Bab 1

13.5K 582 310
                                    

"Kau ni memang memalukan ayah betul la!" herdik Ayah Ponti kepada anaknya, Pontianak. Mak Ponti hanya menggeleng kepala sambil bergerak ke dapur. Hendak mengambil tuala. Pontianak cuma tunduk kaku di depan pintu. Kebasahan dan busuk. Marahnya pada Toyol Posmen belum habis, ini pulang ke rumah, dimarah pula Ayah Ponti. Hendak dibalas suara, mahu dilempang dua das oleh Ayah Ponti. Jangan kata nak balas suara, hendak membalas tenung pun Pontianak tak berani. Ayah ponti matanya merah.

*******

Pontianak duduk bertenggek di atas salah satu dahan pada pokok. Posisinya menyorok, menunggu peluang yang sesuai untuk menakutkan anak kecil yang baru pulang dari mengaji. Persekitaran yang agak semak samun, gelap dan hanya diterangkan oleh samar cahaya bulan ini memang agak membantu dalam proses untuk menakutkan manusia. Itu semuanya dibaca melalui buku. Sudah habis khatam ke semua buku tutorial menakutkan manusia yang dibelikan oleh Ayah Ponti dibacanya. Yang paling dia ulang, "How To Scare People: For Dummies,". Langkahnya mudah, teratur serta bersama penerangan yang senang difahami. Diulang semula perlahan di dalam kepalanya apa yang paling penting dalam hendak menakutkan manusia.

Pertama, suasana.

Untuk menakutkan manusia, suasana persekitaran perlulah sentiasa berada di dalam gelap. Cuma cahaya samar dari bulan saja yang bakal menerangi keadaan. Suasana yang terang berderang, memang nyata tidak menakutkan sesiapa. Kecuali pada pencuri dan juga manusia yang tidak berpuasa di bulan Ramadhan. Suasana yang gelap, bukan sahaja membantu untuk menyebabkan manusia berasa terancam, malah mampu untuk mewujudkan perasaan yang bukan-bukan dalam hati dan jiwa manusia. Bila dah hati pun dah fikir bukan-bukan ni, faham sajalah. Nampak langsir pun dikatanya langsuir.

Pontianak tersenyum. Dilihatnya sekeliling kawasan. Gelap. Hanya diterangi samar-samar cahaya bulan. Check.

Kedua, masa.

Masa ataupun dalam buku bahasa inggerisnya itu tertulis timing. Untuk menakutkan orang, bukannya boleh dilakukan dengan sesuka hati. Perlu dilakukan pada masa yang betul. Masa yang paling sesuai adalah pada masa perasaan takut dan seram sejuk itu sudah di build up akibat daripada tips yang pertama tadi. Lainlah kalau kau nak menakutkan orang yang melatah. Itu, dicuitnya saja di celah ketiak, mampus meraban eh makcik kau makcik aku kahwin anak tiga tak mandi pagi eh aduh latah hai melatah haaa oh haaa. Tak best. Kita nak bagi manusia berasa takut, bukan ketawa. Pontianak mengangguk tatkala membaca artikel itu, seolahnya pernyataan itu ditujukan padanya.

Pontianak yakin masa yang dipilihnya amat sesuai. Dilihat pada jam casio di tangannya, pukul 10 malam. Lagi 2 jam, hendak masuk ke pukul 12. Bagi kanak-kanak, pukul 10 ke, pukul 12 ke, hatta pukul 9 sekalipun, kalau dah gelap macam ni dengan suasana suram lain macam, kucing meow pun dikatanya kucing tu nampak hantu.

Pontianak tersenyum lagi. Masa. Check.

Ketiga, kejutan.

Kejutan merupakan elemen yang paling penting sekali dalam membuatkan manusia menjadi takut. Kejutan juga ada terbahagi kepada dua jenis iaitu sekadar kelibat, ataupun dari segi sergahan. Jika memilih untuk sergahan, tidak boleh terlalu lama. Hanya perlu datang, sergah, dan menghilang. Kalau betul yakin, bolehlah untuk duduk disitu sehinggalah mangsa pengsan ataupun berlari meninggalkan kain pelikat yang dipakainya tatkala baru pulang dari mengaji itu.

Untuk yang kali ini, Pontianak memilih untuk menyergah.

"Wu!"

"Haa!"

"Lerrghhh!"

"Hua!" Pontianak berlatih menyergah dengan suara yang berbisik. Tersenyum. Dia yakin kali ini dia akan berjaya. Bukan. Dia perlu berjaya. Sudah tidak larat lagi rasanya dia hendak menghadapi perlian orang kampung, makian dari ayahnya, kekecewaan ibunya. Ya, walaupun ibunya tidak berkata apa, tapi wajahnya menulis seribu cerita.

DihantuWhere stories live. Discover now