BAB 38

5.7K 330 31
                                    

Pagi yang indah bersama cuaca yang cerah. Permulaan hari yang baik untuk Ariana Atilia memulakan harinya. Namun semua itu hanya sementara.

Hal ini kerana Adi Ashraf yang sejak semalam tidak berhenti mengusik dirinya tentang nama panggilan baharu yang diberikan olehnya menjadi bahan jenaka kepada suaminya itu.

Betapa dia menyesal kerana terfikir untuk cuba mengenakan suaminya semalam di hadapan Tok Wan. Yang akhirnya berakhir dengan dirinya pula yang dikenakan oleh suaminya kembali.

Di mana keadilan dunia?

"Lia, dah siap potong ke bahan-bahan tadi? Ibu nak tumis dah ni." tegur Puan Sandra kepada anaknya. Naik hairan dia apabila melihat Ariana duduk termenung dari tadi.

Ariana yang baru tersedar dari lamunan segera menyambung semula kerjanya yang tergendala tadi. Mujurlah ibunya datang menegur dirinya. Jika tidak, entah bila bawang di tangannya itu akan dipotong olehnya.

"Ya ibu. Dah nak siap ni." balas Ariana tergopoh-gapah. Dia tersengih kerang. Tangannya laju memotong nipis bawang tersebut dengan berhati-hati.

Puan Sandra mengangguk tanda faham. Walaupun dia berasa curiga dengan tindakan anaknya, dia sekadar membuat tidak endah sahaja. Mungkin tiada apa pun sebenarnya.

Sebaik memastikan ibunya sudah tiada di situ, Ariana melepaskan nafas lega. Bahan-bahan kering yang sudah selesai dipotong olehnya diletakkan ke dalam sebuah mangkuk.

Dia bingkas berdiri mahu menyerahkan mangkuk tersebut kepada ibunya. Namun sebuah figura terlebih dahulu menghalang laluannya. Ariana sudah mula mempamerkan riak muka menyampah.

Tak lain dan bukan daripada suaminya, Adi Ashraf mahu menganggunya buat sekian kalinya sejak dari semalam. Dia terfikir juga sejak bila suaminya suka menganggu dirinya pun dia tak pasti.

Tetapi boleh dikatakan sepanjang percutian mereka ini dia mula perasan sikap suaminya mula berubah. Sikap suaminya tidak lagi dingin seperti dahulu. Atau itu hanya perasaannya sahaja?

"Ash, tepi lah. Aku nak tolong ibu masak ni. Kau nak breakfast ke tak nak?" ucap Ariana sambil mendongak agar menyamai ketinggian mereka berdua.

Dia bukan rendah atau pendek cuma suami dia yang tinggi sangat. Okay?

"Tapi ibu suruh abang tolong Riana masak." ucap Adi Ashraf dengan nada yang lembut. Bibirnya sudah mengukir senyuman apabila melihat wajah isterinya yang mula memerah.

Ariana Atilia memincingkan mata ke arah suaminya apabila mendapati tekaannya sebentar tadi benar belaka. Sudah semestinya suaminya itu akan mengenakan dirinya kembali menggunakan panggilan abang tersebut sekali lagi.

"Kau saja je kan? Daripada orang tu, sampai tersedak minum air bila orang panggil dia abang. Huh." bidas Ariana kembali dengan senyuman mengejek. Dia mengorak langkah melepasi suaminya. Sempat juga dilagakan bahu mereka berdua.

Adi Ashraf meraup muka apabila kejadian semalam kembali di fikiran. Siapa sangka isterinya akan mengejutkan dirinya sebegitu sekali dengan hanya sebuah nama panggilan?

Dia mengeleng kepala apabila merasakan dirinya terlalu berlebih-lebihan. Belum tambah lagi dengan semua usikan yang dia lakukan terhadap isterinya sejak baru-baru ini.

Entah mengapa, dia berasa lebih selesa bersama isterinya sekarang. Hanya dengan melihat senyuman dari isterinya sudah cukup membuatkan hatinya terasa bahagia.

Kakinya mengorak langkah untuk menemui isterinya yang sedang sibuk memasak. Wajah Ariana yang sedang fokus terhadap masakannya menarik perhatian Adi Ashraf.

𝐂 | 𝐋𝐎𝐕𝐄 𝐇𝐀𝐓𝐄Where stories live. Discover now