Bab 4

186 24 0
                                    

"ADA apa-apa lagi nak beli?" Zarif menyoal sebaik sahaja pintu kereta ditutup adiknya. Tania menggelengkan kepala.

"Tak ada dah."

"Anna? Anaqi?" Refleksi anak-anaknya pada cermin pandang belakang dilihat. Keduanya turut sama menggeleng sambil sibuk menikmati aiskrim.

"Tak ada!"

Kereta bergerak meninggalkan pekan selepas itu. Masing-masing cuma diam tak bersuara, membiarkan suara DJ radio rancak berceloteh menghiasi suasana. Sesekali kedengaran suara Anna dan Anaqi yang bergurau dan bergelak-ketawa sesama mereka.

"Ni nak pergi mana pula?" Tania bersuara apabila menyedari kereta melalui jalan yang bertentangan dengan jalan pulang ke rumah.

"Rumah Leftenan Harun." Mendengarkan sebaris nama itu, serta-merta postur badan Tania yang tadinya bersandar terus menegak. Riak wajah cuba dikawal sebaik mungkin biar tak kelihatan terlalu teruja.

"Nak buat apa?"

"Ibu suruh ambil daging. Katanya nak masak rendang daging sebab si Sofia anak mak long mengidam," jelas Zarif. Tania mengangguk-angguk.

Sampai di sebuah simpang berhampiran masjid, Zarif pusingkan stereng kereta ke kiri. Seminit kemudian, sebuah rumah banglo sederhana besar menjamu pandangan mata. Ada sebuah kandang lembu yang terletak tidak jauh dari rumah ini. Zarif turun dari kereta selepas itu.

"Wah, besarnya lembu!" Anna menjerit kegirangan tatkala melihat seekor lembu yang ditambat berhampiran. Tania sekadar tergelak kecil. Bila budak bandar masuk kampung, macam itulah jadinya!

"Kakak tengok, ada oyenlah!" Giliran Anaqi pula yang bersuara keterujaan. Seekor kucing berbulu perang kejinggaan yang melintas buat perhatian keduanya terarah pada makhluk gebu itu.

"Acu, kita orang nak pergi main kucing tu sekejap boleh?"

"Yalah. Sekejap je." Tania matikan enjin kereta dan turut turun bersama anak saudaranya.

Bukan apa, budak-budak ni bukannya boleh diharap sangat. Bimbang nanti kalau kucing itu berlari ke tengah jalan, keluar pula berita 'Emak Saudara Leka Asbab Anak Saudara Maut Kemalangan Ketika Bermain Kucing'.

Sedang ketiganya leka mengusap dan mengusik si gebu tersebut, satu suara garau yang menyapa koklea buat tumpuan Tania beralih arah.

"Sorry Zarif, lambat sikit." Seorang jejaka yang sedang menjimbit beg plastik muncul di hadapan Zarif.

"Tak apa, tak ada hal." Plastik bertukar tangan.

Suara yang sedang bergelak-ketawa menarik perhatian Malikh. Sempat dia menjenguk di tepi kereta Zarif, kelihatan seorang wanita dan dua anak kecil sedang leka bermain dengan seekor kucing.

"Anak kau ke?" soalnya. Zarif turut menoleh ke arah yang sama.

"Haah. Yang itu pula adik aku."

Tania yang dalam masa yang sama sedang memasang telinga, pantas menoleh apabila frasa 'adik aku' itu menyapa gegendang telinganya. Spontan, pandangan dia dan Malikh bersabung sesaat. Dia ukir senyuman nipis. Malikh turut membalas senyumannya.

Oh, jantung. Jangan nak tunjuk rajin nak bersenam robik di sini!

"Malikh tu kawan abang ke?" Tania jadi yang pertama bersuara setelah semua kembali ke dalam kereta.

"Haah."

Dia simpan senyum. Entah kenapa rasa sesuatu pula. Apatah lagi tadi Malikh tersenyum kepadanya. Terbayang-bayang pula tahap kemanisan senyuman jejaka itu yang tersangatlah manis, macam ada tujuh lori susu pekat manis tertumpah di hadapannya tadi!

Milik Mutlak Malikh [completed]Where stories live. Discover now