalam bisnes pada tahun ini.
Honda Jazz miliknya dipandu meninggalkan tanah perkuburan itu. Nampaknya jalan memang sudah mula sesak. Habislah dia kalau tidak sempat berbuka puasa dengan ibu dan ayah. Semua kereta bergerak perlahan sahaja di atas jalan raya. Inilah yang tidak suka setelah bertahun tidak menghadap kesesakan lalu lintas. Di London dia tak perlu bersusah payah memandu kerana dia hanya menaiki pengangkutan awam sahaja untuk kemana-mana.
Iphone 6s plus milik Raysha berdering menandakan ada panggilan masuk. Rupa-rupanya Encik Mansur yang hubungi. Raysha mencapai wireless handsfreelalu dilekapkan di telinga. Setelah itu barulah dia menjawab panggilan.
"Assalamualaikum ayah. Raysha terperangkap dalam jammed ni. Tak tahulah sempat sampai rumah ke tidak nak berbuka sekali."
"Tak apalah. Reen hati-hati memandu. Kalau tak sempat tak apa, Reen berbuka saja di luar okay," pesan Encik Mansur.
Raysha mengangguk bagaikan ayahnya itu nampak akan tindakannya. Setelah itu Raysha menamatkan panggilan lalu fokus pada pemanduan. Jarum jam sudah menunjukkan hampir pukul 7:00 malam. Raysha mengambil keputusan untuk berhenti di RnR yang terdekat.
Lama juga dia berpusing di sekitar perhentian tersebut untuk mencari parking. Mujurlah dia jumpa juga akhirnya. Raysha menanggalkan selendang yang melilit lehernya. Setelah membetulkan rambut, Raysha melangkah keluar dari kereta. Ramai juga orang yang sibuk membeli juadah untuk berbuka. Raysha memilih untuk membeli sandwich sahaja untuk berbuka.