BAB 30

7.3K 360 10
                                    

Sejurus bertegur sapa bersama kedua-dua orang tua mereka, Adi Ashraf dan Ariana Atilia memohon untuk berehat di dalam bilik terlebih dahulu. Puan Ratna dan Encik Marzuki membenarkan tanda memahami keadaan pasangan suami isteri itu.

"Pergilah rehat. Nanti mama panggil bila makan malam dah siap." ujar Puan Ratna sambil memegang tangan Ariana Atilia. Bibirnya tak lekang dengan senyuman.

"Baik mama. Nak Riana tolong ke? Atau ada apa-apa yang Riana boleh tolong?" soal Ariana Atilia cuba meringankan beban ibu mertuanya. Namun ditolak lembut oleh Puan Ratna.

"Tak apalah Riana. Riana dengan Adi rehat dulu. Biar mama uruskan semuanya. Lagipun Akid dengan Mai pun ada nak tolong mama. Betul kan?" balas Puan Ratna sambil menanyakan kepada Akid Ahnaf dan Maisarah.

Laju sahaja kedua-dua manusia itu mengangguk tanda mengiyakan. Mengundang tawa daripada Ariana Atilia. Akhirnya, dia meminta diri untuk berehat bersama Adi Ashraf yang telah pun berada di dalam bilik mereka berdua.

Tombol pintu dipulas perlahan cuba untuk tidak menganggu suaminya yang sedang berehat. Daun pintu yang terbuka sedikit menampakkan sekujur tubuh Adi Ashraf yang telah selamat dibuai mimpi.

Perlahan-perlahan, Ariana Atilia menutup kembali pintu biliknya lalu berjalan berjengket-jengket untuk mengelakkan bunyi bising yang akan menganggu lena suaminya itu. Sebaik dia sampai pada penjuru katil, punggungnya dilabuhkan. Sebuah keluhan kecil keluar dari bibir Ariana Atilia.

Tudung yang melilit kepalanya dibuka dengan berhati-hati lalu diletakkan di dalam bakul baju kotor yang disediakan. Angin sejuk daripada pendingin hawa yang dipasang meniup lembut rambut hitam miliknya.

Sengaja dibiarkan rambutnya itu terlepas daripada sebarang ikatan untuk membenarkan kulit kepalanya bernafas selepas seharian diikat. Tangannya meraup rambutnya yang jatuh pada wajahnya ke belakang. Kepalanya pula disandarkan pada kepala katil.

"Ah, leganya." gumam Ariana Atilia. Dia sudah membayangkan kenikmatan mandian hangat yang akan melegakan segala kelenguhan yang dirasai oleh otot-ototnya pada ketika ini. Matanya dipejam rapat untuk seketika.

Otaknya mula memproses segala maklumat yang terjadi pada hari ini sebelum diulit mimpi. Satu persatu perkara yang terjadi pada hari tersebut terlayar di minda. Sehingga dia tersedar akan sesuatu.

"Kenduri doa selamat." bisik Ariana Atilia membuka mata. Terduduk terus dibuatnya apabila menyedari kenduri yang akan diadakan oleh ibu mertuanya membuka sebuah peluang.

Peluang untuk dia memperkenalkan Haris Irfan kepada keluarga mertuanya untuk mengelakkan salah faham pada masa yang akan datang. Dalam pada masa yang sama, dapat memperbaiki hubungan rakan baik lelakinya itu bersama suaminya.

Serta-merta, pandangannya tertancap pada Adi Ashraf yang sedang lena disebelah. Dia berkira-kira mahu mengejut suaminya kerana serba salah menganggu lelaki itu berehat.

Lagipun, apa pula kata Adi Ashraf sekiranya dia mengejut lelaki itu daripada tidur semata-mata untuk bercakap tentang Haris Irfan. Apatah lagi apabila punca mereka bertengkar sebelum ini adalah kerana Haris Irfan juga.

"Hmmm..." gumam Ariana Atilia bersendirian. Dia sendiri buntu. Akhirnya, dia mengambil keputusan untuk berbaring di sebelah Adi Ashraf.

Dia menongkat dagu sambil menghadap wajah Adi Ashraf yang kelihatan tenang di dalam tidurnya. Membuatkan dia semakin serba salah untuk mengejut lelaki itu.

"Esok jelah." ucap Ariana Atilia berputus asa. Wajahnya sengaja didekatkan pada suaminya ingin memeriksa sekiranya Adi Ashraf benar-benar lena.

"Apa kau cuba buat ni, Riana?" soal Adi Ashraf dengan suara yang serak basah secara tiba-tiba.

𝐂 | 𝐋𝐎𝐕𝐄 𝐇𝐀𝐓𝐄Where stories live. Discover now