Kisah Selingan #2: Penunggu di Kampung Mudah

49 2 1
                                    

"Miker tahu tak pasal pokok deghian belakang rumah Pak Wahab tu?" tanya Mat Ropi.

Kulup menggaru-garu dagunya tak gatal. Cuba mengingat kembali wajahnya Pak Wahab. Kabur dan samar-samar wajahnya. Dia kemudian, menggeleng. Mat Ropi menjadi sedikit hampa.

"Pak Wahab tu, ada sorang je dalam kampung ni. Yang ada anak dara dua belas orang tu laaa. Takkan tak kenal. Nuuu yang hujung kampung tuuuu. Eeee geram pulak awok. Die yang dulu beriye nak mengorat anak dara si Wahab tu, buat-buat lupe pule," ujar Mat Ropi dengan gaya tangan yang mengancam.

Mat Ropi, sikit saja lagi hendak menjadi wakil Sekolah Kebangsaan Kampung Melayu Al Muslimin dalam pertandingan Pidato di Kuala Lumpur. Yang menghalangnya ketika itu, adalah usianya yang sudah mencecah 29 tahun. Menangis-nangis dia sambil menyepak pintu pagar utama tatkala guru besar sekolah tersebut memberitahu berita tersebut. Impiannya mahu ke Kuala Lumpur menaiki bas berwarna kuning, hancur sepenuhnya.

Segera, wajah Pak Wahab meresap masuk semula ke dalam ingatan Kulup. Sekaligus menghadirkan geram yang amat sangat pada individu tersebut.

"Awok bukan apa. Sampai hati dia menolak pinangan awok dulu. Siap diperlekehkan lagi. Frust sungguh awok. Tu yang awok malas nak ingat mukanye tu. Takut tak jadi kerja nanti," ujar Kulup sambil menggenggam penumbuk. Mat Ropi pula, menggeleng.

"Miker masa tu baru tingkatan dua. Apa gila nak masuk meminang anak dara orangnye. Nak meminang si Mawar pulak tu. Orang tu dah nak masuk 30 dah umurnya. Gila miker ni, gila!"

Perlahan-lahan, Kulup menggulung rokoknya. Diletakkan pada mulut, dibakar, disedut, dan dihembus ke udara. Gayanya tenang sedikit.

"Cinta ni, mana kenal usia, yob," ujar Kulup.

Tok Ketua yang kebetulan ada di situ, berdehem sekali untuk menarik perhatian Mat Ropi. Mat Ropi memandang. Tok Ketua kemudiannya memberikan isyarat mata agar dia fokus. Begitu juga Usin Radio, Ihsan Janggut, dan Osman Pendek. Mat Ropi akur.

"Lupakanlah soal cinta tu Kulup. Ni awok nak ceghitakan pasal pokok deghian tu ha. Miker tau ke dak yang pokok deghian tu, ada penunggu?"

Kulup berubah excited. Rokoknya yang belum sampai separuh, di buang ke lantai.

"Penunggu? Apa maksud miker?"

Mat Ropi tidak terus menjawab. Dia mencapai gelas kopinya dan minum sekali hirup. Sengaja dia mahu memberikan unsur saspens. Mujur ketika ini, Kulup belum lagi menjadi baran. Lantas, dia hanya menunggu dengan penuh sabar dan teruja.

"Malam hari tu, awok melintas la depan pokok deghian Pak Wahab. Saja la berjalannya pun ke sana. Tiba-tiba dari jauh, awok nampak ada tiga empat makhluk duk standby dekat bawah pokok deghian tu. Bersinar je matenye. Mujur darah tentera yang mengalir dalam badan awok ni. Jadi, awok steady je pusing belakang ikut jalan lain."

"Huh, tentera apa bendenye kalau ikut jalan lain. Orang pergilah tempur."

"Penunggu beb! Gigi punya tajam, jalan pun membongkok guna empat kaki. Kalau seekor, awok rileks lagi. Ni tiga empat ekor, yob. Tentera calit tiga pun surrender!"

Kulup memandang Mat Ropi atas bawah. Sedang pertimbang sama ada mahu percaya atau tidak kata-kata si Mat Ropi ini. Mat Ropi ada sejarahnya dalam mengenakan orang.

Dua bulan sudah, dia mengusik beberapa budak sekolah rendah di padang bola.


*******


"Boleh menangkap katak tak?" tanya Mat Ropi kepada Mael, Supian, dan Naim lidah pendek.

Mat Ropi ketika itu sedang menutup sesuatu dengan menggunakan tin susu tepung Dutch Lady yang sederhana saiznya. Ketiga-tiga budak sekolah itu agak ragu hendak menjawab. Lantas mereka saling berpandangan, mencari apakah respon yang patut dipersembahkan kepada Mat Ropi.

DihantuWhere stories live. Discover now