Bab 8.2

3.2K 214 17
                                    

"Ibu..." ujar Encik Toyol sayu.

Emma memandang kepada anaknya yang lencun dan lembam-lembam di wajahnya. Emma tahu, ini mesti tidak lain kerja si anak Tok Penghulu yang rasa dirinya bagus. Pernah juga timbul keinginan Emma untuk bersemuka dengan Tok Penghulu dan membincangkan tentang anaknya yang pembuli. Tapi, niat itu sentiasa dibatalkan. Malas dia hendak bersemuka dengan jantan tua yang pernah cuba hendak masuk meminangnya 15 tahun dahulu. Sampai sekarang perangai gatal Tok Penghulu tu masih ada. Pantang berjumpa secara berdepan, sudah pasti mata si Tok Penghulu itu lebih banyak turun melihat bentuk badannya. Mentang-mentang Emma ni boleh dikategorikan sebagai toyol yang mempunyai bentuk badan yang sedap. Emma menyampah.

Emma bergerak ke dapur. Mahu mengambil tuala Good Morning, sebesen air dan sebotol alkohol. Kemudian, Emma berjalan semula ke ruang tamu rumah. Duduk bersila kemudian memanggil anaknya untuk datang dekat padanya. Emma mahu menyapukan ubat. Encik Toyol dengan muka paling sememeh, berjalan perlahan menuju ke ibunya. Sakitnya ada, tapi sengaja dibuat teruk dengan gaya berjalan yang terdencot-dencot. Manja. Padan dengan umurnya, 10 tahun.

Lengan dihulur terlebih dahulu oleh Encik Toyol. Tangan dipegang kemudian dilumurkan air bersih ke luka yang ada pada siku Encik Toyol. Berpisat-pisat mukanya menahan sakit. Timbul kerisauan dalam dirinya kerana itu baru air. Belum lagi diberi sengatan Alkohol. Dan waktu itu pun tiba. Terhentak-hentak kaki Encik Toyol ke lantai menahan pedih.

"Ibu. Kenapa depa bedai adik ibu? Kenapa depa tak suka bila adik takmau jadi pencuri macam depa?"

Emma hanya diam. Masih lagi dengan penuh tekun membuat kerja-kerja mencuci luka.

"Kalau adik dok kena bedai lagu ni, adik takmau. Adik nak masuk kelaih dan belajaq ilmu pentoyolan macam hat lain ja."

Tersentak, Emma berhenti untuk seketika. Dipandang tepat ke dalam mata anak kesayangannya itu, yang mirip benar dengan mata ayahnya. Doyol. Seorang toyol lagenda yang berjaya menggegarkan dunia dengan kehebatannya mencuri. Kejayaan terbesarnya adalah mencuri emas dari Bank Negara tanpa dikesan. Bukan main seronok lagi tuannya si Doyol ketika itu. Tapi apakan daya. Semakin lama, Doyol semakin hilang kemahirannya itu. Sampai masa, dia digantikan oleh toyol yang lebih muda dan bertenanga. Doyol sangat kecewa. Balik ke kampung, tidak ada kerja lain yang dia boleh buat selain mencuri. Akibatnya, Doyol tertekan yang amat sangat dan dia mengambil keputusan untuk membunuh diri. Mayat Doyol dijumpai tergantung pada pokok rambutan. Emma tidak mahu nasib yang serupa menimpa anak kesayangannya itu. Perlahan, setitis air mata mengalir ke pipi Emma. Pantas, disekanya sebelum dilihat anaknya. Emma menarik nafas, untuk mengembalikan semangatnya semula. Kemudian, dia memegang bahu anaknya itu.

"Depa boleh pukui tubuh adik. Depa boleh balun adik. Namun ingatlah, apa pun yang depa buat, depa itu dak boleh melumpuhkan semangat yang ada dalam diri adik. Depa dak boleh rampas impian adik. Dak boleh!"

Encik Toyol tiba-tiba jadi termotivasi lain macam. Turun naik nafasnya bersama suatu semangat yang meluap-luap.

DihantuWhere stories live. Discover now