Bab 8.4

3K 189 2
                                    

Encik Toyol juga menghadapi tekanan yang hampir serupa. Setiap kali dia pulang dari perpustakaan mini kampung, setiap kali itulah dia akan diperli oleh Kayol dan rakan-rakannya yang melepak di simpang jalan. Tidak padan dengan ada Ijazah, Kayol dan rakan-rakan memilih untuk hanya melepak sambil bermain gitar. Jika ada masa lapang yang berlebihan, mereka akan mencari seekor dua ketam untuk dimainkan. Itu saja.

"Aduhhh, beriya ke perpustakaan bagai. Baca apa pun tak tau. Aku tengok muka, bengap tang tu juga. Kahkahkah!" ujar Kayol penuh angkuh. Memang sekarang dia sedang merasakan yang dirinya sangat best.

"Awat hang tak pi cari kengheja? Duk melepak tepi simpang ni dapat apa pun tak tau"

"Melepak tepi simpang ni pun dah best dah Encik Toyol. Sekurangnya, aku ada Ijazah. Nak harap hang? Pui!"

Berdekah toyol-toyol yang ada di simpang tu tatkala mendengar kata-kata si Kayol. Langkah Encik Toyol semakin laju. Dengan harapan, kata-kata Kayol yang agak berbisa itu tidak sempat hendak mengguris hatinya. Malang, hatinya sudah dari dulu lagi terguris. Kata-kata Kayol sebentar tadi itu cuma meluaskan lagi luka yang sedia ada. Air mata Encik Toyol mula mengalir laju tanpa dipinta. Lansung tidak mahu dikesatnya. Dibiarkan air mata itu mengalir, membawa keluar sama kesedihan yang sedang dialaminya. Menjadi sehantu toyol yang tidak mempunyai Ijazah di dalam kampung itu ternyata memberikan kesan kepadanya.

Encik Toyol mula berlari. Berlari menuju ke sebuah destinasi yang akan dituju setiap kali dia berada di dalam kesedihan. Kerana di dalam fikirannya, hanya pada seorang saja dia boleh mengadu.

Ibu.

*******

Encik Toyol menerjah pintu dengan mata yang masih merah.

Emma memandangnya sayu.

Tanpa Encik Toyol berkata apa-apa, Emma sudah pun faham segala penderitaan yang ditanggung. Dirasakan, itu kesilapannya. Terlalu berpegang pada ideologi karut yang entah siapa merekanya. Encik Toyol perlahan-lahan melangkah menghampiri ibunya. Seperti biasa, Emma akan menatap mata anaknya itu dengan penuh rasa rindu dan pilu. Setiap kali dia menerima cabaran yang berat, mata itulah yang akan ditatapnya. Sudahkah dikhabarkan yang mata anaknya itu seiras benar dengan mata bekas suaminya, Doyol. Mata itu menenangkannya. Mata itu membuatkan dia percaya pada dirinya. Mata itu jugalah yang membuatkan dia jatuh cinta. Mata itu, adalah segala bagi dirinya. Atas sebab itu, Emma merahsiakan akan sebuah berita yang mungkin mampu mengubah nasib anaknya. Kerana bimbang akan kejauhan itu, mampu untuk "membunuh" segala harapan dan kekuatannya tentang hidup. Namun sekarang, ianya dikira sebagai waktu kecemasan. Dia perlu membetulkan kesilapan lampaunya.

Walaupun tidak pernah sekali pun Encik Toyol menyalahkan ibunya itu.

Mereka berdua berpelukan, erat.

Kemudian dengan perlahan, Emma meleraikan pelukan itu. Dikesat mata anak kesayangannya sambil menarik nafas yang agak berat.

Ini untuk kebaikkannya.

"Ibu ada benda nak habaq dekat adik."

Emma bergerak ke almari berlaci yang ada di ruang tamu. Kemudian, dikeluarkan sekeping risalah. Risalah serupa dibaca oleh suami kesayangannya suatu ketika dahulu. Risalah serupa yang menyebabkan mereka berpisah panjang kerana Doyol ingin mencuba nasibnya. Risalah serupa yang menyebabkan Doyol mengalami tekanan hidup sehingga mengambil keputusan untuk mencabut nyawanya sendiri.

Terhenti sebentar pergerakan Emma. Memang berat benar rasa hatinya untuk memberikan risalah itu.

Risalah yang tertulis, akan potensi dan segala peluang kekayaan yang boleh dikaut di Kampung Mudah.

"Bekerjalah di Kampung Mudah, dan bawa pulang sejongkong emas!"

Berkali-kali Emma membaca ayat yang tertulis cukup besar pada risalah itu. Risau kalau-kalau anaknya itu memilih jalan yang sama dipilih oleh ayahnya tatkala menemui kegagalan. Dulu, dirasakan sudah cukuplah dia kehilangan suami tercinta. Tidak perlu pula dia hilang anak kesayanganya.

Dilihat semula wajah anaknya itu. Tergambar di wajah anaknya itu akan kekecewaan yang sedang dihadapinya. Pantas, terbit semula rasa bersalah dalam dirinya.

Dengan berat hati, Emma menyerahkan risalah itu kepada anaknya.

Penuh tanda tanya, Encik Toyol mencapainya. Kemudian, dibaca satu persatu ayat yang tertulis padanya.

Encik Toyol tersenyum lebar.

DihantuOn viuen les histories. Descobreix ara