Bab 4

5K 280 50
                                    

"Teman gerak dulu la ye. Teman ada keghojer sikit ni," ujar Lebai Leman sambil bersalaman dengan beberapa makmum yang ditemuinya semasa turun dari tangga surau.

Agak kelam kambut gerak gayanya. Langkahnya terhenti tatkala berjabat salam dengan Pak Dollah. Pak Dollah masih tidak melepaskan genggaman tangan. Memaki jugak Lebai Leman di dalam hati tanpa sengaja.

"Eh laaa, kome nak kemananya? Awal sangat nak baliknya pun," tanya Pak Dollah.

Dengan misai lebatnya itu, memang sesiapa pun akan menganggap yang dia manusia paling garang dan berani dalam Kampung Mudah ni. Jika pertama kali bersua muka, tidak akan ada sesiapa pun yang menyangka Pak Dollah ni kalau nak ke jamban belakang rumah pun berteman. Pernah ada sekali tu anaknya yang menemankannya tertidur sampai terbaring, menyebabkan pelita yang dipegang anaknya terpadam. Kelam kabut Pak Dollah berlari keluar jamban bila tak nampak cahaya pelita anaknya. Bukan risau pasal anaknya, tapi risau kalau ada hantu jembalang mana-mana menegur. Akibatnya satu rumah berbau najis sebab urusan Pak Dollah di dalam jamban itu sebenarnya belum betul selesai.

"Entahnya. Malam Jumaat gini kan ke ada bacaan Yassin. Mentanglah miker tu baru kahwin, tak menyempat-nyempat nak membunuh setannya pun," ujar Samad Botak yang kemudiannya disambut dengan ketawa oleh mereka yang berada hampir di tangga.

Lebai Leman tersenyum malu. Memang niat asalnya nak pulang awal dan membunuh setan. Baru sebulan dia mendapat seorang anak dara dari kampung sebelah untuk dijadikan isterinya yang keempat. Sementara jiwa masih lagi bernafsu dan badan masih lagi bertenaga itulah yang menyebabkan Lebai Leman nekad untuk lebih banyak menghabiskan masa di rumah berbanding di surau. Lagipun malam ni sepatutnya giliran isteri pertamanya, Salmah. Tapi Lebai Leman nekad nak lari dulu untuk melepaskan rindu dengan isteri keempat. Kemudian barulah pulang semula untuk tidur ke rumah Salmah. Bukannya apa, Lebai Leman takut nanti di waktu malam, dia mimpi sampai mengigau. Menyebut-nyebut nama isteri keempatnya tu di sebelah Salmah. Kecik hati nanti si Salmah tu. Rajuknya, bukan boleh dipujuk dengan kata-kata pujuk barang seminit dua. Boleh makan masa berbulan lamanya. Walaupun sudah beristeri empat, namun isteri pertamanya itulah yang paling dia sayang.

Tapi tidak malam ini. Niat Lebai Leman pulang awal bukan sebab nak curi masa untuk membunuh setan di rumah isteri keempatnya. Tetapi, perutnya itu meragamnya lain macam. Dari rakaat kedua lagi Lebai Leman dah rasa tak best. Nak rukuk pun berjaga-jaga takut merembes benda-benda yang tak sepatutnya. Memang hilang pahala khusyuk Lebai Leman untuk dua rakaat terakhir itu. Sebab itu Lebai Leman memaki Pak Dollah sebentar tadi. Bahan kumuh yang sepatutnya keluar 5 minit yang tadi sedang buat rusuhan besar-besaran dan sedang menuju ke pintu dubur. Dan Pak Dollah belum lagi mahu melepaskan tangannya.

"Dulu kamu masa muda bukan main lagi bekele dengan arwah Tok Nek kamu sebab tak mahu kahwin. Sampai nak lari ke pekan sana. Nyaghih teman ni ade. Teman le yang menangkap kome, bawak balik ke rumah. Sekarang dah empat bini kamu ya. Cepat betul kamu buat keghoje ni,"

"Kahwin empat kan, sunnah nabi Dollah oi," ujar Lebai Leman sambil disambut lagi dengan gelak mengekek pada jenaka yang lansung tidak kelakar di mata orang perempuan.

*******

Lebai Leman asalnya dilahirkan dalam keluarga yang agak kucar-kacir. Ayah dan ibunya bercerai. Yang si ibu, dengarnya sudah lari ke luar negara sebab dah terpaut pada lelaki mat salleh. Yang si Ayah, dengarnya sudah mati dibunuh tauke lombong timah sebab lari tidak mahu bayar duit kalah berjudi. Makanya, Lebai Leman dijaga oleh Tok Neknya. Walaupun begitu, Lebai Leman masa zaman mudanya agak disegani dalam kalangan penduduk kampung. Semua atas faktor yang dia dihantar belajar ke sekolah pondok oleh Tok Neknya semenjak dari umur 10 tahun. Pulangnya ke kampung disambut baik kerana menjadi satu-satunya anak muda yang hendak ke masjid setiap hari dan kadangkala menjadi imam di surau kampung. Pada waktu itu, anak-anak muda yang lain lebih suka membuat kerja sia-sia seperti melepak di simpang jalan, mengacau anak dara orang, dan mengendap Aminah Janda mandi. Akibat daripada terlalu seronok berbakti di surau kampung, timbul rasa untuk tidak mahu berkahwin di hati Lebai Leman yang ketika itu sudah pun mencecah umur 30 tahun.

"Perempuan ni leceh la Tok Nek. Apa yang senghonoknya kahwin pun teman tak tau le sampai orang lain teman nengok, berempat perginya," balas Lebai Leman setiap kali Tok Neknya ajak berborak pasal kahwin.

Satu hari, Tokneknya perangkap Lebai Leman. Sengaja dia menyebabkan Lebai Leman ditangkap basah bersama dengan seorang gadis yang bernama Salmah. Hal ini sebenarnya dirancang elok oleh hampir keseluruhan penduduk kampung. Bukan main meronta lagi Lebai Leman ketika hendak dipaksa angkat nikah. Sampaikan Borhan, ayah kepada Salmah terpaksa pegang parang dan acah-acah garang. Semuanya kerana hendak menggerunkan Lebai Leman yang akhirnya akur tunduk. Sepanjang masa majlis itu berlansung, masam sahaja muka Lebai Leman. Itu semua protes.

Tiba malam pertama Lebai Leman bersama dengan Salmah. Lebai Leman terkejut apabila diberitahu yang dia perlu tidur satu bilik dengan Salmah. Menjerit-jerit Lebai Leman kononnya ini semua dugaan dari syaitan. Ada sekali itu, 7 hari 7 malam Lebai Leman lari dari rumah tak balik-balik. Ketika dicari, orag kampung berjumpa dengannya di tepi jalan besar bersama dengan beg baju. Dia sedang menunggu bas.

"Teman nak ke kolumpo!" ujar Lebai Leman setiap kali ditanya mahu ke mana.

Tok Neknya mula fedup. Dikuncinya Lebai Leman dengan isterinya di dalam satu bilik setiap malam.

Suara meronta itu tetap ada. Namun makin lama, kedengaran makin perlahan.

Setahun selepas itu, Lebai Leman mendapat anaknya yang pertama.

Dan Lebai Leman, sudah dapat rasa syoknya berkahwin.

*******

Perut Lebai Leman sudah makin tak best. Sebentar tadi ianya berbunyi sedikit. Mungkin di dengari oleh orang sekeliling kerana spontan Pak Dollah melepaskan jabat tangan. Sudah 3 urat punggung digunakan bagi menahan cirit yang duduknya betul-betul tepi pintu dubur. Ni kalau tersilap langkah, mahu coklat jadinya warna kain pelikat Lebai Leman yang sedia putih tu. Berdehem pun boleh mengundang malapetaka ni.

"Teman gerak dulu la ya. Ada urusan besar yang perlu di selesaikan ni. Karang dari urusan ni jadi urusan teman sorang, terus jadi urusan kome semua," ujar Lebai Leman dengan suara macam merayu.

Dan kali ini, tidak ada siapa pun yang menghalang Lebai Leman.


DihantuOù les histoires vivent. Découvrez maintenant