Kisah Selingan #1: Ragam Helmi dan Zack

77 5 0
                                    

Sebenarnya, Helmi itu bukanlah seseorang yang panjang akalnya. Idea-idea yang dia ada kebanyakannya merepek dan seringnya tidak menjadi seperti yang diharapkan. Namun, masih terdapat ketikanya akal Helmi bertindak cemerlang dan buat kerja seperti otak yang sebenar. Sebagai contoh, idea Helmi untuk memusnahkan Drakula secara total itu boleh dikirakan sebagai Paling Mantap dalam sejarah hidup otaknya.

Idea sebelum ini yang memegang gelaran "Paling Mantap" adalah ketika malam Sabtu, sebulan sebelum Helmi mendapat idea hendak membunuh Drakula.

Paginya itu, Helmi baru selesai menoreh getah dan dia berasa sangat malas hendak mengutipnya pada pagi esok. Lantas di waktu malam, ketika azan Isyak berkumandang hebat di surau berhampiran, otaknya ligat memikir. Apakah caranya untuk dia berjaya memperoleh wang kutipan getah itu tanpa perlu keluar mengutipnya pada hari esok. Dapat!

Helmi terus ke dapur. Mencapai cerek yang agak uzur namun masih lagi mahu berbakti kepada tuannya. Kadang-kadang melihat kesetiaan cerek itu kepada tuan, mampu membuatkan Helmi merasa sebak. Sambil itu, dia menjeling kepada selipar jepunnya yang sudah putus. Usianya baru dua hari tetapi sudah berani membuat khianat. Di dalam samar cahaya pelita, dia mencium nipis cereknya. Tanda bahawa kesetiaan itu, dihargai dengan sesungguhnya.

Air dimasukkan ke dalam cerek lantas diletakkan di atas dapur. Dua percubaan menghidupkan api dan dia berjaya. Helmi meniup-niup supaya api menjadi marak tapi bersopan. Kemudian dia ke kabinet dan mencapai beberapa bahan untuk menghasilkan air teh o yang mantap. 

Sebungkus teh berjenama Masjid.

Dan sebekas gula yang separa penuh.

Sambil itu, dia menjeling pula ke arah luar dapur, menghala ke beranda. Kelihatannya si Zack yang duduk bersila sedang mengorek telinga dengan batang mancis. Terpejam-pejam matanya menahan asyik yang tidak mungkin boleh dicapai dengan cara yang lain. Melihat pada keadaan itu, Helmi tahu yang Zack akan lama disitu.

Tiga sudu daun teh dimasukkan ke dalam cawan. Kemudian, air yang menggelegak di masukkan sehingga separa penuh. Campuran itu dikacau sempurna sehingga menaikkan aroma yang menyenangkan. Setelah 3 minit berlalu, Helmi menuangkan air teh tersebut ke dalam teko, sambil dia menahan daun teh menggunakan sudu agar ia tidak turut serta. Kemudian, dimasukkan pula lapan sudu gula ke dalam teko lantas dikacau lagi sehingga sebati. Sambil itu, air panas terus ditambah ke dalam teko supaya cukup untuk diminum oleh dua orang beserta sekali tambah. Selesai melakukan semuanya, dia mengambil sedikit air teh tersebut dengan menggunakan sudu lalu mencubanya.

"Cap cap...hmm mantap!" ujar Helmi sendirian. Dia berpuas hati. Teh O-nya sudah tergolong dalam kalangan air yang hebat. Jika Teh O ini adalah anak gadis, sudah pasti dia akan mengahwininya.

Teko berisi Teh O itu dibawa ke depan, bersama dengan dua cawan kosong, dan setin biskut lemak. Diletakkan ke semuanya di hadapan Zack, yang matanya masih lagi asyik menahan nikmat mengorek telinga.

"Uishhh...uishhh...uishhh," Zack yang tadinya bersila sudah pun meluruskan kaki kanannya. Menggeletar-geletar sambil matanya masih lagi dipejamkan.

Helmi berasa lucu melihat telatah si Zack ini. Orang lain pun pernah juga mengorek telinga, tetapi tidaklah sampai begini, fikirnya.

"Woih!" jerkah Helmi.

Zack melatah sambil meluahkan bahasa yang kurang sopan.

"Miker ni mengorek telinga ke, mengambil barang?" tegur Helmi.

"Alaaa kacau daunlah. Awok nak melayan perasaan sorang pun tak boleh."

"Sudah-sudahlah miker tu melayan perasaan. Nah, minum Teh O ni."

Wajah Zack berubah teruja. Malam yang dingin ini, memang cukup sempurna jika digandingkan dengan Teh O panas. Ditambah pula dengan biskut lemak yang enak dan sering dihidangkan pada tetamu ketika majlis arwah. Gabungan ideal yang sukar disangkal oleh mana-mana nikmat yang lain! Itu pendapatnya, sebagai seorang lelaki bujang dan seumur hidup tidak pernah ada kekasih tetap.

DihantuWhere stories live. Discover now