#6

3.1K 133 14
                                    

DISCLAIMER: This contains mature content. It is NOT SUITABLE for readers under the age of 18. Read at your own discretion!

* * *

AMBERLY'S POV

PAGI ini tidak terduga. Apabila Rylan mengatakan bahawa dia akan memberiku kerja semalam, aku tidak sangka maksudnya pada keesokan pagi. Rylan tiba-tiba telah mengejutkan aku terlalu awal. Dia berkeras menyuruhku bangun dan bersiap untuk kerja. Aku akur, meskipun kurang bersemangat.

Hatiku masih sangat sakit.

Jadi dengan kebas aku menyeret kaki, namun masih tidak memakan waktu yang lama bagiku untuk bersiap-siap. Kemudian, tepat ketika aku hendak menyediakan sesuatu untuk sarapan, Rylan berpaling dan menyerahkan beg tanganku. Dia berkeras hendak membawaku keluar bersarapan pagi ini.

Kuakui itu tindakan yang baik dan aku suka kerana tidak perlu menghabiskan sepanjang hari di rumahnya sendirian, bergelimang dalam kesedihan. Setidaknya, sekarang aku boleh menyibukkan diri dan mudah-mudahan tidak memikirkan tentang patah hatiku.

Rylan membawa aku ke restoran mewah. Okey, tetapi restoran Upperstar setempat sudah memadai bagiku. Namun aku tidak mengatakan apa-apa tentang pilihannya, kerana tahu dia hanya cuba berbuat baik untukku. Aku hanya memesan hidangan yang kecil sebagai alas perut buat seketika. Tidak masuk akal untuk terlalu membazir.

Kami tidak banyak bercakap semasa bersarapan. Aku banyak berdiam diri pagi ini dan Rylan tidak mendesak. Rasa menyenangkan apabila dihormati dan dijaga, walaupun semua itu dari Rylan.

Aku pasti akan melakukan yang terbaik untuk dia sebagai balasnya.

Sekarang, kami sedang menuju ke pejabatnya yang besar di tingkat 10. Aku menelan ludah. Syarikat ini jauh lebih besar berbanding syarikat Wes tempat aku bekerja terdahulu, dan Wes bukan pemiliknya. Dia hanya bertanggung jawab menguruskan banyak hal. Rylan pula, memiliki semua ini. Ini adalah syarikatnya, atas namanya.

Perbezaannya sungguh ketara. Tingkat ini boleh dikatakan merupakan ruang persidangan besar di satu sisi, sebuah pejabat besar di tempat terbuka untuk Dustin, asisten Rylan dan tentu saja, pejabat Rylan. Kesemua pejabatnya yang lebih kecil terletak di tingkat bawah.

Tingkat Rylan sebenarnya mengingatkan aku pada dia. Besar. Menakutkan.

Mataku melilau ke sekeliling ruangan dan memperhatikan dinding yang lebih cerah serta dekorasi rawak. Tingkat itu berkarpet dan berwarna kelabu yang elok. Itu menjadikan suasana kelihatan menarik meskipun terdapat pejabat-pejabat yang menakutkan. Secara keseluruhan, aku menyukainya, meskipun berasa agak tidak selamat. Mampukah aku beralih daripada syarikat yang bagus, tetapi lebih kecil ke Syarikat Korporat mewah sebesar ini?

Mataku meliar dan terhenti apabila melihat pintu Rylan. Namanya tertera dalam huruf tebal besar ‘Rylan Kayson’.

Cara nama itu dipampangkan secara mengejut membuat aku bangga, mengetahui bahawa lelaki di pintu itu merupakan suamiku. Alangkah bodohnya.

“Morning, Rylan.” Suara yang bernada yakin kedengaran, menyapa Rylan ketika dia menuju ke meja besar yang terletak di sebelah pejabatnya.

“Morning, Dustin.”

Aku ikut mengayun langkah, menarik perhatian Dustin. Matanya langsung naik berseri-seri apabila melihatku dan dia menyunggingkan senyum cerah sambil bangkit dan mengitari mejanya untuk berdiri di hadapanku. Rambutnya digayakan sama seperti rambut Rylan, disikat rapi ke belakang dengan gel. Dia mengenakan sut hitam yang elok, juga seperti yang dipakai Rylan. Sangat sesuai untuknya dan membuat dia kelihatan sangat tampan. Tubuhnya lebih sasa, tetapi sama sekali tidak seperti Rylan.

MAYBE IT'S YOU (Completed)Where stories live. Discover now